Doa Bebas Hutang – Amalkan Selalu Agar Dapat Membayar Hutang Segera!

 Doa Bebas Hutang – Amalkan Selalu Agar Dapat Membayar Hutang Segera!

Hutang adalah merupakan satu beban dalam kehidupan yang sering menghantui fikiran seseorang. Islam memandang berat terhadap hal hutang dan ia wajib dibayar. 

Doa Bebas Hutang - Amalkan Selalu Agar Dapat Membayar Hutang Segera!

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. 

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

(Surah al-Baqarah: 282)

Hutang

Hutang pada istilah syara’ bermaksud ‘pemberian hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.’

Hutang pinjaman bank juga termasuk di dalam hutang yang wajib dibayar dan diancam dengan ancaman yang berat di dalam hadis sekiranya sengaja tidak mahu membayarnya.

BACA JUGA: Niat Jamak Takhir (Dengan Qasar & Tanpa Qasar) – Panduan Menunaikannya

Hadis Mengenai Ancaman Orang yang Tidak Membayar Hutang 

Terdapat banyak hadis yang menerangkan tentang ancaman terhadap golongan yang sengaja enggan membayar hutang dan tidak berusaha untuk melunaskan hutangnya tersebut.

1. Mendapat Kebinasaan 

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.

Hadith riwayat al-Bukhari: (2387)

2. Bertemu Allah Sebagai Pencuri

Rasulullah SAW juga bersabda:

أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا

Maksudnya: Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri.

Hadith riwayat Ibn Majah: (1969)

3. Hutang Akan Dibayar Kepada Si Pemiutang Dengan Pahala Amal Kebajikan Si Penghutang Di Akhirat Kelak. 

Rasulullah SAW bersabda:

وَ مَنْ مَاتَ وَ عَلَيْهِ دَيْنٌ فَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ وَلَكِنَّهَا الحَسَنَاتُ وَ السَيِّئَاتُ

Maksudnya: Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari Akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.

Hadith riwayat Abu Daud: (3597)

4. Jiwa Orang Yang Berhutang Akan Tergantung Selagimana Dia Tidak Melunaskan Hutangnya Terlebih Dahulu. 

Sabda Rasulullah SAW:

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.

Hadith riwayat Tarmidzi: (1079)

5. Dosa Berhutang Tidak Terampun Kecuali Dihalalkan Oleh Si Pemiutang Tersebut Walaupun Mati Sebagai Mati Syahid. 

Rasulullah SAW bersabda:

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ

Maksudnya: Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).

Hadith riwayat Muslim: (1886)

6. Orang Yang Berhutang Tidak Disembahyangkan Oleh Rasulullah Saw. 

Daripada Salamah bin Akwa` RA bahawa dia berkata:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟، قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah merespon: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.”

Hadith riwayat al-Bukhari (2286)

Doa Bebas Hutang 

DOA 1:

Daripada ‘Aisyah RA isteri Nabi SAW, beliau telah mengkhabarkan kepadanya (‘Urwah), bahawa Rasulullah SAW dalam solatnya sering kali berdoa:

Maksud: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada siksa kubur dan aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah al-Masih ad-Dajjal serta aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah kehidupan dan fitnah kematian. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang

Tiba-tiba seseorang bertanya kepada baginda: “Kenapa tuan banyak meminta perlindungan daripada hutang?” Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya seseorang apabila berhutang dia akan cenderung berkata dusta dan berjanji lalu mengingkarinya.” (Muttafaqun Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, No. 832, 2397, Muslim, No. 589, Abu Dawud, No. 880, an-Nasaie, No. 1309)

DOA 2:

Maksud: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kebingungan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat pengecut dan kikir. Aku berlindung kepada-Mu dari lilitan utang dan kesewenang-wenangan manusia.

DOA 3:

Daripada Suhail, beliau berkata: “Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:

Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran). Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang Engkau memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan Allah). Ya Allah! Engkau-lah yang awal, sebelum-Mu tidak ada sesuatu. Engkaulah yang terakhir, setelah-Mu tidak ada sesuatu. Engkau-lah yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-Mu. Engkau-lah yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-Mu. Lunaskanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran.”

Riwayat Muslim (2713)

DOA 4:

Maksudnya: “Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selain-Mu.”

Riwayat al-Tirmizi. Hadis hasan sahih.

Hukum Berhutang dan Memberi Hutang

Haram – Jika tujuan berhutang untuk melakukan maksiat dan kemungkaran seperti minum arak, berjudi dan seumpamanya.

Makruh – Jika tujuan berhutang itu diketahui akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau dengan niat menunjuk-nunjuk dan bukan kerana keperluan mendesak. Termasuk dalam hukum ini ialah apabila pemberi hutang tahu ketidakmampuan orang yang berhutang itu untuk membayar semula hutangnya.

Wajib – Jika orang yang memberi hutang mengetahui bahawa pihak yang berhutang itu amat memerlukan dan terdesak memenuhi keperluan asasi hidupnya dan menampung perbelanjaan asasi keluarganya. Dalam masa yang sama dia tidak mempunyai sumber lain bagi memenuhi keperluannya kecuali dengan cara berhutang. 

Sumber:

1. AL-KAFI #1325: ADAKAH HUTANG BANK MENYEBABKAN ROH DAN AMALAN AKAN TERGANTUNG? – Mufti WP

2. IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-180: DOA-DOA UNTUK MELANGSAIKAN HUTANG – Mufti WP

3. PORTAL MYHADITH – JAKIM

4. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!