Niat Jamak Takhir (Dengan Qasar & Tanpa Qasar) – Panduan Menunaikannya

Niat Jamak Takhir (Dengan Qasar & Tanpa Qasar) – Panduan Menunaikannya

Dalam Islam terdapat rukhsah (keringanan) yang diberikan kepada musafir dalam menjalankan beberapa ibadah, termasuk solat. 

Apabila seseorang melakukan perjalanan jarak jauh dengan tempoh tertentu, dia dianggap sebagai musafir dan diberikan keringanan dalam menjalankan ibadah-ibadah tertentu seperti solat.

Rukhsah solat ini bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada musafir agar dapat menjalankan ibadah dengan lebih mudah dalam perjalanan mereka sekaligus menunjukkan kepentingan solat yang wajib dilakukan walau dalam situasi apa pun. 

Daripada Ibn Abbas R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menjama’kan solat Zuhur dengan Asar ketika perjalanan (yakni bermusafir) dan menjama’kan solat Maghrib dengan Isya’.”

Riwayat al-Bukhari (1056)

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

Definisi Jamak vs Qasar & Taqdim vs Takhir

Niat Jamak Takhir (Dengan Qasar & Tanpa Qasar) & Cara Menunaikannya

Bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan, marilah ketahui definisi Jamak vs Qasar & Jamak Taqdim vs Jamak Takhir seperti yang dikongsikan di bawah. 

Maksud Jamak

Maksud jamak ialah dihimpunkan. 

Solat Jamak bermaksud menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu. Solat boleh dijamakkan hanyalah Zohor-Asar dan juga Maghrib-Isyak dan ditunaikan sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua.

Solat jamak terbahagi kepada dua iaitu jamak taqdim dan jamak takhir.

> Jamak Taqdim 

Jamak Taqdim ialah solat yang dihimpunkan, ditunaikan pada waktu solat yang pertama. 

  • Solat Zuhur ditunaikan sekali dengan solat Asar, pada waktu Zohor. 
  • Solat Maghrib ditunaikan sekali dengan solat Isyak, pada waktu Maghrib.

> Jamak Takhir

Jamak Taqdim ialah solat yang dihimpunkan, ditunaikan pada waktu solat yang kedua.

  • Solat Zuhur ditunaikan sekali dengan solat Asar, pada waktu Asar.
  • Solat Maghrib ditunaikan sekali dengan solat Isyak, pada waktu Isyak.

Maksud Qasar

Maksud qasar ialah dipendekkan.

Solat Qasar ialah solat 4 rakaat yang disingkatkan menjadi dua rakaat. Solat Qasar hanya berlaku untuk solat Zuhur, Asar, dan Isya’, sedangkan solat Subuh dan Maghrib tetap dalam jumlah rakaatnya. 

Niat Jamak Takhir (Dengan Qasar & Tanpa Qasar) & Cara Menunaikannya

Niat Jamak Takhir (Dengan Qasar) & Cara Menunaikannya

1. Solat Jamak Takhir bagi waktu Zohor – Asar

Solat jamak takhir bermaksud solat ini dilakukan dalam waktu akhir iaitu Waktu Asar. Oleh itu, solat akan dimulakan dengan solat Asar terlebih dahulu. Walaubagaimanapun, boleh dimulakan mana-mana antara dua solat itu.

Cara menunaikannya seperti berikut:

1. Berniat mengerjakan solat fardhu Asar seperti berikut:

>> Lafaz niat solat fardhu Asar:

أُصَلِّي فَرْضَ الْعَصْرِ رَكْعَتَيْنِ جَمَعَ تَأْخِيرً وَقَصْرًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat jamak ta’khir serta qasar kerana Allah Taala.

Menunaikan solat Asar dua rakat (qasar). Selepas memberi salam, bangun semula untuk menunaikan solat Zohor. 

2. Berniat mengerjakan solat fardhu Zohor seperti berikut:

>> Lafaz niat solat fardhu Zohor:

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ جَمَعَ تَأْخِيرً وَقَصْرًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat jamak ta’khir serta qasar kerana Allah Taala.

Menunaikan solat Zohor dua rakat (qasar). Selesai. 

NOTA: Setelah masuk waktu zohor, jangan lupa berniat untuk mengerjakan solat fardhu Zohor di waktu Asar nanti. Anda boleh berniat seperti berikut: Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Zohor jamak takhir pada waktu Asar. 

Sekiranya anda tidak berniat untuk mengerjakan solat Zohor pada waktu Asar semasa masuk waktu Zohor, maka jamak takhir tersebut tidak sah kerana ia merupakan syarat sah jamak takhir. Jika terlupa berniat, anda tidak boleh menunaikan solat jamak takhir tetapi mesti melakukan qada solat Zohor dahulu.

2. Solat Jamak Takhir bagi waktu Maghrib – Isyak

Solat jamak takhir bermaksud solat ini dilakukan dalam waktu akhir iaitu Waktu Isyak. Oleh itu, solat akan dimulakan dengan solat Isyak terlebih dahulu. Walaubagaimanapun, boleh dimulakan mana-mana antara dua solat itu. 

Cara menunaikannya seperti berikut:

1. Berniat mengerjakan solat fardhu Isyak seperti berikut:

>> Lafaz niat solat fardhu Isyak:

أُصَلِّي فَرْضَ الْعِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ جَمَعَ تَأْخِيرً وَقَصْرًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Isyak dua rakaat jamak ta’khir serta qasar kerana Allah Taala.

Menunaikan solat Isyak dua rakat (qasar). Selepas memberi salam, bangun semula untuk menunaikan solat Maghrib. 

2. Berniat mengerjakan solat fardhu Maghrib seperti berikut:

>> Lafaz niat solat fardhu Maghrib:

أُصَلِّ فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ  جَمَعَ تَأْخِيرًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat jamak ta’khir kerana Allah Taala.

Menunaikan solat Maghrib tiga rakaat. Selesai. – SOLAT MAGHRIB TIDAK BOLEH QASAR. 

NOTA: Setelah masuk waktu Maghrib, jangan lupa berniat untuk mengerjakan solat fardhu Maghrib di waktu Isyak nanti. Anda boleh berniat seperti berikut: Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Maghrib jamak takhir pada waktu Isyak. 

Sekiranya anda tidak berniat untuk mengerjakan solat Maghrib pada waktu Isyak semasa masuk waktu Maghrib, maka jamak takhir tersebut tidak sah kerana ia merupakan syarat sah jamak takhir. Jika terlupa berniat, anda tidak boleh menunaikan solat jamak takhir tetapi mesti melakukan qada solat Maghrib dahulu.

Niat Jamak Takhir (Tanpa Qasar) & Cara Menunaikannya

Bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang memenuhi syarat ditetapkan , dia dibolehkan untuk menjamakkan solat tanpa qasar. 

Contoh keuzuran tersebut ialah:

  • Doktor bedah yang bertugas
  • Juruterbang dalam penerbangan yang panjang
  • Berada dalam peperangan
  • Sakit
  • Hujan lebat, cuaca sejuk yang melampau, angin yang kencang dan jalan yang berbecak
  • Ketakutan –  takut akan keselamatan diri, maruah dan harta
  • Semasa perlaksanaan haji di Arafah dan Muzdalifah

1. Solat Jamak Takhir bagi waktu Zohor – Asar

Cara menunaikannya seperti berikut:

1. Berniat mengerjakan solat fardhu Asar seperti berikut:

>> Lafaz niat solat fardhu Asar:

اُصَلّى فَرْضَ الْعَصْر ِاَرْبَعَ رَكَعَاتٍ جَمَعَ تَأْخِيرً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Asar empat rakaat jamak ta’khir kerana Allah Taala.

Menunaikan solat Asar 4 rakaat seperti biasa. Selepas memberi salam, bangun semula untuk menunaikan solat Zohor. 

2. Berniat mengerjakan solat fardhu Zohor seperti berikut:

>> Lafaz niat solat fardhu Zohor:

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ جَمَعَ تَأْخِيرً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Zohor empat rakaat jamak ta’khir kerana Allah Taala.

Menunaikan solat Zohor 4 rakaat seperti biasa. Selesai. 

2. Solat Jamak Takhir bagi waktu Maghrib – Isyak

1. Berniat mengerjakan solat fardhu Isyak seperti berikut:

>> Lafaz niat solat fardhu Isyak:

أُصَلِّي فَرْضَ الْعِشَاءِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ جَمَعَ تَأْخِيرً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Isyak empat rakaat jamak ta’khir kerana Allah Taala.

Menunaikan solat Isyak 4 rakaat seperti biasa. Selepas memberi salam, bangun semula untuk menunaikan solat Maghrib. 

2. Berniat mengerjakan solat fardhu Maghrib seperti berikut:

>> Lafaz niat solat fardhu Maghrib:

أُصَلِّ فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ  جَمَعَ تَأْخِيرًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat jamak ta’khir kerana Allah Taala.

Menunaikan solat Maghrib tiga rakaat. Selesai.

Sumber:

  1. AL-KAFI #1177 : HUKUM SOLAT JAMAK QASAR SEMASA MUSAFIR TANPA BERMALAM – Mufti Wilayah Persekutuan
  2. AL-KAFI #926 : PERKIRAAN HARI MASUK DAN HARI KELUAR DALAM HUKUM SOLAT MUSAFIR (JAMAK DAN QASAR) – Mufti Wilayah Persekutuan
  3. PERKONGSIAN ILMIAH : SYARAT – SYARAT PERJALANAN YANG DIHARUSKAN SOLAT JAMA’ & QASAR – Majlis Keselamatan Negara
  4. #1433: Solat Isyak Dahulu ketika Jamak Ta’khir – DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!