Jika anda pernah membaca akhbar, menonton berita atau filem yang memaparkan adegan melibatkan undang-undang, ataupun anda sendiri pernah menghadiri kes mahkamah, pastinya anda pernah mendengar istilah “alibi”.
Istilah ini merupakan satu istilah undang-undang yang merujuk kepada bukti atau keterangan yang menunjukkan bahawa seseorang individu itu tidak berada di tempat kejadian sesuatu jenayah ketika jenayah tersebut berlaku.
Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lagi tentang makna dan konteks penggunaan bagi istilah alibi dari aspek undang-undang ini, pastikan anda terus bersama kami sehingga ke penghujung artikel ini.
Maksud Alibi & Konteks dalam Undang-Undang
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Alibi ini merujuk kepada bukti atau keterangan bahawa seseorang yang dituduh itu berada di tempat lain ketika berlaku sesuatu perbuatan jenayah.
Dalam konteks undang-undang, alibi sering digunakan sebagai pembelaan dalam kes-kes jenayah. Apabila seseorang dituduh melakukan jenayah, mereka boleh mengemukakan alibi untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mungkin melakukan jenayah tersebut kerana mereka berada di lokasi lain pada masa yang ditentukan.
Bukti atau keterangan yang diberikan oleh tertuduh ini boleh berbentuk keterangan saksi, bukti bergambar seperti rakaman video, atau dokumen yang menunjukkan tempat mereka berada semasa kejadian berlaku.
Penting untuk diingat bahawa dalam undang-undang, beban bukti terletak pada pihak pendakwaan untuk membuktikan kesalahan tertuduh. Sekiranya seorang tertuduh mengemukakan keterangan yang sah dan meyakinkan, beban bukti akan beralih kepada pendakwaan untuk menolak bukti tersebut dan membuktikan bahawa tertuduh sememangnya terlibat dalam jenayah.
Baca juga: TESP MARA 2024/2025: Program Penajaan Pengajian Tertiari
Jenis-Jenis Bukti & Contoh Situasi
Bukti atau keterangan yang diberikan oleh tertuduh boleh dibahagikan kepada beberapa jenis berdasarkan jenis bukti yang dikemukakan oleh tertuduh untuk menyokong dakwaannya. Antaranya:
- Keterangan Berasaskan Saksi
- Tertuduh mungkin mengemukakan saksi yang boleh mengesahkan bahawa mereka berada di tempat lain semasa jenayah berlaku.
- Contoh Situasi:
- Ali dituduh terlibat dalam kes rompakan yang berlaku di sebuah bank. Ali menafikan dakwaan tersebut dan mengemukakan alibi bahawa dia berada di kedai makan bersama sahabatnya, Ahmad, pada masa kejadian. Keterangan saksi (Ahmad) ini akan membantu mengukuhkan atau melemahkan keterangan Ali.
- Keterangan Berasaskan Bukti Fizikal
- Bukti fizikal seperti rekod telefon, rekod perjalanan, atau rakaman CCTV juga boleh digunakan untuk menyokong alibi seseorang.
- Contoh Situasi:
- Siti dituduh melakukan kes pecah rumah di kawasan kejiranannya. Siti mendakwa bahawa dia berada di pejabat pada waktu kejadian. Sebagai bukti, peguamnya mengemukakan rakaman CCTV di pejabat yang menunjukkan Siti berada di tempat kerja sepanjang hari tersebut.
- Keterangan Berasaskan Bukti Dokumentari
- Dokumen atau rekod yang sah, seperti laporan perubatan atau bukti kehadiran di tempat kerja, boleh digunakan untuk menunjukkan bahawa tertuduh berada di tempat lain pada masa jenayah berlaku.
- Contoh Situasi:
- Zuraida dituduh melakukan penipuan dengan mengeluarkan cek palsu. Namun, Zuraida mengemukakan bukti bahawa dia berada di hospital pada waktu kejadian kerana menjalani rawatan perubatan. Sebagai bukti, peguamnya mengemukakan laporan perubatan yang menyatakan Zuraida berada di hospital untuk pemeriksaan kesihatan yang bertepatan dengan masa kejadian.
Sumber: GeeksforGeeks
Prosedur untuk Menyatakan Alibi
Bagi pihak defendan atau tertuduh yang ingin menggunakan alibi ini, mereka perlu melalui prosedur-prosedur di bawah:
- Pendedahan Alibi: Tertuduh mesti memberitahu pihak pendakwa tentang niat untuk menggunakan alibi seawal mungkin, termasuk butiran tempat dan nama saksi yang boleh mengesahkan alibi tersebut.
- Pernyataan Saksi: Pihak pembelaan mengumpul pernyataan saksi yang menyokong alibi, yang perlu ditandatangani dan mengandungi pengakuan kejujuran.
- Pernyataan Pembelaan: Pasukan undang-undang tertuduh menyediakan pernyataan pembelaan yang mengandungi bukti dan saksi alibi kepada pihak pendakwa dan mahkamah.
- Siasatan Pendakwa: Pihak pendakwa akan menyiasat alibi dengan memeriksa saksi dan bukti untuk memastikan ketepatannya.
- Pendengaran Pra-Perbicaraan: Mahkamah boleh mengadakan pendengaran untuk menyelesaikan isu berkaitan alibi, seperti kebolehlaksanaan bukti atau pendedahan.
- Perbicaraan: Semasa perbicaraan, pihak pembelaan mengemukakan bukti dan saksi alibi, dan pihak pendakwa boleh mencabar kredibiliti alibi tersebut. Hakim atau juri akan menilai sama ada alibi menimbulkan keraguan munasabah.
Sumber: JD Solicitors