Kadar Denyutan Nadi Normal dan Cara Untuk Periksa Sendiri
Kadar denyutan nadi adalah kiraan jumlah degupan jantung dalam masa 1 minit. Ia mungkin berbeza mengikut individu dan tahap aktif seseorang pada waktu itu.
Sebenarnya, adalah penting untuk semua ketahui kadar degupan jantung demi kesihatan masing-masing.
Pada masa yang sama, pesakit jantung yang mengambil ubat juga disarankan untuk ambil kadar denyutan nadi setiap hari dan berkongsikannya dengan doktor pada hari temujanji.
Jadi, apakah cara mengambil denyutan nadi dan kadar yang normal bagi dewasa? Ayuh ikuti perkongsian dari kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Kadar Denyutan Nadi Normal
Kadar denyutan nadi normal bagi orang dewasa adalah adalah 60 hingga 100 denyutan dalam 1 minit.
Sekiranya kadar denyutan nadi adalah di bawah 60, individu tersebut dikatakan mengalami keadaan jantung yang dikenali sebagai bradycardia.
Sementara itu, jika nadi berdenyut melebihi 100 kali seminit ketika sedang berehat, anda mungkin mengalami tachycardia.
Bradycardia
Bradycardia berlaku apabila degupan jantung perlahan daripada biasa iaitu kurang daripada 60 kali seminit.
Anda boleh capai degupan jantung lebih rendah ketika sedang tidur. Individu tertentu seperti atlet atau remaja juga boleh mencatatkan denyutan nadi serendah 40 ke 60 kali per minit.
Dalam kes bradycardia yang lebih serius, ia disebabkan oleh ketidakmampuan jantung untuk mengepan darah dengan baik ke seluruh badan.
Mungkin sesetengah orang tidak alami sebarang simptom. Namun, individu lain mungkin akan berasa sesak nafas, pening atau lesu.
Tachycardia
Dalam kebanyakan masa, tachycardia hanya perlu diberikan perhatian sekiranya kadar nadi melebihi 100 per minit pada keadaan rehat.
Anda juga mungkin tidak alami sebarang simptom bagi tachycardia. Namun, ia boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan seperti serangan jantung, strok atau mati mengejut.
Oleh itu, anda perlulah lakukan pemeriksaan berkala untuk kenalpasti tahap kesihatan dari semasa ke semasa.
Faktor Yang Mempengaruhi Denyutan Nadi
Selain bersenam atau aktiviti fizikal, beberapa perkara boleh memberi kesan kepada kadar degupan nadi antaranya :
Cuaca – Ketika cuaca panas dan lembap, denyutan nadi boleh meningkat
Berdiri – berdiri selepas duduk boleh membuatkan degupan nadi meningkat selama kira-kira 20 saat.
Saiz badan – individu yang mengalami obesiti mempunyai denyutan nadi yang lebih tinggi.
Pengambilan ubat tertentu – Sesetengah ubat boleh memberi kesan kepada bacaan nadi. Sebagai contoh, ubat seperti beta blocker boleh menurunkan kadar degupan jantung. Sementara itu, pengambilan ubat thyroid yang terlalu banyak boleh tingkatkan degupan jantung.
Pengambilan kafein and nikotin – Kopi, teh, minuman soda dan tembahau boleh meningkatkan degupan jantung.
Faktor Usia – Semakin usia meningkat, kadar degupan jantung tidak akan meningkat terlalu banyak walaupun tubuh sedang berada dalam keadaan stres atau sedang melakukan senaman.
Cara Periksa Kadar Denyutan Nadi
Waktu terbaik untuk semak denyutan nadi adalah pada waktu pagi sebaik sahaja bangun tidur.
Ketika itu, tubuh anda berada dalam keadaan rehat, belum melakukan apa-apa aktiviti fizikal dan bebas daripada alkohol, ubat atau kafein.
Terdapat beberapa kawasan tubuh yang anda boleh gunakan untuk semak nadi iaitu :
- Bahagian dalam pergelangan tangan
- Bahagian dalam siku
- Tepi leher
Untuk kira kadar nadi, letakkan jari telunjuk dan jari tengah di salah satu bahagian tubuh yang dinyatakan.
Tekan dengan perlahan sehingga anda rasa denyutan. Anda mungkin perlu gerakkan jari hingga jumpa.
Anda juga boleh rujuk gambar di bawah sebagai panduan.
Kira degupan yang dirasakan selama 10 saat.
Kemudian, darabkannya dengan 6 untuk dapatkan kadar denyutan nadi per minit.
Tips Merendahkan Denyutan Nadi Rehat
Disebabkan gaya hidup zaman sekarang, ramai yang mudah stres dan sukar menguruskan kesihatan. Ia boleh memberi kesan kepada peningkatan kadar degupan nadi rehat.
Untuk menurunkan kadar denyutan nadi ke paras normal, anda boleh ambil beberapa langkah seperti berikut :
- Amalkan senaman
- Makan makanan berkhasiat dan elakkan makanan diproses
- Uruskan stres dengan mengamalkan meditasi dan senaman pernafasan. Anda juga digalakkan untuk kurangkan penggunaan telefon dan peranti dengan terlalu kerap.
- Berhenti merokok
- Kurangkan pengambilan minuman beralkohol, berkafein dan minuman tenaga (energy drink) yang boleh meningkatkan kadar denyutan nadi.
- Dapatkan rehat dan tidur yang mencukupi
- Turunkan berat badan
Sekarang anda sudah tahu cara untuk mengukur kadar nadi sendiri. Jadi, lebih mudahlah untuk anda pantau sendiri di rumah.
Sekiranya anda dapati denyutan nadi tidak mencapai jurang normal, anda perlulah dapatkan nasihat daripada doktor.
Ini penting bagi mengenalpasti sebarang masalah kesihatan yang mungkin dialami.
Sumber : WebMD