Floating Market Melaka : Tarikan, Lokasi, Waktu Operasi

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Berkonsepkan warna merah jambu yang menyerlah, orang ramai kini berpeluang untuk menikmati suasana tempat makan unik ala pasar terapung Hatyai di Melaka!

Dirasmikan pada 1 Jun 2024, Melaka Floating Market menawarkan lokasi santai buat pelancong dan orang setempat yang ingin menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman dengan konsep pasar terapung.  

Apa Yang Menarik di Floating Market Melaka?

Sesuai dengan namanya, pengunjung berpeluang untuk membeli daripada peniaga yang berniaga di atas bot yang terletak di sepanjang pinggir sungai.  

Diserikan pula dengan lampu berwarna-warni, anda pasti dapat mencipta memori indah bersama keluarga dan orang tersayang di sini.

Produk pelancongan terbaharu Melaka ini juga menawarkan satu lagi tarikan iaitu Windmill Pink Market iaitu kawasan jualan makanan dan pelbagai produk tempatan di ‘atas darat’ dengan kemudahan kerusi dan meja yang banyak untuk kegunaan pelancong.  

Dua kawasan santai ini sekaligus membuatkan lokasi Melaka River Cruise Sungai Melaka semakin meriah khususnya pada waktu malam.

Terdapat pelbagai makanan viral menanti anda antaranya kunafa, aiskrim kelapa, nachos, shawarma, tongmo, kerabu maggi, tong mo, char kuey teow dan banyak lagi.

Jika beruntung, pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan menarik seperti live band dan pertunjukan api.

Kemudahan Lain

Selain untuk menikmati keindahan malam dan mencuba pelbagai jenis makanan, kawasan Floating Market ini juga merupakan lokasi riadah dan santai yang wajib dikunjungi.

Berlatar belakangkan Sungai Melaka, pengunjung juga boleh bersantai, beriadah dan mencuba paddle boat yang disediakan di sini.

Bukan itu sahaja, malah Melaka River Cruise yang popular juga ada membuat hentian di lokasi Floating Market ini.  

Surau dan tandas yang luas juga disediakan buat kegunaan para pengunjung.

Waktu Operasi

Waktu operasi bagi Melaka Floating Market adalah seperti berikut :

Hari Operasi : Rabu – Isnin (Selasa tutup)

Waktu operasi : 6.00 petang sehingga 12.00 tengah malam.

Lokasi Melaka Floating Market

Melaka Floating Market terletak di Dataran Pengkalan Rama, iaitu berdekatan dengan Jeti Taman Rempah, Melaka River Cruise.

Salah satu mercu tanda (landmark) yang pengunjung boleh kenalpasti adalah Jambatan Hang Jebat.

Pengunjung juga boleh berjalan dari Jonker Walk untuk tiba ke destinasi kerana ia berdekatan dengan kawasan tumpuan pelancongan bandar Melaka.

Anda juga boleh gunakan Google Map atau Waze untuk mencari lokasi Floating Market ini.

Bagi pengunjung yang menaiki kenderaan sendiri, anda boleh merujuk pelan parking di sekitar Floating Market seperti di bawah.

Sumber : Instagram @melakafloatingmarket

Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke tarikan terbaharu di Melaka ini. Untuk ketahui perkembangan terkini dan acara menarik di Melaka Floating Market, sila ikuti laman media sosial Melaka Floating Market di Instagram, Facebook dan Tiktok.  

Baca Juga : Taman Buaya Melaka: Tarikan Utama & Harga Tiket Masuk

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut