Kesan Gigitan Pepijat, Cara Merawat dan Mencegahnya

Adakah anda mengalami kegatalan setelah bangun tidur akibat kesan gigitan pepijat?

Serangga ini sememangnya cukup suka menggigit dan menghisap darah manusia lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Namun, adakah kesan gigitan pepijat berbahaya dan bagaimana cara untuk membasminya?

Ayuh ikuti perkongsian dari kami.

Ciri-Ciri Pepijat

  • Pepijat dewasa berukuran kira-kira 4 hingga 7 mm panjang, serta berwarna coklat seperti karat atau warna biji epal.
  • Badan serangga ini berbentuk bujur dan leper. Ini memudahkan mereka bersembunyi dalam rekahan dan celah perabot serta dinding, lantai dan sebagainya.
  • Menggunakan paruh seperti jarum panjang kecil untuk menghisap darah. Pepijat boleh menghisap darah sehingga 6 kali ganda daripada berat mereka.
  • Pepijat jantan dan betina kedua-duanya merupakan penghisap darah dan aktif pada waktu malam.
  • Bendalir liur pepijat pula mempunyai kesan pelali yang menyebabkan gigitan tidak menyakitkan dan kesan gigitan hanya akan disedari oleh manusia selepas beberapa jam.
  • Pepijat kekenyangan kelihat sedikit besar dan kurang leper.
Sumber : Healthline

Kesan Gigitan Pepjiat Pada Manusia

Mengambil masa antara 3 hingga 12 minit setiap kali menghisap darah, serangga ini sering menyasarkan kawasan permukaan kulit yang terdedah atau tidak dilitupi pakaian seperti tangan, Iaki, betis, muka dan leher.

Pada peringkat awal, mungkin ramai yang salah anggap bahawa gigitan pepijat adalah seperti gigitan nyamuk.

Namun, infestasi pepijat adalah lebih serius dan memberi kesan yang ketara pada kulit manusia.

Kesan gigitan pepijat boleh dikenalpasti dengan ciri-ciri seperti berikut :

  • Bintik-bintik kemerahan berukuran kira-kira 5 hingga 20 mm
  • Bintik-bintik mempunyai gelembung air di bahagian tengah.
  • Gigitan muncul secara berturutan dalam garis lurus atau melengkung.
kesan gigitan pepijat
kesan gigitan pepijat
Sumber : Healthline

Setakat ini, belum ada bukti klinikal yang boleh mengesahkan penularan akibatan gigitan pepijat kepada manusia.

Walau bagaimanapun, individu dengan kulit sensitif mungkin boleh alami kegatalan dan alahan yang serius.

Gangguan pepijat yang berterusan juga boleh menjejaskan kualiti hidup dan mengganggu kualiti tidur seseorang.

Jadi, adalah penting untuk anda kenalpasti infestasi pepijat dan atasinya dengan baik.

Cara Kenalpasti Infestasi Pepijat

Pepijat cekap berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain dengan ‘menumpang’ pada perabot, pakaian mahupun bagasi.

Dalam satu bangunan, serangga ini juga mampu bergerak dari satu bilik ke bilik lain. Ia juga boleh bergerak ke satu tingkat ke satu tingkat lain melalui rekahan yang terdapat pada dinding, lantai dan siling.

Tidak seperti serangga lain yang mempunyai sarang, pepijat cenderung untuk berkumpul di tempat persembunyian seperti kotak simpanan, tilam, rangka katil, perabot dan celah dinding.

Serangga ini juga sangat suka bersembunyi di tempat manusia berehat iaitu sofa dan katil.

kesan gigitan pepijat

Kawasan yang diinfestasi pepijat boleh dikenalpasti melalui beberapa tanda seperti :

  • Kemunculah kesan hitam iaitu najis serangga ini yang telah mengering.
  • Terdapat telur dan kelongsong nimfa.
  • Muncul kesan darah kering pada tilam atau cadar setelah bangun tidur.
  • Bau kurang menyenangkan.

Cara Merawat Kesan Gigitan Pepijat

Dalam kebanyakan masa, kesan gigitan pepijat tidak memerlukan rawatan kerana ia akan hilang sendiri dalam masa satu atau dua minggu.

Walau bagaimanapun, anda boleh ambil ubat di bawah untuk kurangkan rasa kegatalan :

  • Ubat krim gatal yang mengandungi hydrocortisone seperti Cortaid.
  • Pil antihistamine seperti Benadryl
  • Ubat tahan sakit untuk melegakan bengkak atau sakit pada kesan gigitan

Di samping itu, anda juga boleh mencuba beberapa kaedah rawatan dari rumah seperti :

  • Gunakan ice pack yang dibalut dengan tuala
  • Campurkan baking soda dengan air dan gunakan pes tersebut sebagai sapuan. Sapukan sedikit sahaja.

Jika anda mempunyai kulit sensitif atau mengalami alahan teruk, sila dapatkan rawatan lanjut daripada doktor.

Cara Mencegah dan Membasmi Infestasi Pepijat

Menghindari dan membasmi serangga ini adalah satu perkara yang sangat mencabar kerana jumlah pepijat yang boleh membiak dengan banyak dalam satu kawasan.

Antara langkah yang boleh diambil bagi mencegah dan membasmi pepijat adalah :

  • Pastikan barang-barang serta perabot yang dibawa masuk ke rumah (khususnya perabot terpakai) bebas daripada dihuni pepijat.
  • Periksa secara teliti tempat kegemaran pepijat seperti cadar, tilam dan rangka katil.
  • Buat pembersihan menggunakan vakum secara berterusan. Masukkan isi kandungan beg vakum dalam beg plastik bertutup sebelum dibuang.
  • Hapuskan tempat persembunyian pepijat dengan membaiki atau menampal rekahan pada perabot, dinding dan sebagainya.
  • Cadar, selimut, bantal serta pakaian yang diinfestasi pepijat perlu dibasuh dengan air panas sekurang-kurangnya 60°C bagi membunuh pepijat.
  • Gunakan racun serangga yang bersesuaian bagi merawat kawasan yang diserang pepijat.

Walaupun serangga ini tidak membawa penyakit, namun ia boleh memberi masalah kepada individu dengan kulit sensitif.

Infestasi pepijat juga perlu dilakukan dengan teliti untuk memastikan ia tidak berulang. Namun, ia bukanlah suatu perkara yang mudah kerana serangga ini sedang membiak.

Bagi kediaman yang mengalami infestasi teruk, rawatan ulangan dan khidmat daripada syarikat kawalan serangga perosak mungkin diperlukan.

Sumber : Healthline, Mayo Clinic, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Facebook Klinik Lathika

Bantu kami share artikel ini: