Bunga kenanga merupakan salah satu bunga yang cukup sinonim dalam kalangan kaum Melayu.
Selain dijadikan pewangi semulajadi dan tanaman hiasan, bunga ini turut digunakan secara tradisional bagi merawat pelbagai penyakit.
Ayuh kita kenali bunga ini dengan lebih lanjut.
Nama Saintifik Bunga Kenanga
Dalam dunia botani, bunga kenanga dikenali dengan nama saintifik Cananga odorata. Dalam English, ia dikenali sebagai Ylang-ylang.
Nama Ylang-ylang dipercayai berasal dari bahasa Tagalog yang membawa maksud ‘bunga kepada bunga’ (flower of flowers).
Dalam kalangan masyarakat Melayu, bunga ini sering disebut sebagai Kenanga atau Kenanga Hutan.
Nama genus bagi bunga ini iaitu Cananga berasal dari perkataan bahasa Melayu iaitu Kenanga, manakala odorata pula diambil dari bahasa Latin yang bermaksud berbau harum.
Selain Malaysia, bunga kenanga boleh dijumpai di beberapa negara seperti Filipina, Indonesia, India dan Australia.
Bunga ini boleh dikenali dengan bunga berwarna kuning serta rupanya yang unik berbanding bunga lain.
Ketika masih muda, kuntuman bunga Kenanga yang halus memanjang berada dalam keadaan terpusing. Apabila ia sudah matang, ia akan terbuka dan merebeh ke bawah.
Dari sudut komersial, bunga ini ditanam secara meluas bagi menghasilkan minyak pati yang kemudiannya digunakan dalam pelbagai produk kecantikan termasuk minyak wangi, sabun, syampu dan minyak rambut.
Minyak patinya juga telah dikaji sebagai salah satu ramuan pembasmi serangga yang berkesan bagi mencegah beberapa spesis nyamuk.
Di Malaysia, pokoknya sering ditemui di tepi jalan, taman bunga serta dijadikan sebagai tanaman hiasan dengan haruman yang semerbak.
Di kepulauan Borneo, para wanita di sana turut mengeringkan bunga harum ini untuk dipakai di kepala atau diletakkan di antara pakaian.
Kegunaan Secara Tradisional
Bunga ini merupakan salah satu ramuan popular dalam perubatan tradisional bagi beberapa masyarakat.
Dalam perubatan tradisional Melayu, bunganya dicelur dan airnya pula diminum bagi merawat lelah dan malaria.
Bunganya turut digunakan dalam mandian untuk para ibu yang baru bersalin. Segenggam kudup bunga ini akan dihancurkan bersama ramuan lain seperti akar serapat dan kunyit lalu jusnya diminum.
Air rebusan kulit pokok kenanga pula digunakan bagi mengurangkan bau badan.
Bagi mengatasi masalah gatal-gatal, daunnya ditumbuk dan dilumur di tempat yang bermasalah.
Di kepulauan Jawa pula, masyarakatnya sering mengeringkan bunga harum ini untuk dijadikan penawar penyakit malaria.
Bunganya yang segar pula ditumbuk untuk dijadikan penawar asma.
Dalam kalangan masyarakat Tonga dan Samoa, kulit kayu pokok kenanga digunakan untuk merawat sakit perut dan dijadikan ubat julap.
Pakar herba pula berpendapat bahawa saringan bunga kenanga mempunyai nilai perubatan.
Minyak patinya dikatakan berguna dalam merawat beberapa masalah kesihatan seperti kemurungan, masalah pernafasan, tekanan darah tinggi, kebimbangan dan sebagai afrodisiak.
Di sebalik harumannya yang memukau, bunga kenanga rupanya telah digunakan sejak dahulu untuk merawat pelbagai penyakit.
Selain memberikan wangian yang segar, tidak hairanlah mengapa banyak produk kecantikan dan penjagaan diri turut menggunakan bunga ini sebagai salah satu ramuan utama.
Sumber : Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Britannica, Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS), forestry.gov.my
Baca Juga : Bunga Kemboja : Nama Saintifik dan Fakta Menarik