Bendera Perlis: Maksud Dua Jalur Warna

bendera perlis
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bendera Perlis dikenali sebagai bendera yang mempunyai dua jalur warna iaitu warna kuning dan biru.

Kedua-dua warna ini mempunyai makna dan maksud yang tersendiri.

Sejarah Negeri Perlis

Perlis terletak di utara Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan negara Thailand di utara, negeri Kedah di selatan dan Selat Melaka di barat.

Sebagai sebuah negeri yang terkecil di Malaysia dengan keluasan sebanyak 821 km persegi, ia mempunyai enam daerah iaitu Kangar (ibu negeri), Arau, Kaki Bukit, Kuala Perlis, Padang Besar dan Simpang Empat.

Pemerintahan Perlis diterajui oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis.

Terdapat pelbagai sumber yang menceritakan mengenai sejarah nama negeri Perlis, antaranya, nama Perlis dikatakan berasal dari perkataan Siam prow-lowy yang bererti ‘kelapa hanyut’ atau dari perkataan dialek Melayu Utara ‘perelus’ iaitu ‘kaki termasuk ke dalam atau ke celah sesuatu’.

Ada juga sumber menyatakan nama Perlis berasal dari nama Peran Leh yang merujuk kepada seorang pelawak mahsyur bernama Saleh atau nama sejenis pokok.

Selain itu, nama Perlis turut dikatakan bermula dari perkataan ‘peroleh’ yang bermakna ‘mendapat, sempena nama pembesar bergelar Tok Perlis dan juga dikaitkan dengan ‘perlit’ yang bererti batu.

Perlis juga biasa disebut sebagai Kayang dan nama ini dipendekkan bersempena nama Kota Indera Kayangan yang diasaskan oleh Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah I berhampiran Kuala Sungai Perlis. Baginda adalah Sultan Kedah yang kelima belas dan memerintah dari tahun 1661 sehingga 1687.

Dari aspek sejarah penempatan pula, penempatan pra-sejarah didapati sudah wujud di bumi Perlis sejak sekian lama dan dibuktikan menerusi penemuan arkeologi di Gua Bukit Tegun Lembu, Mukim Beseri.

Selain itu, penemuan arkeologi juga diperolehi di Gua Berhala dan Gua Kurong Batang yang masing-masing terletak di Mukim Wang Bintong.

Penemuan-penemuan ini mengisyaratkan kepercayaan manusia di kawasan tersebut yang dipengaruhi unsur-unsur Buddha Mahayana dan Hindu. 

Satu ketika dahulu, Perlis merupakan daerah atau jajahan di bawah Kerajaan Kedah Tua dan kemudiannya Kesultanan Kedah.

Perlis mula menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Kedah apabila Sultan Kedah keempat belas, Sultan Muhyiddin Mansur Syah Ibni Sultan Rijaluddin Muhammad Shah yang memerintah dari tahun 1653 sehingga 1661 membina Kota Sena.

Kota Sena yang menjadi asas kewujudan Bandar Kangar mula dibina oleh baginda pada tahun 1653 dan dikatakan siap pembinaannya dalam tempoh masa dua tahun.

Maksud Warna Bendera Perlis

Bendera ini mempunyai dua warna yang melambangkan maksud yang berikut:

  • Jalur berwarna kuning: Melambangkan simbol pemerintahan beraja iaitu Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis
  • Jalur berwarna biru: Melambangkan simbol rakyat jelata.
  • Kedua-dua warna ini menunjukkan hubungan erat antara ‘Raja dengan Rakyat’.

Muat Turun Bendera Perlis

Bendera ini boleh dimuat turun menerusi gambar di bawah:

Sumber: https://dymm.perlis.gov.my/portal/index.php/ms/info-diraja/pengenalan-negeri-perlis

Baca juga: Koleksi Peta Malaysia Yang Boleh Dimuat Turun

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut