Bank Rakyat telah memperkenalkan Akaun-i eGold, sebuah platform pelaburan emas digital yang patuh syariah.
Akaun ini membolehkan pelanggan membeli dan menjual emas dengan mudah melalui perbankan internet iRakyat tanpa perlu menyimpan emas secara fizikal.
Dengan pelaburan serendah RM10, pelanggan boleh memiliki emas berkualiti tinggi bertaraf 999.9, yang diiktiraf oleh London Bullion Market Association (LBMA).
Akaun-i eGold Bank Rakyat disokong oleh emas tulen 999.9 yang diperakui dan dibekalkan oleh vendor emas yang dilantik oleh Bank dari semasa ke semasa, iaitu sebuah syarikat yang terlibat dalam perdagangan emas melalui perdagangan elektronik atau fizikal dan perundingan dalam perniagaan berkaitan emas serta mempunyai kepakaran, lesen dan permit yang diperlukan berkaitan dengan perdagangan emas.
Kelebihan Akaun-i eGold Bank Rakyat
Akaun-i eGold menawarkan beberapa kelebihan utama kepada pelabur, antaranya:
- Patuh Syariah: Akaun ini berlandaskan prinsip kewangan Islam seperti Wakalah Bil Ujrah, Bai As Sarf, Hibah, dan Wadiah Yad Amanah, memastikan ketelusan dan keselamatan dalam setiap urus niaga.
- Pelaburan Mampu Milik: Pelanggan boleh mula melabur dengan jumlah serendah RM10, menjadikannya lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
- Harga Masa Sebenar: Pelabur dapat membeli dan menjual emas berdasarkan harga pasaran semasa, memberikan peluang untuk mendapatkan keuntungan lebih kompetitif.
- Pilihan Emas Fizikal: Pelanggan boleh menukar baki emas digital mereka kepada emas fizikal dalam denominasi antara 0.5 gram hingga 100 gram, yang akan dihantar terus ke alamat pilihan.
- Kemasukan dan Pengeluaran Mudah: Pelanggan boleh menambah dana ke akaun eGold mereka melalui pelbagai kaedah perbankan dalam talian Bank Rakyat. Begitu juga, penjualan emas dan pengeluaran dana ke akaun bank juga dapat dilakukan dengan mudah.
Syarat Kelayakan Memohon Akaun-i eGold
Untuk membuka Akaun-i eGold Bank Rakyat, pemohon perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan berikut:
- Pemohon mestilah warganegara Malaysia atau penduduk tetap.
- Pemohon mestilah berumur 18 tahun ke atas.
- Pemohon dikehendaki mempunyai akaun simpanan atau akaun semasa di Bank Rakyat. Ini memudahkan proses pendebitan dan pengkreditan dana.
Cara mohon dan transaksi pembelian
Proses pendaftaran Akaun-i eGold adalah mudah dan boleh dilakukan secara dalam talian melalui platform iRakyat. Berikut adalah langkah-langkahnya:
- Pastikan anda mempunyai akaun Bank Rakyat – Jika belum, kunjungi cawangan terdekat untuk membuka Akaun Semasa-i, Akaun Simpanan-i, atau Akaun Pelaburan-i.
- Log masuk ke iRakyat di www.irakyat.com.my menggunakan ID dan kata laluan anda.
- Klik menu “Pelaburan” dan pilih “Akaun-i eGold”.
- Klik “Pembukaan Akaun Baru”, baca dan setuju dengan terma serta syarat yang diberikan.
- Sahkan pendaftaran melalui iSecure, yang akan dihantar ke peranti telefon bimbit anda.
Selepas akaun dibuka, pelanggan boleh mula membeli emas dengan mengikuti langkah berikut:
- Sahkan transaksi melalui iSecure, dan pembelian emas anda berjaya.
- Log masuk ke iRakyat dan pilih “Akaun-i eGold”.
- Klik “Buy Gold”, masukkan jumlah pelaburan dan klik “Calculate”.
- Setuju dengan terma dan syarat, kemudian klik “Submit”.
Untuk perbankan dalam talian melalui iRakyat, transaksi emas boleh dilakukan dari pukul 8:30 pagi hingga 11:59 malam setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum.
Baca lagi: iRakyat: Daftar & Semak Baki Akaun Bank Rakyat Online
Maklumat lanjut dan pertanyaan
Untuk maklumat lanjut, sila layari dokumen FAQ di https://www.bankrakyat.com.my/assets/documents/bank-rakyat/FAQ%20(ENGLISH)%20-%20EGOLD.pdf
Untuk sebarang pertanyaan, sila kunjungi cawangan terdekat atau hubungi Pusat Perhubungan Bank Rakyat di 1-300-80-5454.