KOMSAS Tingkatan 4: Sinopsis Novel Pantai Kasih

Bagi pelajar Tingkatan 4, novel yang bakal dipelajari di dalam KOMSAS adalah Novel Pantai Kasih.

Berikut diterangkan tema dan sinopsis novel ini secara keseluruhannya.

Pengenalan

Novel Pantai Kasih telah diterbitkan pada tahun 1994 hasil daripada karya Azmah Nordin.

Beliau yang merupakan kelahiran Kedah yang menetap di Sabah ini mula menceburi bidang kesusasteraan pada 1986 dan meminati penulisan sajak, cerpen serta novel.

Novel ini menceritakan seorang doktor bedah iaitu Raiha yang berkhidmat di Hospital Pantai Kasih dan dihantui oleh kisah silamnya.

Tema Novel Pantai Kasih

Novel Pantai Kasih ini bertemakan ketabahan seorang wanita yang menghadapi pelbagai dugaan dalam hidup dan cabaran hidupnya dalam melupakan detik hitam yang sering menghantui dirinya.

Sinopsis Pantai Kasih

Novel ini menceritakan Raiha seorang doktor muda yang terpaksa melalui pelbagai bentuk cabaran sebelum berjaya menjadi doktor pakar bedah. Selepas menghadapi kegagalan dalam perkahwinannya, dia akhirnya menerima pelawaan mentornya, Doktor Uwang agar menyertainya di pusat rawatan mewah yang dikenali sebagai Pusat Rawatan Pantai Kasih. Di sepanjang bertugas di pusat rawatan tersebut, fikiran Raiha sering terganggu tentang komplikasi pesakit namun mereka masih mampu untuk bertungkus lumus menabung wang bagi mendapatkan rawatan operasi daripada para pakar perubatan dipusat rawatan itu. Anehnya, yang kaya raya tidak ramai pula yang menghadapi komplikasi yang serupa. Raiha kian terganggu apabila melihat X-Ray milik salah seorang daripada pesakit. Dari mata kasar, memang tiada yang aneh berlaku.

Namun nalurinya memberitahu ada sesuatu yang tidak kena pada X-Ray itu. Ini membuatkan Raiha tambah tertekan. Di samping itu, Raiha juga sering diganggu gambaran bekas suaminya yang perlahan-lahan mengingatkan dia pada kisah silamnya yang amat mengerikan dan menyayat hati. Walau bagaimanapun, oleh kerana semangatnya yang kuat, dia meneruskan juga perjuangan dalam bidang perubatan. Apabila dia cuba meluahkan perasaan tentang masalah itu kepada Doktor Uwang, ternyata mentornya itu agak tidak senang. Padahal sebelum itu, Doktor Uwang adalah guru demonstrator dalam bidang anatominya dan mengajarnya tentang unsur-unsur surgeri ataupun pembedahan. Ketika itu, dia menjadi siswi tahun pertama dalam spesifikasi ortopedik, di institusi tinggi tempatan dahulu. 

Selang beberapa tahun kemudian, apabila dia memulakan klinikal di sebuah hospital kerajaan, dia pernah beberapa kali membantu Doktor Uwang dalam bilik pembedahan, selain kerap mengiringi lelaki itu ke ceramah-ceramah perubatan dan sebagainya. Malah, hatinya pernah tersangkut pada doktor kacak itu, biarpun lelaki itu mungkin tidak menyedari akan kewujudannya. Biar apa pun, ketika itu, selain daripada sebagai mentor, Doktor Uwang adalah doktor nombor satu di hatinya. Tetapi, apabila bekerja di pusat rawatan mewah milik Doktor Uwang dan ditugaskan untuk mengambil alih tugas membedah salah seorang pesakit yang menghadapi komplikasi berulang kali, pandangannya terhadap doktor itu mula berubah. 

Pelbagai tanda tanya, menyelubunginya. Peristiwa aneh berlaku sehinggalah Doktor Uwang mengalami kemalangan di jalan yang berhampiran dengan pusat rawatan itu. Biar apa pun perasaannya, sebagai seorang doktor yang profesional, Raiha tenang menjalankan operasi ke atas Doktor Uwang dengan menggunakan peralatan yang dibeli khas oleh doktor itu sendiri. Peralatan yang digunakan untuk pesakit-pesakit yang berpendapatan sederhana. Akhirnya, kejadian antara Raiha dan bekas suaminya diterangkan dan Raiha sedar beliau merupakan mangsa keadaan.

Pengajaran Novel

Antara pengajaran yang boleh diambil daripada novel ini adalah seperti berikut:

1. Kita hendaklah mempunyai matlamat hidup. 

Contoh Peristiwa: Untuk Berjaya seseorang mesti ada matlamat hidup. Raiha Berjaya menjadi seorang pakar bedah setelah belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Walaupun cita-cita Raiha untuk menjadi pakar bedah tidak direstui tetapi dengan matlamat hidup yang jelas, cita-cita Raiha akhirnya Berjaya dikecapi.

2. Kita hendaklah menghormati hak orang lain Setiap orang mempunyai hak. 

Contoh Peristiwa: Setiap orang mempunyai hak. Hak orang lain perlu dihormati. Unong Siron berhak untuk mendapat kesihatan baiknya semula, tetapi Pusat Rawatan Pantai Kasih telah menyebabkan wang insurans akibat kemalangan jalan raya anaknya itu dihabiskan untuk membayar kos enam kali pembedahan. Pusat Rawatan Pantai Kasih tidak menghormati hak pesakitnya.

3. Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap perkara yang dilakukan 

Contoh Peristiwa: Raiha menjalankan tugasnya sebagai seorang doktor dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Begitu jugalah dengan Doktor Alex Ng, Doktor Muhammad, dan Doktor Razak yang bertanggungjawab merawat pesakit di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

4. Kita hendaklah prihatin terhadap orang lain. 

Contoh Peristiwa: Kesukaran yang dihadapi oleh golongan pertengahan terutama melunaskan bayaran pembiayaan perubatan haruslah diberikan perhatian. Bukan semua orang mampu untuk membayar sejumlah wang apatah lagi telah dijanjikan untuk menerima rawatan yang terbaik. Ibu Unong Siron berusaha dan tidak lokek untuk membelanjakan wang insurans anaknya demi melihat anaknya kembali lincah dan sihat seperti anak orang lain.

5. Kita hendaklah tekun belajar untuk menjamin masa depan yang lebih cerah. 

Contoh Peristiwa: Ketekunan seseorang akan membuahkan hasil pada masa hadapan. Raiha tekun belajar untuk mencapai cita-citanya sebagai pakar bedah seperti ayahnya juga. Walaupun ditentang oleh ayahnya, Raiha mempunyai matlamathidup dan belajar dengan tekun hingga cita-citanya sebagai pakar bedah tercapai  juga.

6. Kita hendaklah tabah menghadapi kesukaran hidup. 

Contoh Peristiwa: Raiha tabah menghadapi dugaan dan kesukaran hidup. Walaupun ditentang oleh ayahnya, Raiha tetap tabah dan belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya dia menjadi pakar bedah di Pusat Rawatan Pantai kasih. Raiha juga dimarahioleh Doktor Sadiz kerana tidak mahu menggugurkan anak cacat yang dikandunginyasering menjadi bahan kemarahan Doktor Sadiz. Kematian anak perempuannya iaitu Rohayu memberikan tamparan yang besar kepada Raiha, namun dia tabah menghadapi semuanya itu walaupun mendapat cemuhan dan tentangan daripada suaminya Doktor Sadiz.

Rujuk : KUPASAN & KAJIAN KOMSAS BITARA

Bantu kami share artikel ini: