Senarai Gelaran Perdana Menteri Malaysia

gelaran perdana menteri malaysia
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Tahukah anda, setiap perdana menteri di Malaysia mempunyai gelaran perdana menteri Malaysia yang tersendiri berdasarkan sumbangan mereka?

Semenjak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sebanyak 10 orang perdana menteri telah mengetuai pentadbiran negara sehingga kini.

Senarai Perdana Menteri Malaysia

Senarai perdana menteri yang telah berkhidmat di Malaysia adalah seperti berikut:

NamaTempoh
TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ31 Ogos 1957 – 22 September 1970
TUN ABDUL RAZAK BIN HUSSEIN 22 September 1970 – 14 Januari 1976
TUN HUSSEIN BIN DATO’ ONN 15 Januari 1976 – 16 Julai 1981
TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD16 Julai 1981 – 30 Oktober 2003
TUN ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI31 Oktober 2003 – 3 April 2009
DATO’ SRI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK3 April 2009 – 9 Mei 2018
TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD10 Mei 2018 – 24 Februari 2020
TAN SRI DATO’ HAJI MAHIADDIN BIN HAJI MD YASIN1 Mac 2020 – 20 Ogos 2021
DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB20 Ogos 2021 – 23 November 2022
DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM 24 November 2022 – kini.

Gelaran Perdana Menteri Malaysia

Berikut adalah gelaran perdana menteri Malaysia yang telah berkhidmat semasa pemerintahannya:

i- Tunku Abdul Rahman – Bapa Kemerdekaan

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan Perdana Menteri Pertama yang dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar.

Beliau merupakan anak ketujuh Sultan Kedah ke-25, Sultan Abdul Hamid Halim Shah, dan Che ‘Menjalara,.

Tunku Abdul Rahman telah dianugerahkan dengan gelaran ‘Bapa Kemerdekaan Tanah Air’ pada 29 Ogos 1957.

Penganugerahan gelaran ini dipersetujui hasil daripada Persidangan Agong  UMNO yang berlangsung pada 29 hingga 30 Jun 1957.

Pengurniaan gelaran ini secara rasmi telah diadakan pada malam 30 Ogos 1957 di  Padang Kelab  Selangor.

Anugerah gelaran ini merupakan penghargaan kepada Tunku Abdul Rahman Putra sebagai mengenang jasa perjuangan Tunku dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan Inggeris.

Beliau telah berperanan dalam membawa persefahaman di kalangan pelbagai kumpulan etnik dan parti politik untuk mencapai kemerdekaan Malaysia daripada penjajah British.

Selain itu, Tunku Abdul Rahman juga turut memperjuangkan prinsip-prinsip demokrasi, kebebasan beragama, dan kesepaduan nasional.

Beliau dihormati oleh rakyat Malaysia dan dikenang sebagai tokoh yang membawa negara ini ke arah moden yang berdiri di atas asas pluralisme dan perpaduan.

ii- Tun Abdul Razak – Bapa Pembangunan

Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ke-2, merupakan anak lelaki kepada Dato’ Hussein Mohd Taib dan Teh Fatimah binti Daud.

Beliau berkelulusan undang-undang dari United Kingdom dan berkecimpung dalam bidang politik setelah pulang ke tanah air pada tahun 1950.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1951, dan telah menyertai rundingan untuk mencapai kemerdekaan daripada pihak British.

Tun Abdul Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran setelah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957.

Dasar Ekonomi Baru merupakan buah fikiran Tun Abdul Razak, bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia untuk mengatasi ketidakseimbangan ekonomi.

Beliau juga telah memperkenalkan Buku Hijau dan Buku Merah, untuk merancang serta memantau pembangunan luar bandar dan sektor pertanian.

Atas segala jasa dan sumbangannya terhadap pembangunan luar bandar dan di peringkat nasional, Tun Abdul Razak telah diberi gelaran “Bapa Pembangunan Malaysia.”

iii- Tun Hussein Onn – Bapa Perpaduan

Tun Hussein Onn telah dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru.

Beliau merupakan anak sulung kepada Dato’ Onn Jaafar, dan Datin Halimah Hussein yang menerima pendidikan awal di Singapura, dan kemudiannya di English College, Johor Bahru (kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar).

Tun Hussein Onn dikenali dengan usaha beliau dalam menekankan isu-isu perpaduan kaum melalui dasar-dasar yang bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum-kaum di Malaysia.

Antaranya ialah dengan melancarkan Amanah Saham Nasional dan juga telah melancarkan PEMADAM, sebuah organisasi khas untuk memerangi penyalahgunaan dadah.

Beliau juga sering menekankan kepentingan Rukun Tetangga dan peranannya dalam memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia.

Usaha-usaha beliau dalam memupuk perpaduan dan keharmonian sesama pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia memberi beliau gelaran “Bapa Perpaduan”.

iv- Tun Dr. Mahathir Mohamad – Bapa Permodenan Malaysia

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Lorong Kilang Ais Seberang Perak, Alor Setar Kedah.

Bapanya bernama Mohamad bin Iskandar dan Ibunya Wan Tempawan binti Wan Hanafi yang merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik terdiri daripada empat orang perempuan dan lima lelaki.

Beliau digelar sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun mulai 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Beliau dikenali kerrana telah membawa banyak perubahan-perubahan kepada rakyat dan mengatur program untuk generasi yang membangunkan bangsa Melayu agar setanding dengan mana-mana bangsa di dunia.

Banyak telah diperkenalkan dan kejayaan-kejayaan yang besar dicapai di zaman pemerintahan beliau dari segi mengubah corak pemikiran, ekonomi, pendidikan, etika sosial dan budaya hidup rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu dalam menghadapi era globalisasi dan liberalisasi untuk menghadapi abad ke-21.

v- Tun Abdullah Ahmad Badani – Bapa Pembangunan Modal Insan

Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, Kepala Batas. Manakala pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah, Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang.

Selepas menamatkan persekolahan, beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya selama tiga tahun (1962-1964) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Pengajian Islam.

Beliau dikenali di Malaysia sebagai “Bapa Pembangunan Modal Insan” kerana telah memperkenalkan Pelan Integriti Nasional, satu pelan untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Selain itu, beliau juga telah memperkenalkan Program Pembangunan Modal Insan pada tahun 2005 yang bermatlamat dalam melahirkan dan memperkembangkan ekonomi berlandaskan teknologi dan pengetahuan.

vi- Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak – Bapa Transformasi Malaysia

Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keenam yang dilantik pada 3 April 2009. 

Beliau dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 23 Julai 1953 merupakan anak sulung kepada Tun Abdul Razak Hussien dan Toh Puan Rahah Mohammad Noah. 

Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Institusi St. John, Kuala Lumpur, dan kemudian belajar di Kolej Lelaki Malvern di Worchestershire, England.

Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi Industri daripada Universiti Nottingham, England pada tahun 1974.

Penglibatan beliau di dalam dunia politik bermula selepas kemangkatan bapanya secara mengejut pada 14 Januari 1976 akibat penyakit leukemia.

Beliau telah bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pekan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen tersebut selepas kematian Tun Abdul Razak Hussien dan menang tanpa bertanding sekaligus mencatat sejarah sebagai ahli parlimen termuda ketika itu.

Beliau dikenali sebagai “Bapa Transformasi Malaysia” kerana usaha-usaha beliau memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai Perdana Menteri Malaysia, sila klik di pautan https://www.kabinet.gov.my/bkpp/index.php/anggota-pentadbiran/perdana-menteri-malaysia.

Baca juga: DeepSeek: Model AI Terbaharu & Cara Muat Turun

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut