Taman Kucing Catopia, Shah Alam – Masuk Percuma!
Tahukah anda di Shah Alam terdapat sebuah lokasi yang membolehkan kucing-kucing anda bermain sepuasnya dan bersiar-siar dalam persekitaran selamat?
Nama tempat tu Taman Kucing Catopia atau lebih dikenali sebagai Taman Kucing Shah Alam. Taman ini direka khas untuk memenuhi keperluan kucing dengan pelbagai kemudahan menarik.
Jom terokai keunikan taman ini dengan lebih lanjut melalui perkongsian di bawah.
BACA JUGA: Sky City, I-City Shah Alam: Harga Tiket Masuk
Taman Kucing Shah Alam / Catopia
Taman Kucing Catopia merupakan sebuah inisiatif inovatif oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang bertujuan untuk menyediakan ruang rekreasi khas untuk kucing peliharaan penduduk sekitar Shah Alam.
Taman ini bukan sahaja menjadi tempat untuk kucing beriadah, tetapi juga sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab.
Taman Kucing Catopia ini telah dibuka kepada orang ramai pada 5 Julai 2024. Namun baru dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada 9 Februari 2025.
Semasa majlis tersebut, Tengku Permaisuri Norashikin juga melancarkan Ikon Oyen sebagai maskot rasmi taman kucing ini.
Dengan keluasan 300 meter persegi, Catopia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan menarik yang direka khas untuk memenuhi keperluan dan keselesaan haiwan comel tersebut.
Apa yang menjadikan Taman Kucing Catopia istimewa adalah konsepnya yang unik. Ia bukan sekadar taman biasa, tetapi merupakan kawasan permainan luar yang direka khusus untuk kucing peliharaan.
Ini memberikan peluang kepada kucing-kucing yang selalunya terkurung di dalam rumah untuk menikmati suasana luar yang menyegarkan dengan selamat.
Waktu Operasi
Bagi mereka yang ingin membawa kucing kesayangan mereka ke Catopia, taman ini beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.
Perlu diingat bahawa Taman Kucing Catopia hanya boleh memuatkan sehingga 20 ekor kucing pada satu-satu masa. Oleh itu, sebaiknya datang awal terutamanya pada hujung minggu atau cuti umum untuk mengelakkan kekecewaan jika taman telah mencapai kapasiti maksimum.
Lokasi Taman Kucing Shah Alam
Taman kucing ini terletak di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam. Lokasi ini mudah diakses dan terletak berhampiran dengan beberapa mercu tanda terkenal di Shah Alam.
Untuk memudahkan pencarian, anda boleh menggunakan petunjuk berikut:
- Taman ini terletak di belakang Hotel Mardiyyah.
- Ia berada di hadapan Muzium Shah Alam.
Bagi pengunjung yang menggunakan pengangkutan awam, terdapat perhentian bas yang telah diubah suai sebagai pintu masuk ke taman kucing ini.
Jika anda memandu, anda boleh menggunakan aplikasi peta dalam talian seperti Google Maps atau Waze untuk mendapatkan arah yang tepat ke Taman Kucing Catopia. Pastikan anda memasukkan “Catopia Shah Alam” atau “Taman Kucing Shah Alam” sebagai destinasi anda.
Bagi pelawat dari luar Shah Alam, anda boleh menggunakan Lebuhraya KESAS atau Lebuhraya Persekutuan untuk sampai ke Shah Alam. Setelah memasuki bandar, ikut papan tanda ke arah Seksyen 14 atau Muzium Shah Alam.
Harga Tiket Masuk Taman Kucing Catopia
Masuk adalah PERCUMA.
Walaubagaimanapun MBSA sedang mempertimbangkan untuk mengenakan bayaran sebanyak RM1 atau RM2 pada masa akan datang.
Apa yang Menarik di Taman Kucing Catopia?
Taman Kucing Catopia direka dengan teliti untuk memenuhi keperluan kucing peliharaan. Berikut ialah beberapa tarikan yang ada di taman ini:
1. Rumah-rumah Kucing Unik
Terdapat lebih kurang 14 buah rumah kucing yang berwarna-warni dan direka dengan pelbagai bentuk menarik disediakan di sini. Kucing-kucing anda boleh bermain dan kemudian berehat dengan selesa.
2. Jambatan Gantung
Satu ciri yang pasti menarik perhatian ialah jambatan gantung khas untuk kucing. Bagi si bulus yang suka memanjat, jambatan ini pasti menjadi kegemaran mereka.
3. Terowong Mainan
Terdapat beberapa terowong kecil yang direka khas untuk kucing bermain dan bersembunyi. Ini menggalakkan sifat semula jadi kucing untuk meneroka dan bermain.
4. Kolam Pancuran Air Mini
Terdapat juga sebuah kolam pancuran air mini disediakan untuk kucing-kucing yang suka bermain dengan air atau sekadar untuk menyejukkan badan pada hari yang panas.
5. Kawasan Rumput Helikopter
Taman ini juga menyediakan kawasan khas dengan rumput helikopter, sejenis rumput yang digemari oleh para kucing. Rumput ini bukan sahaja seronok untuk dimakan oleh kucing, tetapi juga membantu dalam penghadaman mereka.
6. Tempat Makanan dan Minuman
Jangan risau kucing anda akan kelaparan. Sebab, di taman ini juga ada disediakan kawasan khas untuk kucing-kucing makan dan minum selepas penat bermain.
7. Zon Pembersihan
Sebuah zon pembersihan khas disediakan untuk memastikan kebersihan kucing-kucing terjaga.
8. Tempat Buang Najis
Kawasan khas dengan pasir disediakan untuk kucing-kucing membuang najis pun ada disediakan.
9. Alat Permainan Kucing
Dari segi alat permainan, terdapat 10 alat permainan kucing yang berbeza untuk memastikan kucing-kucing tidak bosan.
10. Pagar Keselamatan
Taman ini dikelilingi oleh pagar setinggi 1.2 meter untuk memastikan keselamatan kucing-kucing yang bermain.
Peraturan
- Maksimum 20 ekor kucing dalam satu sesi bagi memastikan keselesaan dan keselamatan.
- Pemilik tidak dibenarkan membawa makanan luar, tetapi makanan kering percuma disediakan.
- Pastikan kucing dalam keadaan sihat dan bebas daripada penyakit sebelum memasuki taman.
- Pemilik bertanggungjawab ke atas kebersihan dan keselamatan kucing masing-masing.
Jangan lupa bawa kucing anda datang sini okay!
BACA JUGA: