Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan untuk membahagikan sekolah kepada 3 kategori sekolah, iaitu Sekolah Fokus, Sekolah Aspirasi dan Sekolah Inspirasi.
Langkah pembahagian jenis sekolah ini dibuat sebagai pendekatan baharu dalam usaha memperkukuhkan sistem pendidikan di dalam negara.
Mengenai 3 Kategori Sekolah
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, pembahagian kategori sekolah ini bertujuan memastikan setiap institusi pendidikan menerima intervensi dan sokongan yang bersesuaian untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.
Pembahagian kategori sekolah ini merupakan sebahagian daripada lapan keutamaan yang akan diberikan tumpuan dalam pelaksanaan reformasi pendidikan mulai sesi persekolahan 2025/2026.
Lapan keutamaan tersebut adalah:
- Menangani isu keciciran murid
- Mengukuhkan kepimpinan pendidikan MADANI
- Meningkatkan profesionalisme guru
- Memperkasakan penguasaan literasi dan numerasi murid
- Generasi MADANI
- Reformasi sekolah
- Menangani isu kesejahteraan sekolah
- Pentaksiran antarabangsa
Sekolah Inspirasi
Sekolah Inspirasi merujuk kepada sekolah yang mencatat kecemerlangan pencapaian akademik secara konsisten, memiliki kebitaraan dan kepimpinan yang baik, serta boleh dijadikan sekolah teladan atau sekolah contoh.
Dalam erti kata yang lain, sekolah ini merupakan sekolah yang memang cemerlang, konsisten dengan prestasi terbaik dan boleh jadi contoh kepada sekolah lain.
Sekolah Aspirasi
Sekolah Aspirasi merupakan sekolah yang mempunyai prestasi baik tetapi pencapaian murid berada pada tahap statik dan memerlukan sokongan guru atau kepemimpinan serta sentuhan reformasi, di mana pembaharuan perlu dilaksana bagi memastikan prestasi sekolah itu terus meningkat.
Dalam maksud yang sama, pencapaian sekolah ini sudah baik tapi masih statik.
Oleh kerana itu, sekolah ini perlu mempunyai pembaharuan supaya tidak ketinggalan dan terus berkembang.
Sekolah Fokus
Sekolah Fokus merupakan sekolah yang muridnya memerlukan banyak tumpuan guru, perhatian daripada pentadbiran dan sokongan penuh bagi meningkatkan prestasi.
Sekolah ini memerlukan lebih perhatian dan bantuan untuk menaikkan prestasi dengan fokus utama ialah meningkatkan kualiti guru, pengurusan, dan pembelajaran murid.
Rumusan
Untuk memastikan KPM dapat memantau prestasi sekolah, sistem seperti SKPM Kualiti@Sekolah, School Support Tracker (ScST) dan Dialog Prestasi akan digunakan.
Ini bagi menilai keberkesanan reformasi serta memastikan pelaksanaan tindakan intervensi yang lebih efektif.
Daripada teks ucapan yang kita baca dan ucapan amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), dirumuskan sepuluh perkara ini, khususnya terkait pengelasan sekolah untuk gerak kerja yang lebih kemas.
1. Apakah itu Reformasi Sekolah?
Reformasi Sekolah ialah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan melalui pendekatan yang lebih sistematik dan bersasar. Sekolah dikelaskan kepada Sekolah Inspirasi, Sekolah Aspirasi, dan Sekolah Fokus bagi memastikan setiap sekolah menerima sokongan yang sesuai dengan tahap pencapaian dan keperluan mereka.
2. Apakah perbezaan antara Sekolah Inspirasi, Sekolah Aspirasi, dan Sekolah Fokus?
- Sekolah Inspirasi: Sekolah yang telah mencapai kecemerlangan secara konsisten dan menjadi rujukan serta contoh kepada sekolah lain. Sekolah ini diberikan autonomi pengurusan dan insentif untuk mengekalkan prestasi.
- Sekolah Aspirasi: Sekolah yang mempunyai prestasi baik tetapi statik. Ia memerlukan bimbingan dan intervensi bersasar supaya dapat berkembang ke tahap yang lebih tinggi.
- Sekolah Fokus: Sekolah yang menghadapi cabaran besar dalam pencapaian akademik dan pengurusan. Ia memerlukan sokongan penuh, sumber tambahan, dan program pemulihan untuk meningkatkan prestasi.
3. Bagaimana kategori sekolah ini ditentukan?
Penentuan kategori dibuat berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) Kualiti@Sekolah (SK@S), yang menilai beberapa aspek utama, termasuk:
- Keberkesanan pengurusan sekolah
- Pencapaian akademik murid
- Prestasi kokurikulum
- Pembangunan sahsiah dan disiplin murid
Sekolah akan melakukan penilaian kendiri secara berkala bagi memastikan kedudukan mereka dalam kategori yang tepat dan mendapat sokongan yang bersesuaian.
4. Apakah sokongan yang diberikan kepada setiap kategori sekolah?
- Sekolah Inspirasi
- Autonomi penuh dalam pengurusan organisasi, kurikulum, dan hal ehwal murid.
- Insentif dan pengiktirafan bagi mengekalkan kecemerlangan.
- Berperanan sebagai mentor kepada Sekolah Aspirasi dan Sekolah Fokus bagi membimbing sekolah lain.
- Sekolah Aspirasi
- Pemantauan dan bimbingan berkala oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
- Latihan kepimpinan kepada pentadbir dan guru untuk meningkatkan kompetensi profesional.
- Program intervensi untuk menangani kelemahan akademik dan kokurikulum.
- Berkolaborasi dengan Sekolah Inspirasi bagi mengadaptasi amalan terbaik.
- Sekolah Fokus
- Sumber tambahan seperti guru berpengalaman, peruntukan kewangan, dan bahan bantu mengajar.
- Program pemulihan khas, termasuk sesi kaunseling dan motivasi kepada warga sekolah.
- Perubahan budaya organisasi yang lebih positif dan progresif.
- Penglibatan komuniti dan ibu bapa untuk menyokong usaha transformasi sekolah.
5. Adakah sekolah boleh berubah kategori dari masa ke masa?
Ya. Kategori sekolah tidak bersifat tetap. Sekolah boleh dinaik taraf ke kategori yang lebih tinggi melalui penilaian berkala berdasarkan pencapaian akademik, keberkesanan pengurusan, dan kejayaan dalam melaksanakan intervensi.
Sebagai contoh, Sekolah Fokus yang menunjukkan peningkatan ketara boleh dinaik taraf menjadi Sekolah Aspirasi, dan seterusnya menjadi Sekolah Inspirasi jika mencapai tahap kecemerlangan yang konsisten.
6. Bagaimana Sekolah Inspirasi berperanan sebagai mentor?
Sekolah Inspirasi memainkan peranan sebagai sekolah contoh dengan berkongsi amalan terbaik, kepakaran, dan strategi kejayaan mereka kepada Sekolah Aspirasi dan Sekolah Fokus.
Program mentor ini melibatkan sesi perkongsian pengalaman, bimbingan kepimpinan, dan latihan amali bagi membantu sekolah lain menyesuaikan pendekatan yang lebih berkesan dalam pengurusan dan pembelajaran.
7. Bagaimana Reformasi Sekolah dapat meningkatkan kualiti pendidikan?
Melalui pendekatan ini, setiap sekolah diberikan sokongan yang sesuai dengan keperluan mereka.
Antara impak utama yang dijangka ialah:
- Meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum secara menyeluruh.
- Memperkasa kepimpinan sekolah melalui latihan dan bimbingan khusus.
- Menggalakkan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran.
- Mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih dinamik dan responsif terhadap cabaran semasa.
8. Apakah peranan ibu bapa dan komuniti dalam Reformasi Sekolah?
Ibu bapa dan komuniti boleh menyumbang dalam pelbagai bentuk, seperti menyokong program sekolah melalui sumbangan tenaga, kepakaran, atau kewangan. Berkolaborasi dengan guru dan pentadbir dalam pembangunan murid, serta terlibat dalam program intervensi sekolah, terutama untuk Sekolah Fokus yang memerlukan bantuan tambahan. Peranan aktif ibu bapa dan komuniti sangat penting dalam memastikan kejayaan reformasi ini.
9. Apakah cabaran utama dalam pelaksanaan Reformasi Sekolah?
Beberapa cabaran utama yang dijangkakan, termasuk:
- Keupayaan sekolah menyesuaikan diri dengan perubahan yang diperkenalkan.
- Keperluan sumber tambahan seperti guru pakar dan dana sokongan.
- Tahap komitmen pemimpin sekolah dalam menggerakkan transformasi.
- Kesediaan komuniti dan pihak berkepentingan untuk terlibat secara aktif.
Namun, melalui pemantauan berkala, latihan berterusan, dan kerjasama strategik, cabaran ini dapat diatasi secara berperingkat.
10. Bagaimana pihak sekolah boleh mendapatkan maklumat lanjut?
Sekolah boleh merujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk bimbingan dan pemantauan lanjut. Sudah tentu melalui Portal rasmi KPM bagi dokumen dan garis panduan terkini berkaitan Reformasi Sekolah; serta Sekolah Inspirasi sebagai mentor, untuk berkongsi amalan terbaik dan strategi kecemerlangan.
Sumber: Facebook Radin Muhd Imaduddin
Info Lanjut
Info lanjut mengenai 3 kategori sekolah, sila layari laman web https://www.moe.gov.my.
Baca juga: Kemaskini idMe MOEIS KPM & Pengesahan Maklumat Murid