Mungkin ramai yang selalu terlepas pandang akan kepentingan serta fungsi hati. Bagi yang belum tahu, hati merupakan salah satu organ yang sangat penting dalam tubuh.
Dikenali sebagai ‘Liver’ dalam Bahasa Inggeris, ia merupakan antara organ dalaman yang paling besar dalam badan dan memainkan lebih daripada 500 fungsi vital tubuh badan setiap hari.
Kedudukan hati dalam tubuh adalah di bahagian kanan ruang perut.
Sejauh manakah pengetahuan anda terhadap organ yang penting ini? Ayuh kita kenali fungsi hati dengan lebih lanjut.
Peranan Hati Dalam Tubuh
Antara fungsi utama hati adalah :
- Menapis dan menyingkirkan toksin dari dalam darah
- Mengawal proses metabolisma lemak, protein dan karbohidrat
- Menghasilkan enzim dan makromolekul yang penting termasuk untuk penghadaman.
- Melawan jangkitan
Penyakit Hati dan Cara Mencegahnya
Kebanyakan penyakit kerosakan hati di negara ini berlaku disebabkan oleh punca seperti berikut :
- Hepatitis
- Pengambilan alkohol berlebihan
- Pengambilan suplemen atau ubat-ubatan
- Masalah genetik
- Penyakit autoimun
- Kuantiti lemak berlebihan dalam hati
Ujian Fungsi Hati
Kaedah utama untuk mengesan penyakit hati adalah melalui ujian darah iaitu ujian fungsi hati.
Antara bacaan penting yang akan diteliti adalah kadar alanine aminotransferase (ALT) dan aspartate aminotransferase (AST). Sekiranya kedua-dua bacaan ini tidak berada dalam julat normal, ia boleh menjadi petanda kerosakan pada sel-sel hati.
Selain itu, kadar bilirubilin dalam darah juga penting bagi menilai tahap jaundis dan menetukan fungsi saluran hati serta hempedu.
Sekiranya anda dapati keputusan ujian meragukan, sila dapatkan pemeriksaan yang lebih lanjut dengan pakar kesihatan.
Sekiranya seseorang mengalami kerosakan atau gangguan fungsi hati, ia boleh membawa kepada beberapa jenis penyakit seperti hati berlemak, sirosis hati dan keradangan hati.
Kanser hati pula adalah penyakit hati yang paling bahaya dan tergolong antara lima teratas dalam senarai kanser selain kanser usus, paru-paru, payudara dan nasofarinks.
Ia juga sering digelar sebagai pembunuh senyap kerana ia selalunya hanya dapat dikesan ketika sudah di tahap yang lebih teruk dan sukar untuk dirawat.
Setakat ini, tiada ubat atau suplemen khas yang dapat mencegah kerosakan hati.
Ia hanya dapat dilindungi menerusi beberapa rutin sihat dan kaedah seperti berikut :
- Banyakkan bersenam
- Amalkan pemakanan sihat dan elakkan makanan berlemak dan bergoreng
- Dapatkan pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan hepatitis secara berkala
- Kurangkan berat badan bagi mengelakkan komplikasi penyakit
- Elakkan atau hentikan pengambilan alkohol
- Berhati-hati dalam pemilihan suplemen dan elakkan daripada membeli produk yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
- Kawal pengambilan akar kayu serta herba. Dapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengamalkan apa-apa ubatan tradisional.
Ambil vaksin bagi mengelakkan risiko penyakit hati dan jangkitan Hepatitis.
Fungsi hati yang normal dan optimum adalah sangat penting untuk kesihatan seseorang.
Selain mengamalkan gaya hidup sihat, anda juga disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mencegah penyakit hati serta masalah tubuh lain yang mungkin anda sendiri tidak sedari.
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Sumber Pendidikan Kanser dan Klinikal (UPM), Berita Harian
Baca Juga : Tanda Serangan Jantung Yang Tak Patut Diabaikan