Sinopsis Buku Ilmiah: Panduan Penulisan Sinopsis

Untuk mengetahui penceritaan sebenar mengenai sesuatu buku, ianya boleh dilakukan dengan membaca sinopsis buku ilmiah.

Namun, tahukah anda cara untuk membuat penulisan sinopsis berkaitan buku tersebut?

Berikut diterangkan panduan untuk penulisan sinopsis buku yang berbentuk ilmiah.

Maksud Sinopsis

Apakah yang dimaksudkan dengan sinopsis?

Sinopsis bermaksud ringkasan yang memberikan gambaran kepada pembaca mengenai sesebuah karya atau penulisan.

Perkara Penting Dalam Sinopsis Buku Ilmiah

Antara perkara penting yang perlu ada dalam sinopsis buku ini adalah seperti berikut:

  • Perkara utama yang diterangkan dalam buku tersebut
  • Isi-isi penting yang dibangkitkan
  • Resolusi (Pengakhiran)

Contoh Sinopsis Buku Ilmiah

Tajuk buku: Belajar melalui bermain : Prinsip utama kurikulum pendidikan awal kanak-kanak.

Penulis: Sharifah Nor Puteh dan Aliza Ali

Sinopsis

Buku setebal 113 halaman ini telah dihasilkan oleh penulis yang arif dalam dunia pendidikan iaitu Dr. Sharifah Nor Puteh dan Aliza Ali. Dr. Sharifah mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembangunan kurikulum. Beliau kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Penulis Aliza Ali pula kini bertugas di Universiti Tunku Abdul Rahman sebagai pensyarah pendidikan awal kanak-kanak. Beliau berpengalaman luas dalam bidang latihan guru prasekolah swasta dan pembangunan bahan pendidikan awal kanak-kanak.

Buku ini mempunyai sebelas (11) bab dan dikupas dengan terperinci. Kandungan bab- bab tersebut ialah bermain adalah fitrah kanak-kanak, kepentingan bermain, hubungan bermain dengan perkembangan domain, jenis-jenis permainan, bermain daripada perspektif teori, kurikulum berasaskan pendekatan bermain, bermain dalam konteks pendidikan, guru sebagai pelaksana pengajaran dan pembelajaran melalui bermain,

ruang pembelajaran, bahan dan alat permainan dan pelaksanaan dan aktiviti cadangan. Belajar melalui bermain adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak. Melalui teknik ini juga akan mendatangkan keseronokan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Aktiviti bermain akan menggalakkan kanak-kanak menguasai perkembangan dan kemahiran fizikal dan penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan dan peraturan tatabahasa.

Pendidikan tadika adalah peringkat pendidikan yang paling awal bagi kanak-kanak, selepas pendidikan yang diperolehi daripada keluarga. Oleh sebab itu, guru tadika haruslah memikirkan strategi-strategi yang boleh menyeronokkan kanak-kanak. Dalam usaha mengajar kanak-kanak itu, guru tidak harus memikirkan pencapaian akademik semata-mata tanpa memikirkan aspek perkembangan yang lain. Kanak-kanak tidak harus dibebankan dengan aktiviti-aktiviti kelas yang terlalu berat kerana ia boleh menghilangkan minat mereka untuk belajar. Salah satu strategi pengajaran yang difikirkan sesuai bagi peringkat kanak-kanak prasekolah ialah belajar melalui bermain.

Sehubungan itu tugas-tugas menyampaikan aktiviti ini memerlukan kepakaran. Aktiviti yang dijalankan perlulah mempunyai perancangan yang teliti. Kaedah belajar sambil bermain menyuburkan lagi perkembangan kanak-kanak. Ini jelas dapat diperlihatkan dalam perkembangan motor di mana dengan adanya keseimbangan dan pergerakan badan dalam satu-satu aktiviti akan membolehkan kanak-kanak itu melahirkan perasaan mereka dengan cara yang paling optima.

Perkembangan fizikal dapat dikuasai melalui aktiviti fizikal di dalam bilik darjah dan di luar bilik darjah dengan menggunakan pelbagai alat permainan yang disediakan dan aktiviti pergerakan lokomotor kreatif. Pendekatan belajar sambil bermain amat sesuai dilakukan dalam aktiviti fizikal. Hal ini kerana ia dapat merangsang minat kanak-kanak dalam melakukan aktiviti fizikal.

Buku ini memuatkan 27 cadangan aktiviti yang boleh dicuba oleh para guru dan ibu bapa. Aktiviti ini sesuai untuk kanak-kanak berusia di antara 4-6 tahun sama ada secara individu atau pun berkumpulan. Di antara aktiviti menarik yang dicadangkan bermain secara individu ialah Bilang dan Padan, Konsep Sifar dan Bilang dan Tambah. Manakala permainan secara kumpulan adalah seperti Menepuk Tikar, Istana Impian dan Mari ke Pasar.

Buku ini terhasil melalui kajian dan disampaikan dengan cara yang mudah difahami dan penerangan yang jelas. Buku ini sesuai dijadikan bahan rujukan oleh para pendidikan, pelajar kursus pendidikan awal kanak-kanak dan prasekolah. Maklumat di dalam buku ini sesuai dijadikan panduan kepada pendidik untuk melaksanakan aktiviti belajar melalui permainan. Buku ini turut sesuai dimiliki oleh ibu bapa yang tercari-cari idea untuk membina minda anak-anak melalui permainan.

Baca juga: Sinopsis Buku SPLKPM: Format & Cara Menulis Sinopsis

Bantu kami share artikel ini: