Kutu Air : Punca Jangkitan Pada Kaki & Cara Merawat

Penyakit kutu air atau turut dikenali sebagai kulat air dan kaki atlet adalah jangkitan pada kaki yang disebabkan oleh kulat. Dari segi perubatan, ia dikenali sebagai Tinea Pedis dan boleh berlaku berkali-kali terhadap seorang individu.

Bagi anda yang berminat untuk ketahui lebih lagi berkenaan penyakit kaki atlet ini, anda boleh teruskan membaca artikel ini. Kerana, pada artikel ini akan kami terangkan kepada anda tentang penyakit ini dan cara merawatnya.

Apa itu Kutu Air?

Seperti yang dinyatakan di bahagian sebelum ini, kutu air atau turut dikenali sebagai kulat air dan kaki atlet, merupakan penyakit yang berlaku disebabkan oleh jangkitan kulat.

Penyakit kulat air ini, selalunya berlaku di bahagian kaki, terutamanya di celah-celah jari kaki anda. Penyakit yang turut dikenali sebagai Tinea Pedis ini juga merupakan penyakit mudah berjangkit.

Sentuhan dengan kulit yang dijangkiti atau pakaian yang tercemar dan tidak dibersihkan boleh menyebarkan jangkitan. Tempat awam seperti sekolah berasrama, tempat berenang orang awam dan pusat kecergasan adalah tempat biasanya berlaku jangkitan.

Berikut merupakan empat kategori atau jenis penyakit kutu air yang boleh berlaku ke atas seseorang individu:

  • Tinea pedis interdigital
    • Jenis jangkitan ini dicirikan oleh hakisan pruritik atau sisik antara jari kaki, terutamanya pada jari kaki ketiga dan keempat. Mungkin juga terdapat retakan yang menyakitkan di antara jari kaki. 
  • Tinea pedisjenis moccasin
    • Kaki bersisik dan penebalan tapak kaki boleh meluas ke tepi kaki dalam perebaran moccasin.
  • Tinea pedis vesiculobulous (radang)
    • Jangkitan ini biasanya menjejaskan tapak kaki dengan lepuh (vesicles) yang beralun atau berisi cecair.
  • Jangkitan ulseratif
    • Jangkitan ulseratif akut adalah bentuk kaki atlet yang paling jarang berlaku di mana kudis terbuka (ulser) berkembang di antara jari kaki atau bahagian bawah kaki. Di sini, luka terbuka (ulser) berkembang di antara jari kaki atau bahagian bawah kaki anda.

Punca Kulat Air Berlaku

Penyakit kutu air ini boleh berlaku akibat jangkitan kulat yang dikenali sebagai Dermatophytes atau  atau lebih tepat lagi Trichophyton. Berikut merupakan sebab berlakunya jangkitan kulat ini pada seseorang individu:

  • Mempunyai kaki yang basah atau berpeluh.
  • Kerap memakai kasut tertutup.
  • Kerap memakai kasut/stoking dalam keadaan kaki yang lembap atau basah
  • Berjalan tanpa alas kaki di kawasan awam seperti bilik persalinan atau kemudahan kolam
  • Berkongsi kasut dengan seseorang yang mengalami kaki atlet
  • Menyentuh kulit seseorang yang mengalami kaki atlet.
  • Sistem dayatahan badan yang rendah.

Tanda dan Gejala Kulat Air

Penyakit kulat air ini boleh anda kenal pasti melalui beberapa tanda dan gejala umum. Antaranya termasuklah:

  • Bau kaki yang tidak menyenangkan
  • Gelembung kecil atau lepuh yang gatal pada kulit kaki.
  • Ruam merah berkeruping yang gatal di celah jari kaki. Lama kelamaan menyebabkan rekahan, kulit menggelembung yang boleh menyebabkan jangkitan kuman
  • Kuku yang tebal, rapuh, kusam berubah warna atau terangkat dari asas kuku.
  • Kulit kaki menjadi kering dan berkeruping
  • Kulit menggelupas dan merekah terutamanya di bahagian celah jari kaki

Cara Merawat Kaki Atlet

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan simptom penyakit kutu air ini adalah tidak serius dan tidak memerlukan pesakit untuk berjumpa dengan doktor. Hal ini demikian keran, ubat yang berkesan dalam menyembuhkan penyakit ini boleh anda temui di farmasi.

Bagi kes kulat air yang kronik, selalunya doktor akan menyarankan ubat anti kulat yang lebih kuat. Berikut merupakan antara beberapa ubat anti kulat yang boleh anda gunakan untuk merawat penyakit ini:

  • Clotrimazole
  • Econazole
  • Ketoconazole
  • Miconazole
  • Terbinafine
  • Sulconazole

NOTA: Namun begitu, nasihat dan pandangan pakar perlu diperoleh sebelum membeli ubat-ubatan di atas. Hal ini demikian kerana terdapat ubat yang tidak sesuai untuk diberikan kepada pesakit orang tua, ibu hamil dan kanak-kanak kecil.

Langkah Pencegahan Kutu Air

Sebelum diserang penyakit kutu air ini, sebaiknya kita mengambil langkah pencegahan awal. Berikut merupakan beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi mengelakkan jangkitan kulat air ini:

  • Sentiasa pastikan kaki anda kering terutamanya selepas mandi dan selepas wudhuk.
  • Biar berkaki ayam selama yang boleh di dalam rumah untuk membolehkan pengudaraan kaki yang baik.
  • Pakai stoking yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kapas atau bulu kambing biri-biri yang boleh menyerap lembapan dari kaki.
  • Tukar stoking dan sarung kaki selalu. Sekiranya kaki jenis berpeluh, tukar stoking dengan lebih kerap.
  • Pakai kasut ringan dan mempunyai pengudaraan yang baik. Elakkan kasut yang diperbuat dari bahan sintetik seperti vinyl dan juga getah
  • Sediakan beberapa kasut untuk ditukar bersilih ganti. Ini akan membolehkan kasut kering sepenuhnya selepas penggunaan
  • Pakai sandal kalis air atau sandal khas mandian di bilik mandi awam, kolam renang dan pusat kecergasan dan juga tempat awam
  • Gunakan kasut anda sendiri, meminjam kasut orang lain memberi risiko mendapat jangkitan kulat
kutu air

Sumber:

  1. Facebook Dr Zubaidi Hj Ahmad
  2. Portal MyHealth
  3. Laman Health Pulse

Baca juga: Mpox : Gejala, Cara Mencegah dan Rawatan Sesuai

Bantu kami share artikel ini: