Buli Siber : Maksud, Contoh dan Hukuman Terhadap Pembuli

Buli siber adalah satu masalah sosial yang sukar untuk dibendung. Tambahan pula dengan kebebasan dan capaian teknologi tanpa had pada zaman ini, ia boleh membuatkan pemangsa menjadi semakin berleluasa.

Maksud Buli Siber

Perbuatan buli siber atau cyberbullying merujuk kepada penggunaan teknologi digital untuk mengganggu, merosakkan reputasi atau menakut-nakutkan seseorang.

Kegiatan buli ini juga boleh berlaku melalui pelbagai platform dalam talian antaranya laman media sosial, e-mel, laman web dan pesanan teks.

Seperti perbuatan buli lain, pembulian secara atas talian juga boleh membuatkan mangsa menjadi resah, kemurungan serta mengalami tekanan. Dalam kes yang lebih teruk, ia juga boleh menyebabkan mangsa terdorong untuk mencederakan diri sendiri termasuk bunuh diri.

Mangsa turut boleh alami beberapa kesan fizikal seperti gangguan perut, muntah, tidur terganggu dan hilang selera makan.

Perbuatan buli siber juga dilihat lebih dasyat daripada perbuatan membuli lain kerana :

  • Pembuli sukar untuk dikenalpasti kerana identiti mereka boleh rahsiakan identiti sebenar.
  • Mangsa sukar untuk melindungi diri kerana akses kepada dunia siber tiada sempadan.
  • Pembuli juga lebih mudah untuk bersekongkol berbanding pembuli lain kerana bilangan individu yang boleh turut serta tidak dihadkan dalam dunia siber.
  • Berbanding buli secara bersemuka, pembulian siber boleh berlaku selama 24 jam sehari.
buli siber

Contoh Perbuatan Yang Dianggap Sebagai Buli Siber

 Antara contoh perbuatan yang dianggap sebagai buli siber adalah :

  1. Penghinaan atau Penghinaan Publik : Menyebarkan komen atau mesej yang memalukan atau menghina seseorang di media sosial.
  2. Menyebarkan Khabar Angin : Menyebarkan khabar angin atau maklumat palsu mengenai seseorang untuk merosakkan reputasi mereka.
  3. Pengancaman : Menghantar mesej yang mengancam kesejahteraan atau keselamatan seseorang.
  4. Pencerobohan Privasi : Menyebarkan maklumat peribadi atau gambar seseorang tanpa kebenaran.
  5. Penggodaman Akaun : Perbuatan menggodam e-mel atau akaun media sosial seseorang untuk mengakses atau mengubah maklumat peribadi mereka.
  6. Penipuan Identiti : Menyamar sebagai orang lain untuk menipu atau mengelirukan pihak lain.
  7. Trolling : Meninggalkan mesej atau komen yang provokatif dan menggangu dengan tujuan menimbulkan reaksi negatif.
  8. Penggunaan Imej atau Video : Menggunakan atau mengubah suai gambar mahupun video seseorang dengan cara memalukan atau mengancam.

Langkah Untuk Mengelak Diri Menjadi Mangsa Pembulian Siber

Walaupun teknologi masa kini boleh mendedahkan seseorang kepada pembulian siber, namun terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mencegahnya :

Tetapkan Privasi Yang Tinggi

Gunakan tetapan privasi yang ketat pada akaun media sosial anda bagi mengawal siapa yang dapat berinteraksi dengan anda.

Guna Kata Laluan Yang Ketat

Pastikan kata laluan anda sukar untuk diteka. Bagi mengelakkan daripada digodam, anda juga mungkin boleh ubah kata laluan secara berkala untuk keselamatan yang lebih ketat.

Jangan Kongsikan Maklumat Peribadi

Elakkan daripada berkongsi maklumat peribadi seperti alamat, nombor telefon atau maklumat kewangan dengan pihak lain di dalam talian.

Simpan Bukti

Simpan bahan bukti seperti tangkapan skrin mesej atau komen mengganggu sebagai bukti jika perlu membuat laporan.

Lapor dan Sekat

Gunakan fungsi laporan dan sekat pengguna yang mengganggu anda di media sosial. Ini bagi menghalang mereka daripada menghubungi anda.

Jangan Membalas Atau Memberi Respn

Sekiranya anda mendapat mesej atau komen yang kurang menyenangkan, mengancam atau seumpamanya, jangan membalasnya. Ada kalanya, reaksi anda boleh menggalakkan pembuli untuk terus mengganggu.

Maklumkan Kepada Orang Dewasa Yang Dipercayai

Sekiranya anda mengalami buli siber, beritahu kepada orang dewasa yang dipercayai seperti ibu bapa, guru atau kaunselor sekolah.

Pendidikan Diri Tentang Keselamatan Siber

Teruskan mendidik diri mengenai risiko dalam talian dan cara terbaik untuk melindungi diri daripada ancaman siber.

Gunakan Alat Penapisan Kandungan

Gunakan alat penapisan kandungan atau perisian yang boleh membantu anda menyekat atau menapis mesej yang mengandungi kata-kata yang tidak sesuai.

Hukuman Terhadap Pembuli Siber

Setakat ini, pembuli siber yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman sebanyak RM 100. Difahamkan, ini merupakan hukuman maksimum bagi peruntukan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Walau bagaimanapun, Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil berkata, pihaknya bersama Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said sedang meneliti semula takrifan buli siber dan denda yang bersesuaian.

MCMC dan Polis Diraja Malaysia juga akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) untuk memudahkan proses membuat aduan buli siber.  

Difahamkan bahawa satu pengumuman penting akan diumumkan kerajaan dalam tempoh terdekat mengenai perkara ini.

Sama-sama kita nantikan perkembangannya.

Sumber : Jabatan Penerangan Malaysia
buli siber
Sumber : Jabatan Penerangan Malaysia

Bagi mencegah pembulian siber, pastikan anda sentiasa amalkan keselamatan internet. Didik anak atau orang terdekat mengenai keselatan dan etika melayari internet.

Jangan sesekali berkongsi butiran peribadi di internet dan awasi nada dan mesej yang ditulis. Sekiranya anda mengalami buli dalam talian, sila hubungi CyberSecurity Malaysia, Cyber999 melalui e-mel ke [email protected] atau SMS ke 15888 menggunakan format berikut : CYBER999 REPORT atau talian bebas tol di 1-300-88-2999.

Anda juga boleh buat laporan ke mana-mana saluran seperti yang dilampirkan berikut :

buli siber

Sumber : Majlis Keselamatan Negara (1), (2), Jabatan Penerangan Malaysia

Bantu kami share artikel ini: