Taman Buaya Melaka: Tarikan Utama & Harga Tiket Masuk
Selain tempat bersejarah dan tarikan budaya, Melaka juga menawarkan destinasi rekreasi keluarga yang unik, contohnya seperti Taman Buaya Melaka.
Di taman buaya ini, pengunjung boleh merasai pengalaman melihat buaya serta haiwan-haiwan eksotik yang lain secara dekat. Sekaligus, mempelajari mengenai ekosistem haiwan-haiwan tersebut. Seronok tau!
Mari terokai lebih lanjut apa yang ada di Taman Buaya Melaka ini melalui perkongsian di bawah.
BACA JUGA: Taman Rama-Rama Melaka: Harga Tiket Masuk & Tarikan Utama
Taman Buaya Melaka
Taman Buaya Melaka telah ditubuhkan pada tahun 1987, kira-kira 40 tahun yang lalu dan menjadi salah satu tarikan utama di Melaka yang wajib dikunjungi.
Terletak di Ayer Keroh, taman ini mempunyai keluasan lebih 3.5 hektar dan menempatkan lebih daripada 1000 ekor buaya daripada pelbagai spesies. Untuk pengetahuan anda, taman ini adalah merupakan taman buaya terbesar di Malaysia!
Selain buaya, taman ini juga mempunyai beberapa lagi tarikan lain. Terdapat pelbagai spesies haiwan lain seperti ular, burung, dan mamalia kecil turut dapat ditemui di sini, menjadikannya destinasi yang sesuai untuk seisi keluarga.
Selain itu, Taman Buaya Melaka juga berperanan dalam penyelidikan dan pemuliharaan spesies buaya yang terancam. Dengan pelbagai program pendidikan yang diadakan secara berkala, pengunjung dapat memahami lebih lanjut tentang tingkah laku dan habitat buaya.
Lokasi dan Waktu Beroperasi
Taman Buaya Melaka terletak di Ayer Keroh, Melaka. Kawasan ini mudah diakses kerana ia terletak berhampiran dengan beberapa lebuh raya utama. Bagi pengunjung dari Kuala Lumpur, perjalanan ke Ayer Keroh mengambil masa lebih kurang dua jam dengan kenderaan.
Bukan itu sahaja, lokasi taman ini juga sangat strategik dan berdekatan dengan tarikan menarik di Melaka yang lain. Contohnya seperti Zoo Melaka, Taman Rama-rama Melaka, Taman Botanikal Melaka, dan Melaka Wonderland.
Dengan kehadiran semua tarikan ini dalam jarak dekat, pengunjung boleh merancang hari penuh aktiviti tanpa perlu berpindah jauh dari satu lokasi ke lokasi lain
Waktu operasi Taman Buaya Melaka adalah dari 9:00 pagi hingga 6:00 petang setiap hari. Bagi yang ingin melihat pertunjukan buaya, disarankan untuk datang pada waktu yang sesuai kerana pertunjukan ini hanya dijalankan pada waktu tertentu.
Pengunjung disarankan untuk memeriksa laman web rasmi atau media sosial Taman Buaya Melaka untuk mengetahui sebarang perubahan waktu operasi atau penutupan khas sebelum merancang lawatan ke sana.
BACA JUGA: 20+ Tempat Menarik Di Melaka, Wajib Dikunjungi!
Tarikan Utama di Taman Buaya Melaka
Berikut adalah 5 tarikan utama di Taman Buaya Melaka yang tidak boleh dilepaskan apabila anda berkunjung ke taman ini”
1. Pameran Buaya Pelbagai Spesies
Taman Buaya Melaka adalah rumah kepada lebih daripada 100 spesies buaya yang berbeza. dalam habitat semula jadi mereka, termasuk buaya air tawar dan air masin. Ada macam-macam saiz buaya anda boleh temui di sini.
Setiap kawasan pameran dilengkapi dengan maklumat mengenai spesies tersebut, membolehkan pengunjung belajar tentang ciri-ciri unik, tingkah laku, dan kepentingan ekologi setiap spesies buaya.
2. Pertunjukan Buaya & Aktiviti Interaktif
Salah satu tarikan yang paling dinanti-nantikan oleh ramai pengunjung adalah pertunjukan interaktif buaya yang diadakan pada hujung minggu dan cuti umum.
Dalam pertunjukan ini, pengunjung dapat menyaksikan jurulatih yang berpengalaman berinteraksi dengan buaya besar, mendemonstrasikan kemahiran dan pengetahuan mereka tentang reptilia ini. Sila rujuk jadual pertunjukkan dan datang awal agar anda tidak terlepas tarikan ini.
Disamping itu, pengunjung juga boleh memberi makan haiwan, bergambar dengan haiwan yang jinak dan menyaksikan pertunjukan kebudayaan yang biasanya diadakan pada hujung minggu.
3. Malaysia in Miniature
Hah, siapa sangka di Taman Buaya Melaka ini ada zon yang menawarkan tarikan unik yang dikenali sebagai “Malaysia in Miniature”. Menarikkan?
Kawasan ini mempamerkan replika bangunan dan monumen ikonik dari seluruh Malaysia dalam skala kecil. Pengunjung dapat menikmati pemandangan miniatur Menara Berkembar Petronas, Istana Negara, dan banyak lagi. Ini memberikan peluang kepada pelancong untuk melihat keindahan seni bina Malaysia dalam satu lokasi.
4. Taman Air Kanak-kanak
Betul ke ada taman air di taman buaya? Ye betul!
Taman Buaya Melaka ini menyediakan taman air kanak-kanak seluas 6,000 kaki persegi dan menawarkan pelbagai aktiviti air yang menyeronokkan dan selamat untuk kanak-kanak. Dah penat tengok buaya dan haiwan-haiwan lain, boleh bawa anak-anak anda bermain air di taman air ini!
5. Rumah Mamalia dan Aviari Burung
Selain buaya, Taman Buaya Melaka juga menempatkan Rumah Mamalia dan Aviari Burung. Rumah Mamalia adalah zon untuk melihat haiwan seperti rusa dan rakun, manakala Aviari Burung membolehkan pengunjung melihat kepelbagaian spesies burung.
Tarikan ini menjadikan taman ini lebih daripada sekadar taman buaya, tetapi sebuah destinasi yang menawarkan pengalaman alam semula jadi yang pelbagai dan mendidik.
6. Rumah Reptilia
Taman Buaya Melaka juga menempatkan Rumah Reptilia yang menampilkan pelbagai jenis ular, kadal, dan haiwan eksotik lain.
Rumah Reptilia ini menawarkan pengalaman pendidikan, di mana pengunjung dapat mempelajari tentang pelbagai spesies reptilia yang jarang ditemui, cara hidup mereka, serta usaha pemuliharaan yang dijalankan untuk menjaga kelangsungan hidup spesies ini.
BACA JUGA: Melaka Smart Parking: Aplikasi Pembayaran Parkir Melaka
Harga Tiket Masuk
Berikut adalah senarai harga tiket masuk ke Taman Buaya Melaka yang terkini:
DEWASA(13 – 54 TAHUN) | KANAK-KANAK (5-12 TAHUN) | WARGA EMAS(55 TAHUN KE ATAS) | ||
Isnin- Jumaat | MyKad | RM17 | RM12 | RM10 |
Bukan Warganegara | RM30 | RM25 | RM25 | |
Sabtu-Ahad, Cuti Umum, Cuti Sekolah | MyKad | RM19 | RM15 | RM12 |
Bukan Warganegara | RM30 | RM25 | RM25 |
NOTA: Harga tiket masuk ke Taman Buaya Melaka ini mungkin berubah dari masa ke semasa, jadi pengunjung disarankan untuk menyemak harga terkini sebelum membuat lawatan.
Beli Tiket di Klook
Untuk kemudahan pengunjung, tiket untuk Taman Buaya Melaka juga boleh dibeli secara dalam talian melalui platform seperti Klook.
Pembelian tiket secara dalam talian bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga sering menawarkan diskaun istimewa atau pakej promosi. Dengan hanya beberapa klik, anda boleh mendapatkan tiket anda dan merancang lawatan dengan mudah!
Caranya mudah sahaja, taip Tiket Taman Buaya dan Rekreasi Melaka dalam kotak carian dibawah dan klik, SEARCH.
Klook.comMelalui Klook, pembelian tiket menjadi lebih mudah dan cepat kerana pengunjung hanya perlu menunjukkan e-tiket di pintu masuk tanpa perlu beratur di kaunter.
Selain itu, Klook juga ada menawarkan pakej kombo yang merangkumi lawatan ke tempat-tempat menarik di Melaka. Dengan adanya pakej kombo, pengunjung dapat menjimatkan masa dan kos percutian anda di Melaka.
Fasiliti dan Kemudahan
Taman Buaya Melaka komited dalam menyediakan pelbagai fasiliti dan kemudahan untuk memastikan setiap pengunjung dapat menikmati lawatan dengan selesa dan berpuas hati.
Berikut adalah beberapa kemudahan utama yang tersedia di taman ini:
1. Kafeteria dan Kiosk Makanan
Taman Buaya Melaka mempunyai beberapa kios makanan dan minuman serta sebuah kafeteria yang menyajikan hidangan tempatan dan snek ringan.
Pengunjung boleh berehat sambil menikmati makanan dan minuman tanpa perlu meninggalkan kawasan taman. Menu yang disediakan adalah mesra keluarga dan mempunyai pelbagai pilihan sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
2. Surau
Bagi pengunjung beragama Islam, Taman Buaya Melaka menyediakan kemudahan surau yang bersih dan selesa. Ini memudahkan para pengunjung untuk menunaikan solat tanpa perlu meninggalkan taman atau mencari masjid berhampiran. Surau ini dijaga rapi untuk memastikan keselesaan dan kebersihan bagi setiap pengguna.
3. Tandas dan Bilik Persalinan
Tandas di taman ini diselenggara dengan baik dan dilengkapi dengan kemudahan asas yang selesa.
Selain itu, terdapat bilik persalinan yang disediakan untuk pengunjung yang ingin menukar pakaian, terutamanya bagi mereka yang membawa anak-anak bermain di kawasan permainan air.
4. Kawasan Permainan Air Kanak-Kanak
Kawasan permainan air ini dilengkapi dengan kolam dan gelongsor yang direka khas untuk kanak-kanak. Ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk bermain air dalam suasana yang selamat dan menyeronokkan.
Selain itu, kawasan ini juga dipantau oleh kakitangan taman bagi memastikan keselamatan setiap pengunjung, terutama kanak-kanak.
5. Kawasan Letak Kereta yang Luas dan Selamat
Untuk memudahkan para pengunjung, taman ini mempunyai kawasan letak kereta yang luas dan terletak berhampiran dengan pintu masuk. Kawasan ini dijaga rapi dan mempunyai kawalan keselamatan bagi memastikan keselamatan kenderaan pengunjung sepanjang lawatan mereka.
6. Kedai Cenderamata
Kedai cenderamata di Taman Buaya Melaka menyediakan pelbagai barangan menarik seperti baju T taman buaya, replika buaya, cenderamata, dan poskad. Kedai ini juga menawarkan pelbagai barangan buatan tempatan yang sesuai untuk dijadikan hadiah atau sebagai tanda kenangan.
7. Tempat Rehat dan Kawasan Berteduh
Taman Buaya Melaka menyediakan banyak tempat duduk dan kawasan berteduh di sepanjang laluan taman bagi membolehkan pengunjung berehat terutamanya pada waktu tengah hari. Ini memberi keselesaan tambahan kepada setiap pengunjung.
Review – Pengalaman Pengunjung
Berdasarkan Google Review, ramai pengunjung yang pernah melawat Taman Buaya Melaka memberikan maklum balas yang positif.
Antara tarikan yang digemari oleh ramai pengunjung ialah pertunjukan buaya, taman air kanak-kanak, dan aktiviti memberi makan haiwan. Bukan itu sahaja, para pengunjung juga teruja apabila berpeluang menemui reptilia yang jarang ditemui.
Di taman buaya ini, pengunjung berpeluang belajar banyak perkara baru melalui penerangan daripada staf serta info-info yang berguna yang boleh ditemui sepanjang lawatan.
Bagi yang belum pernah ke sini, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke sini apabila anda bercuti di Melaka. Terdapat banyak aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa boleh dilakukan di sini menjadikannya destinasi yang ideal untuk dikunjungi bersama keluarga.
Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Taman Buaya Melaka di pautan berikut: https://tamanbuayarekreasimelaka-online.globaltix.com/
Penutup
Taman Buaya Melaka adalah destinasi pelancongan yang tidak boleh dilepaskan jika anda berada di negeri Melaka. Memang berbaloi sangat berkunjung ke sini bersama anak-anak, ahli keluarga mahupun rakan-rakan.
Jadi, jika anda merancang perjalanan ke Melaka dalam waktu terdekat, pastikan Taman Buaya Melaka berada dalam senarai destinasi anda okay!