Bunga Dahlia : Nama Saintifik dan Simboliknya

Adakah anda salah seorang peminat bunga dahlia? Bunga ini merupakan antara tanaman hiasan dan bunga yang sering menjadi pilihan ramai.

Ia juga mempunyai rupa yang sangat menyerlah dan boleh didapati dalam pelbagai warna.

Di sebalik keindahannya, sebenarnya terdapat maksud atau simbolik menarik mengenai bunga ini.

Ayuh kita kenali dahlia dengan lebih rapat lagi.

bunga dahlia
Sumber : Blossom Flower Shops

Nama Saintifik Bunga Dahlia

Dipercayai berasal dari Mexico, bunga yang cantik ini juga merupakan bunga kebangsaan bagi negara tersebut sejak tahun 1963.

Dalam bahasa Inggeris, ia turut dikenali dengan nama yang sama iaitu dahlia.

Nama dahlia diambil daripada nama genus bunga ini sendiri iaitu Dahlia.

Kira-kira 40 spesis bunga yang tergolong di bawah genus yang sama dan terdapat berpuluh ribu varian yang boleh dikenalpasti.

Namun, 6 daripadanya ditanam secara meluas atas permintaan yang tinggi dari seluruh dunia.

Nama saintifik Dahlia pula adalah khusus bergantung kepada spesisnya. Antara spesis yang popular adalah Dahlia bipinnata, Dahlia variabillis dan Dahlia coccinea.

Dahlia turut dikenali sebagai ‘bunga tujuh warna’ kerana ia boleh didapati dalam pelbagai warna seperti putih, merah, kuning, ungu, biru dan jingga.

bunga dahlia

Bunga ini dilihat lebih subur apabila ditanam di lereng bukit atau puncak dengan cuaca yang tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas.

Selain terkenal sebagai tanaman hiasan, bunga ini juga banyak digunakan dalam upacara keagamaan bagi penganut Buddha dan Hindu.

Terdapat juga pengusaha tanaman dahlia yang turut memanfaatkan bunga ini bagi menghasilkan produk lain seperti madu, jem dan biskut.

bunga dahlia
Sumber : Let’s Travel to Mexico

Akar bunga dahlia pula didapati berpotensi dalam membantu mengawal paras gula dalam darah, mencegah kolesterol dan trigliserida.

Dua jenis spesis dahlia iaitu Dahlia coccinea dan Dahlia campanulata adalah antara yang paling mendapat tumpuan dalam kalangan para pengkaji kerana kandungan akar dan prebiotik inulin yang tinggi berbanding spesis lain.

Mungkin sesetengah orang tidak tahu bahawa akar dahlia mempunyai bentuk seakan ubi.

Ia juga boleh digunakan untuk dijadikan kerepek atau dijadikan ramuan kek sebagaimana kebanyakan orang menggunakan lobak untuk menghasilkan pemanis mulut.

Sumber : Irish Times

Maksud / Simbolik Bunga Dahlia

Di sebalik keindahan bunga ini, sebenarnya terdapat maksud atau simboliknya yang mungkin ramai tak tahu.

Sekuntum bunga dahlia membawa maksud ‘mencari kekuatan dalaman’.

Ini membuatkan bunga ini sesuai untuk diberikan kepada orang yang sedang melalui cabaran getir dalam hidup atau sebagai tanda sokongan.

Dengan bentuk kuntuman bunga yang unik dan menyerlah, ia juga sesuai untuk dihadiahkan kepada orang terdekat yang ingin memasuki fasa baru dalam hidup seperti baru bergraduasi atau ingin memulakan kerja baru.

Sumber : Britannica, actahort.org, floraly.com.au

Baca Juga : Bunga Mawar : Maksud Mengikut Warna dan Jumlah dalam Jambangan

Bantu kami share artikel ini: