ADHD Maksud, Faktor Penyebab, Ciri-Ciri dan Rawatan

Adakah anda sedang mencari maksud ADHD kerana risau mungkin anak anda mengalaminya?

Terdapat pendapat yang mengatakan kanak-kanak yang mengalaminya adalah disebabkan salah asuhan ibu bapa.

Namun, ini adalah mitos semata-mata kerana ADHD merupakan masalah perkembangan pada kanak-kanak.

Walau bagaimana pun, ibu bapa masih perlukan berikan tumpuan kepada anak-anak ADHD kerana jika simptomnya tidak ditangani, ia boleh menjadi teruk.

maksud adhd
Sumber : kidsinthehouse.com

Maksud ADHD

Maksud ADHD (Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif) adalah satu kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak dengan masalah ADHD mempunyai kesukaran untuk menumpukan perhatian.

Ini disebabkan oleh kebolehan mereka yang terhadp untuk memberi tumpuan dan sering menunjukkan tingkah laku tidak sabar.

Pada kebanyakan masa, gangguan hiperaktif serta kurang tumpuan ini boleh dikenalpasti pada peringkat prasekolah dan sekolah rendah.

Masalah ini juga selalunya berterusan sehingga dewasa dan boleh memberi impak besar terhadap pembelajaran serta hubungan keluarga dan rakan-rakan.

Punca / Faktor Penyebab

Punca sebenar bagi masalah ini masih belum dapat dikenal pasti.

Namun, beberapa kajian mencadangkan beberapa faktor yang mungkin boleh menyumbang kepada simptom-simptom ADHD antaranya :

Persekitaran

9% hingga 20% daripada individu yang mengalami simptom ADHD didapati tercetus akibat faktor persekitaran. Antara kemungkinan yang disebabkan persekitaran adalah terdedah kepada asap rokok, plumbum atau alkohol.

Pemakanan

Kajian turut mendapati pewarna makanan tiruan serta perasa makanan boleh mengakibatkan hiperaktif pada kanak-kanak ADHD.

Genetik

Faktor keturunan (kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai ADHD tiga kali ganda berpotensi menjadi ADHD.

Sosial

Masalah sosial seperti ketidakfungsian keluarga dan kurangnya pendidikan didapati boleh mencetuskan hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak.

Di samping itu, keganasan atau penderaan kanak-kanak juga boleh menyumbang kepada masalah ADHD.

maksud adhd
Sumber : Focus Malaysia

Ciri-Ciri/ Simptom ADHD

Kurang Daya Tumpuan

  • Sukar untuk fokus semasa bermain dan belajar
  • Sering seolah-olah tidak mendengar apabila seseorang bercakap dengannya.
  • Selalu bermasalah untuk menyusun atur aktiviti.
  • Sering mengelak, tidak suka atau tidak mahu melakukan aktiviti yang memerlukan berfikir untuk jangka masa yang lama.
  • Perhatian mudah terganggu
  • Kerap terlupa dan sering kehilangan barang peribadi.
  • Sukar untuk mendengar arahan atau menyiapkan tugasan.

Hiperaktif dan Impulsif

  • Sukar untuk duduk diam
  • Kelihatan gelisah
  • Gemar menyampuk dalam perbualan
  • Tidak sabar menunggu giliran
  • Bercakap secara berlebihan

Rawatan / Cara Tangani Kanak-Kanak ADHD

Setiap kanak-kanak mempunyai keunikan tersendiri termasuklah kanak-kanak ADHD.

Jadi, adalah penting untuk ibu bapa memahami maksud ADHD serta simptom yang ditunjukkan oleh anak-anak.

Antara cara yang boleh dilakukan bagi menangani masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak ADHD adalah :

Psikososial

Cara ini biasanya dilakukan kepada kanak-kanak ADHD di peringkat pra-sekolah dan mempunyai masalah ADHD yang ringan.

Kaedah ini meliputi pelbagai pendekatan terapi termasuk :

  • Latihan perubahan tingkahlaku kanak-kanak
  • Terapi keluarga
  • Intervensi peringkat sekolah
  • Latihan kemahiran sosial
  • Latihan kepada ibu bapa

Ubat-ubatan

Kaedah ini melibatkan pemberian ubat bukan stimulant bagi mengurangkan simptom yang ditunjukkan oleh kanak-kanak.

Dengan pengambilan ubat yang diberikan oleh doktor psikiatri, kanak-kanak ini mungkin akan menjadi kurang hyperaktif.

Contoh ubat-ubatan yang biasa digunakan adalah Ritalin.

Walau bagaimanapun, kaedah ubat-ubatan adalah tidak digalakkan. Sebaliknya, ia merupakan pilihan terakhir dalam merawat masalah ADHD kerana kesan jangka panjang penggunaannya masih belum dapat dikenalpasti.

Panduan Untuk Ibu Bapa

Didikan yang kurang baik oleh ibu bapa boleh menyebabkan simptom ADHD semakin teruk.

Oleh itu, adalah penting untuk ibu bapa ketahui cara untuk menguruskan anak-anak ADHD.

Berikut merupakan beberapa panduan yang boleh diikuti oleh ibu bapa :

  • Luangkan masa berdua bersama anak menerusi aktiviti yang menyeronokkan.
  • Jadilah contoh terbaik kepada anak dengan tenang dan bersabar.
  • Sediakan rutin aktiviti harian dan letakkan peringatan di tempat yang mudah dilihat
  • Sediakan arahan jelas secara lisan dan bertulis
  • Mudahkan arahan melalui penggunaan gambar
  • Berikan maklumbalas yang membina. Fokus kepada kelebihan anak, berikan pujian serta ganjaran yang bersesuaian.
  • Elakkan penggunaan kata-kata yang negatif.
  • Beri satu arahan pada satu-satu masa dan pantau respon anak anda.
  • Pastikan aktiviti fizikal, waktu makan dan waktu tidur adalah teratur untuk anak anda
  • Sediakan ruang tanpa gangguan buat anak menyiapkan kerja sekolah atau ulang kaji
  • Bahagikan tugas kepada beberapa bahagian kecil yang boleh anak lakukan
  • Bantu anak untuk mengingati tarikh akhir tugasan
  • Dapatkan kerjasama pihak sekolah dan guru kelas untuk sokongan anak.
Sumber : Mercer LLC

Sekiranya anak-anak anda menunjukkan simptom-simptom ADHD, adalah penting untuk mereka mendapatkan diagnosis dan rawatan yang bersesuaian.

Sekiranya dibiarkan, masalah ADHD boleh berlarutan sehingga mereka dewasa dan seterusnya menjejaskan pelbagai aspek dalam hidup seperti sosial, perkembangan peribadi dan sebagainya.

Sumber : myhealth.gov.my, moh.gov.my

Baca Juga : Maksud Insecure, Jenis, Gejala, Kesan dan Tips Untuk Atasi

Bantu kami share artikel ini: