Dasar Pendidikan Digital : 6 Teras DPD KPM

Dasar Pendidikan Digital
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Seiring dengan kemajuan teknologi, kerajaan telah melancarkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) agar bagi memastikan setiap murid fasih digital.

DPD merupakan pernyataan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memacu perubahan landskap pendidikan digital untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai murid, pendidik dan pemimpin pendidikan; penyediaan infrastruktur, infostruktur dan kandungan yang berkualiti; dan penyertaan aktif rakan strategik secara bersepadu serta menyeluruh dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah.

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang dasar ini.

Penggubalan Dasar Pendidikan Digital (DPD)

Dasar Pendidikan Digital ini digubal agar sejajar dengan pelbagai agenda nasional termasuklah konsep Membangun Negara MADANI, Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, Jalinan Digital Negara (JENDELA), Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 dan Dasar Sains Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 untuk memastikan usaha yang berstruktur dan terancang bagi mendepani cabaran 5IR.

Baca lagi: 7 Teras Utama KPM Dalam Menerajui Sistem Pendidikan Negara

DPD diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mei 2023.

Ia dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 28 November 2023 dengan visi melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Melalui dasar ini, murid fasih digital dapat dibangunkan untuk memenuhi keperluan era digital; di samping mengupaya pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasi teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.

Selain itu, dasar ini juga dapat memperkukuh infrastruktur, infostruktur dan kandungan pendidikan digital; serta mengoptimum pelibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital.

Apa Itu Murid Fasih Digital?

Murid yang berupaya menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, bertanggungjawab dan beretika untuk:

  1. Mencipta dan menghasilkan inovasi
  2. Menganalisis data secara saintifik
  3. Menyelesaikan masalah dan berkomunikasi
  4. Berkolaborasi dengan berkesan
Sumber infografik: BERNAMA

Hala Tuju

Berikut merupakan objektif dan hala tuju pengenalan Dasar Pendidikan Digital:

  1. Membangunkan murid fasih digital untuk memenuhi keperluan era digital;
  2. Mengupayakan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan;
  3. Memperkukuh infrastruktur, infostruktur dan kandungan pendidikan digital; dan
  4. Mengoptimumkan pelibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital.

6 Teras dan Strategi Dasar Pendidikan Digital

Dasar Pendidikan Digital mempunyai empat objektif, enam teras, 18 strategi dan 41 inisiatif yang jelas bagi menyokong visi pendidikan digital.

Berikut merupakan 6 teras DPD:

  1. Murid fasih digital
  2. Pendidik kompeten digital
  3. Budaya kepemimpinan digital berwawasan,
  4. Pengupayaan infrastruktur dan infostruktur
  5. Kandungan digital berkualiti
  6. Rakan strategik yang komited

Setiap teras menjadi panduan dan hala tuju strategik pelan operasi bagi menangani isu dan cabaran khusus yang memerlukan komitmen berterusan oleh semua pihak.

Teras utama dan strategi yang dikenal pasti dalam DPD adalah seperti yang berikut:

Teras Dasar Pendidikan Negara

> Analisis Strategik Dasar Pendidikan (UM Press)

Cabaran Utama

Apabila melacarkan Dasar Pendidikan Digital, kerajaan sedar akan cabaran utama perlaksanaannya adalah jurang digital antara murid bandar dan murid luar bandar yang wujud.

Dalam usaha merealisisasikan DPD, kerajaan akan mengupayakan infostruktur dan infrastruktur dengan terus berusaha dalam meningkatkan keupayaan rangkaian internet dan infrastruktur digital yang menjadi kunci untuk memastikan akses yang pantas dan canggih kepada teknologi digital.

Untu tujuan ini, KPM memperkasakan sebanyak 367 buah Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan 16 buah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan untuk inisiatif pendidikan digital.

Kesemua pusat ini dibekalkan dengan peralatan dan perkakasan studio digital dan hab penghasilan digital yang boleh digunakan oleh murid dan guru bagi meningkatkan kompetensi digital, membangunkan kandungan dan melaksanakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Selain itu, KPM juga sedang menambah baik kemudahan kelas hibrid di 110 buah institusi pendidikan terpilih yang melibatkan 550 buah bilik darjah.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut