KOMSAS Tingkatan 4: Sinopsis Jendela Menghadap Jalan

Untuk memahami jalan cerita mengenai novel Tingkatan 4 iaitu Jendela Menghadap Jalan, berikut adalah sinopsis Jendela Menghadap Jalan.

Berikut adalah sinopsis keseluruhan novel ini.

Pengenalan Novel

Novel Jendela Menghadap Jalan adalah karya penulisan Ruhaini Matdarin yang berasal daripada Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau merupakan graduan Sarjana Pengurusan Kewangan dan telah berkhidmat sebagai juruaudit sebelum berhenti untuk menceburi bidang penulisan.

Beliau juga pernah menjadi pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2010 dalam ketegori novel remaja.

Tema Novel

Novel ini bertemakan kecekalan seorang gadis dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.

Lili tabah menghadapi kerenah ibunya yang mahu Lili menghabiskan cuti persekolahannya di kampung datuk dan neneknya.

Sepanjang berada di Kampung Sentosa, Lili tidak pernah menghubungi ibunya di Kuala Lumpur untuk mengadu nasib atau berkongsi masalah.

Sebaliknya, dia berusaha sedaya upaya menempuh semua ujian tersebut dengan semangat yang kental.

Sinopsis Jendela Menghadap Jalan

Novel ini menceritakan watak seorang anak remaja iaitu Lili yang menetap di bandar. Dia pulang ke kampung sebelah ibunya pada musim cuti persekolahan atas desakan ibunya. Demi tidak melukakan hati seorang ibu, Lili menurut walau pun batinnya melawan. Di sana beliau dihantui dengan tanda tanya kerana hampir semua rumah di kampung itu dibina dengan jendelanya menghadap jalan. Hal inilah yang menjadi persoalan yang bermain di minda Lili. Persoalan yang sering diajukan kepada datuk dan deneknya, tetapi jawapan mereka sering ditangguhkan dan ini menambahkan perasaan ingin tahu Lili.

Dikampung, ada remaja yang menjadi rakan Lili iaitu Danel dan Geetha yang pernah ditemui sewaktu menaiki bas ke Dungun. Di Kampung Sentosa ini juga ada remaja yang menjadi watak antagonis seperti Rafik dan Haziq. Duduk di kampung, Lili dapat berasakan bahawa penduduknya agak pelik. Datuknya sangat berpegang kepada adat tradisional namun Danel merupakan penentang kepada perubatan tradisional datuk Lili. Mereka saling mengemukakan hujah-hujah untuk memenangkan diri masing-masing. Datuk Lili tetap menolak kehidupan moden dengan berpendapat bahawa kehidupan moden bakal memusnahkan perkara yang diwarisi turun temurun. Danel pula dengan tidak menghukum adat tradisional kesemuanya, namun berpendapat segala yang diciptakan pada zaman moden ini adalah untuk memudahkan kehidupan manusia dan menjadikannya lebih senang untuk dikendalikan.

Akan tetapi, apabila berlakunya kes penculikan terhadap Lili, perwatakannya berubah. Ibu kepada Rafik dan Haziq iaitu Che Jah yang telah menculik Lili tanpa disengajakan. Lili telah dikurung dan diikat oleh Rafik di sebuah pondok buruk. Namun, Lili cuba menyelami permasalahan yang berlaku dalam keluarga Che Jah. Rafik dan Haziq terlibat dalam gejala sosial disebabkan oleh bapanya, Seman yang bersikap panas baran, pemabuk, kaki judi dan tidak bertanggungjawab. Lili meminta pendapat Kak Mimah, seorang daripada pesakit datuk mengenai kes keganasan rumah tangga. Hal ini kerana Kak Mimah bekerja sebagai penolong pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Warga Tua dan Keluarga. Kak Mimah berjanji akan cuba membantu menyelesaikan kes keluarga Che Jah. Akhirnya, kes keluarga Che Jah berjaya diselesaikan dengan kerjasama Kak Mimah.

Penduduk kampung menyalahkan datuk Lili yang dituduh cuba melindungi Che Jah kerana datuk Lili pernah memberikan pekerjaan kepada suami Che Jah. Datuk Lili juga dipersalahkan kerana tidak melaporkan kes penculikan Lili. Selain itu, datuk Lili juga dituduh pengkhianat bangsa kerana datuk dikatakan bersubahat dengan Pak Cik William dan abang Danel iaitu Sugi yang ingin membeli tanah milik penduduk kampung untuk dimajukan menjadi kawasan perumahan.

Ibu Lili berasa pelik kerana Lili tidak merungut tentang hari-hari yang telah dilalui di kampung datuk dan nenek. Lili berasa pengalaman yang diperoleh sepanjang dia berada di kampung amat bermakna. Lili,Geetha dan Danel menyaksikan matahari terbit di jeti nelayan. Mereka berjanji akan terus berhubung melalui surat,telefon dan emel. Datuk Lili berceritamengenai sejarah jendela yang menghadap jalan tetapi cerita tersebut tidak terperinci dan beliau berjanji untuk bercerita lagi Lili apabila Lili pulang ke kampung nanti. Datuk memulakan ceritanya sewaktu zaman penjajahan tentera Inggeris. Kisah hidup datuk dan nenek Lili penuh dengan penderitaan namun sejarah hidup mereka belum habis diceritakan kepada Lili begitu juga tentang jendela menghadap jalan.

Pada pengakhiran cerita ini, Danel dan Lili saling berhubungan antara satu sama lain dan bercerita tentang diri masing’masing. Mereka juga turut bercerita tentang Che Jah yang telahmendapat pembelaan yang sewajarnya manakala Rafik dan Haziq telah berubah menjadi baik. Mereka akan menduduki peperiksaan PMR sebagai calon persendirian. Lili tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa kerana mahu mengutip cerita datuk tentang jendela menghadap jalan dan cerita nenek tentang sejarah hidupnya bersama-sama datuk hingga ke saat ini.

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini: