Tarikh Hari Arafah 2025 / Waktu Wukuf Di Malaysia

TARIKH HARI ARAFAH 2025 & WAKTU WUKUF DI MALAYSIA

Hari Arafah adalah hari yang sangat istimewa buat umat Islam di seluruh dunia.

Di Malaysia, mulai tahun 2020, ia merupakan cuti umum bagi sebuah negeri sahaja di Malaysia iaitu negeri Terengganu. Mulai tahun 2022, Kelantan juga telah mengumumkan cuti umum sempena Hari Arafah.

waktu

Pengenalan

Hari Arafah yang disambut pada 9 Zulhijjah setiap tahun dan ketika ini Kota Mekah sedang padat dengan bakal-bakal haji yang bakal berhimpun di Padang Arafah bagi melakukan ibadah wukuf.

Ibadah wukuf di padang Arafah simbolik dengan peristiwa di mana Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga setelah terpedaya dengan tipu daya Iblis.

Disebabkan peristiwa itu, mereka berdua memohon ampun daripada Allah selama bertahun-tahun dan akhirnya berjumpa semula di Jabal Rahmah selepas 40 tahun terpisah.

Hari Arafah dikenali sebagai masa berdoa paling mustajab kerana pada ketika itulah Nabi Muhammad SAW mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa. 

Di Malaysia, ramai yang mengambil kesempatan pada hari ini untuk berpuasa untuk merebut ganjaran puasa pada hari tersebut di mana fadilatnya dapat menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

Berpuasa pada Hari Arafah hukumnya sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan Haji.

Ia juga adalah peluang keemasan bagi membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan .

waktu wukuf malaysia

Tarikh Hari Arafah 2025 & Waktu Wukuf Di Malaysia

Tarikh Hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah 1446 H di Malaysia bagi tahun ini ditetapkan pada 6 Jun 2025 (Jumaat), manakala di Mekah pada 5 Jun 2025.

Sesetengah pendapat mengatakan waktu yang afdhal dan mustajab doa untuk munajat adalah satu masa yang bersamaan dengan masa wukuf.

Itulah waktu mustajab doa, kita doa banyak-banyak pada Allah dan tumpukan perhatian lebih pada waktu tersebut.

Bagi yang berada di Malaysia, puasa sehari sebelum iaitu pada 5 Jun 2025 (Khamis) adalah puasa hari TARWIYAH manakala puasa pada 6 Jun 2025 (Jumaat) dikira puasa ARAFAH.

Nota: Perbezaan masa Makkah dan Kuala Lumpur adalah 5 jam.

NOTA:

Tarikh permulaan 1 Zulhijjah 1447H di Malaysia pada tahun 2025 jatuh pada 29 Mei 2025 seperti yang telah diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia

Jun 2025

POLEMIK PENENTUAN HARI ARAFAH YANG BERLAINAN DI NEGARA ARAB SAUDI DAN MALAYSIA

Soalan : Baru-baru ini viral satu posting berkenaan waktu doa mustajab Hari Arafah yang berlainan hari di Arab Saudi dan Malaysia.Persoalannya adakah tarikh puasa sunat hari Arafah mengikut tarikh wukuf di Arab Saudi atau mengikut tarikh di Malaysia. Mohon penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Jawapan : Polemik mengenai tarikh hari Arafah di media-media sosial, menyebabkan berlakunya kecelaruan dan kekeliruan dalam masyarakat. Perkara asas yang perlu difahami ialah penentuan awal bulan dalam takwim Hijri di Malaysia adalah menggunapakai kaedah rukyah dan hisab (hitungan falak) dengan merujuk kepada syarat kenampakan anak bulan yang disebut sebagai kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) bagi penetapan 3 bulan utama (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah), dan kaedah hisab sahaja utk 9 bulan-bulan lain adapun Arab Saudi mengamalkan kaedah umm al-qura bagi menentukan awal bulan-bulan Hijri. Kaedah ini mula digunakan dalam penyusunan takwim hijri di Malaysia sejak tahun 1995 lagi.

Bermula pada bulan Muharam 1443, Malaysia telah mengaplikasikan syarat kenampakan yang baharu iaitu, anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya berada pada kedudukan 3° tinggi daripada ufuk dan jarak lengkung antara bulan dan matahari ialah 6.4° ketika matahari terbenam hari ke 29 dalam setiap bulan Hijri. Syarat imkanur rukyah ini turut dipersetujui penggunaanya oleh negara-negara MABIMS seperti Indonesia, Brunei dan Singapura .

Walaupun MABIMS merujuk kepada kriteria imkanur rukyah yang sama, namun setiap negara mempunyai proses pensabitan kenampakan anak bulan yang tersendiri. Oleh itu, berkemungkinan akan berlakunya perbezaan dalam tarikh permulaan awal bulan tersebut. Dalam aspek fiqh, perkara ini tertakluk kepada matlak iaitu keluasan geografi dalam mensabitkan kenampakan anak bulan yang tertentu.

Justeru itu, di Malaysia penentuan tarikh awal bulan Zulhijah berdasarkan hasil cerapan dan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Penentuan hari Arafah adalah mengikut perkiraan melihat anak bulan Zulhijah pada 9 hari bulan mengikut waktu dan tarikh tempatan walaupun berbeza tarikh wukuf di Arab Saudi. Hal ini kerana matla’ atau tempat terbit bulan dan matahari berbeza mengikut tempat masing-masing

Oleh itu, umat Islam di Malaysia hendaklah menunaikan puasa sunat hari Arafah mengikut perkiraan tarikh melihat anak bulan Zulhijah di Malaysia dan tidak mengikut tarikh wukuf di Arab Saudi. Di samping itu juga, umat Islam digalakkan untuk berpuasa hari tarwiyah sehari sebelum hari Arafah iaitu pada 8 Zulhijah.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan satu artikel berkenaan isu ini di dalam IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-61 : https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-haji-korban/5329-irsyad-al-fatwa-haji-dan-korban

Baca juga: Niat Puasa Sunat Arafah & Kelebihannya

Cuti Hari Wukuf / Arafah 2025

Menurut Jadual Hari Kelepasan Am Negeri 2025, Hari Arafah adalah cuti umum bagi negeri Terengganu dan Kelantan, di mana bagi tahun ini ia jatuh pada 6 Jun 2025.

jadual hari kelepasan am negeri 2025 cuti

NOTA: Kerajaan Kelantan telah menggazettekan Hari Wukuf di Malaysia adalah hari Kelepasan Am bagi Negeri Kelantan mulai tahun 2022.

Doa Hari Arafah @ Ketika Waktu Wukuf Di Malaysia

AMALKAN DOA-DOA PILIHAN HARI ARAFAH – OLEH USTAZAH ASMA’ HARUN

Saat ini para jemaah haji sedang bersedia untuk melaksanakan salah satu rukun dalam ibadah haji iaitu wukuf di padang Arafah.

Detik ini ialah detik yang paling dinanti-nantikan kerana mustajabnya doa yang dipanjatkan. Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)

Antara zikir dan doa pilihan yang boleh dibaca ialah seperti berikut:

1) ZIKIR NABI SAW SEMASA HARI ARAFAH

Daripada Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari ‘Arafah dan sebaik-baik apa yang aku dan para nabi sebelumku katakan adalah

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Allah semata dan tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya lah segala kerajaan dan pujian dan Dialah Maha Menguasai atas segala sesuatu.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)

KELEBIHAN MEMBACA ZIKIR INI 100 KALI:

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ كَانَتْ لَهُ عَدْلَ عَشْرِ رِقَابٍ وَكُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ وَمُحِيَتْ عَنْهُ مِائَةُ سَيِّئَةٍ وَكَانَتْ لَهُ حِرْزًا مِنْ الشَّيْطَانِ يَوْمَهُ ذَلِكَ حَتَّى يُمْسِيَ وَلَمْ يَأْتِ أَحَدٌ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ بِهِ إِلَّا أَحَدٌ عَمِلَ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya: “Barang siapa yang membaca

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ’

‘Laa ilaaha illallahu wahdahuu laa syariika lahuu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alaa kulli syai’in qodir’

(Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa tidak ada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala puji dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu),
sebanyak 100 kali dalam sehari, maka baginya pahala seperti membebaskan 10 ORANG HAMBA, ditetapkan baginya 100 KEBAIKAN dan dijauhkan daripadanya 100 KEBURUKAN dan baginya perlindungan daripada (godaan) syaitan pada hari itu hingga petang dan tidak ada orang yang lebih baik amalnya daripada orang yang membaca doa ini kecuali seseorang yang dapat mengamalkan lebih banyak zikir ini”.
(HR Bukhari, hadis sahih)

2) DOA PENYERAHAN DIRI KEPADA ALLAH

Daripada Ali Bin Abi Thalib beliau berkata: Kebanyakan doa yang diucapkan Rasulullah SAW pada hari Arafah di tempat wuquf adalah:

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ كَالَّذِي نَقُولُ وَخَيْرًا مِمَّا نَقُولُ اللَّهُمَّ لَكَ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي وَإِلَيْكَ مَآبِي وَلَكَ رَبِّ تُرَاثِي اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَوَسْوَسَةِ الصَّدْرِ وَشَتَاتِ الْأَمْرِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا تَجِيءُ بِهِ الرِّيحُ

Maksudnya: “Ya Allah, segala puji bagi-Mu seperti yang kami ucapkan, dan lebih baik daripada apa yang kami ucapkan. Ya Allah, untuk-Mu solatku, ibadah hajiku, hidupku dan matiku. Kepada-Mu aku akan kembali, dan milik-Mu wahai Tuhanku kekayaanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada seksaan kubur, keraguan hati, serta kekacauan urusanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang dibawa oleh angin.”
(HR Tirmidzi, hadis gharib)

3) SAYYIDUL ISTIGHFAR (PENGHULU ISTIGHFAR)

Daripada Syaddad bin Aus r.a., Rasulullah SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyidul Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”.
(HR Bukhari, hadis sahih)

KELEBIHAN SAYYIDUL ISTIGHFAR

Nabi Muhammad SAW bersabda:

«وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ»

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyidul Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.
(HR Bukhari, hadis sahih)

4) DOA MEMOHON KEAMPUNAN DARIPADA ALLAH SWT

Abu Bakar as-Siddiq r.a. pernah meminta Nabi Muhammad SAW mengajarkan satu doa kepadanya. Lalu baginda SAW bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku dengan banyak kezaliman dan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan sebuah pengampunan dari sisi-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’’
(HR Bukhari, hadis sahih)

5) DOA MEMOHON KEAMPUNAN BAGI KEDUA IBU BAPA

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
(Surah Ibrahim 14: 41)

6) DOA MEMOHON RAHMAT DARIPADA ALLAH SWT

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ ءَامَنَّا فَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling Baik.”
(Surah al-Mukminun 23:109)

7) DOA AGAR DITETAPKAN HATI DALAM KETAATAN

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan berilah kepada kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.”
(Surah Ali ‘Imran 3: 8 )

8 ) DOA AGAR DIKURNIAKAN KETURUNAN YANG MENYEJUKKAN MATA

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa.”
(Surah al-Furqan 25: 74)

9) DOA AGAR MENJADI HAMBA-NYA YANG SENTIASA BERSYUKUR

Firman Allah SWT:

رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَٰلِحًا تَرْضَىٰهُ وَأَدْخِلْنِى بِرَحْمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصَّلِحِينَ

Maksudnya: “Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.”
(Surah al-Naml 27: 19)

10) DOA DIJAUHI RASA HASAD DENGKI

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ
وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, Sungguh, Engkau Maha Penyantun, Maha Penyayang.
(Surah al-Hasyr 59:10)

Mari sahabat semua, ajak seluruh keluarga dan sahabat untuk sama berdoa dengan penuh sungguh dan harap, mudah-mudahan Allah SWT mendengar setiap rintihan dan rayuan dari para hamba yang sedang meminta kepada-Nya. Allahumma ameen.

Sumber: Ustazah Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut tentang tarikh-tarikh penting dalam Islam, sila rujuk laman web JAKIM di atau Portal e-solat di https://www.e-solat.gov.my/.