G6PD Maksud, Diagnosa dan Makanan, Bahan Yang Perlu Dielakkan

Adakah anda pernah tertanya-tanya tentang penyakit G6PD maksud disebaliknya dan mengapa ia sering dikaitkan dengan kacang parang?

Walaupun hal ini kedengaran agak pelik, namun penghidap serta ibu bapa yang mempunyai anak G6PD perlulah peka mengenainya.

Sebenarnya, bukan sahaja kacang parang yang perlu dielakkan, namun terdapat pelbagai lagi bahan yang perlu dijauhi seperti ubat gegat, ubatan dan makanan tertentu.

Oleh itu, ayuh kita kenali penyakit ini dengan lebih dekat.

G6PD Maksud dan Diagnosa

G6PD sebenarnya adalah singkatan kepada sebuah nama enzim iaitu Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase yang terkandung dalam sel darah merah.

Enzim ini berperanan untuk melindungi sel darah merah daripada pecah (hemolisis) apabila terdedah kepada ubat-ubatan, makanan atau jangkitan tertentu.

Dalam erti kata lain, kekurangan enzim ini akan menyebabkan sel darah merah mudah pecah apabila penghidap terdedah kepada bahan-bahan yang tidak dibenarikan.

g6pd maksud
Sumber : labmedicineblog.com

Akibatnya, sel darah tidak mampu mengangkat oksigen ke seluruh badan dengan berkesan dan boleh menyebabkan pelbagai gejala lain.

Kekurangan enzim G6PD bukanlah perkara baru dalam kalangan masyarakat Asia. Sebaliknya, penghidapnya sangat tinggi dalam kalangan rakyat negara ini kerana faktor keturunan.

Bagi yang belum tahu, penghidap G6PD kebanyakannya adalah lelaki kerana penyakit ini berkaitan dengan padanan kromosom yang menentukan jantina individu.

Lelaki mempunyai padanan kromosom XY dan apabila kromosom X tidak berfungsi, tiada kromosom yang boleh menggantikan kromosom berkenaan.

Ini berbeza dengan perempuan yang mempunyai kromosom padanan XX dan biasanya mereka hanya sebagai pembawa (carrier).

Meskipun begitu, terdapat juga kes G6PD yang melibatkan perempuan, namun jumlahnya sangat kecil.

g6pd maksud
Sumber : genetics4medics.com

Bayi yang baru dilahirkan akan dikenalpasti sama ada menghidap G6PD atau tidak menerusi ujian saringan darah.

Ujian saringan ini akan dilakukan menggunakan darah daripada tali pusat dan sampel darah akan diambil sejurus ibu melahirkan bayi atau dalam tempoh 24 jam.

Diagnosa awal ini penting bagi melindungi bayi daripada bahan atau ubat-ubatan yang tidak dibenarkan.

Gejala

Kebanyakan penghidap yang kekurangan enzim G6PD tidak menunjukkan tanda-tanda khusus.

Kecuali bagi bayi yang baru lahir, mereka perlu diperhatikan di wad dalam suatu jangka masa kerana mereka berisiko untuk mendapat penyakit kuning (jaundis) yang tinggi akibat daripada hemolisis berlebihan.

Sumber : Harian Metro

Pada masa yang sama, adalah penting untuk ibu bapa dengan anak G6PD serta penghidap untuk ketahui gejala apabila berlakunya hemolisis.

Antara tanda-tanda yang boleh diperhatikan adalah :

Akibat daripada kekurangan darah (anemia)

  1. kelihatan pucat
  2. tidak bermaya (atau keletihan yang teramat)
  3. pening
  4. degupan jantung yang laju
  5. sukar bernafas
  6. sakit dada

Akibat daripada hemolisis

i. jaundis (kekuningan)- gejala boleh dilihat pada mata putih atau kulit, warna air kencing seperti air teh O atau Coca-Cola.

Sekiranya gejala ini berlaku, dapatkan rawatan hospital dengan segera.

Makanan, Ubat-Ubatan dan Bahan Yang Perlu Dielakkan Oleh Penghidap G6PD

Individu yang kekurangan enzim G6PD perlulah peka mengenai keadaan kesihatan mereka bagi mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.

Berikut merupakan makanan, ubat-ubatan dan bahan yang perlu dielakkan bagi penghidap G6PD.

Makanan dan Herba Yang Perlu DielakkanUbat yang Mesti Dielakkan
Kacang parang (fava beans)

Ubat China
Chuen Lin San Chi
-13 herbs
– 12 herbs

– Ubat tradisi lain (dapatkan nasihat doktor)

Bahan lain yang mesti dielakkan
– Ubat gegat (moth balls)
– Ubat nyamuk yang mengandungi pyrethium  
Acetanilide
Doxorubicin
Furazolidene
Methylene Blue
Nalidixic acid
Niridazole
Nitrofurantoin
Phenozopyridine
Primaquine
Sulfamethoxazole
Bactrim  

Nota :

  • Para ibu yang menyusukan bayi kekurangan enzim G6PD digalakkan untuk teruskan penyusuan namun mereka perlu elakkan bahan serta ubat-buatan yang disenaraikan supaya tidak termasuk dalam susu ibu.
  • Anda juga perlu maklum kepada doktor sekiranya anda/anak mempunyai kekurangan enzim G6PD bagi memastikan ubat yang diberikan selamat untuk diambil dan tidak mengakibatkan hemolisis.

Sekarang anda sudah faham G6PD maksud serta komplikasi yang boleh berlaku jika penghidap atau ibu bapa kepada bayi yang kekurangan enzim ini tidak berhati-hati.

Walaupun penghidap perlu menanggungnya seumur hidup dan tiada rawatan yang boleh menghilangkannya, namun ia tidak membawa kesan negatif yang ketara kepada kesihatan.

Ia juga tidak menjejaskan perkembangan serta tumbesaran kanak-kanak.

Oleh itu, ibu bapa dengan anak G6PD tidak perlu risau. Ikuti sahaja panduan daripada doktor dan elakkan anak daripada makanan, bahan dan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan hemolisis.

Sumber : myhealth.gov.my, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH)

Baca Juga : Bacaan Kuning Bayi: Simptom, Risiko & Rawatan Yang Disarankan

Bantu kami share artikel ini: