Fasa Peralihan Monsun & Kesan-Kesannya

fasa peralihan monsun
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Fasa peralihan monsun merupakan satu keadaan di mana negara kita berada dalam waktu pertukaran di antara dua monsun utama. Keadaan ini menyebabkan keadaan cuaca di negara kita menjadi tidak menentu.

Jika anda perasan, daripada bulan September sehingga sekarang, terdapat beberapa kawasan di negara kita yang mengalami hujan ribut dan terjejas akibat banjir kilat, dan perkara ini semua berlaku adalah kerana fasa peralihan ini.

Untuk mengetahui lebih lagi tentang fasa ini dan kesannya terhadap negara kita, pastikan anda terus membaca artikel ini sehingga ke penghujung. 

Apa itu Fasa Peralihan Monsun?

Perkataan “monsun” itu merupakan satu perkataan berasal dari arab yang bermaksud musim. Negara kita Malaysia mengalami perubahan dua musim atau dua monsun utama iaitu Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.

Monsun Barat Daya bermula daripada Mei hingga September, di mana keadaan cuaca di negara kita akan menjadi sedikit kering. Monsun Timur Laut pula akan terjadi pada bulan November hingga Mac dan selalunya akan membawa hujan bersamanya.

Fasa peralihan monsun pula adalah tempoh peralihan antara dua musim monsun tersebut. Oleh itu ia biasanya berlaku sebanyak dua kali setahun, iaitu pada bulan April hingga Mei dan pada bulan September hingga Oktober.

 Semasa fasa peralihan ini , angin adalah lemah dan dari perlbagai hala. Pada waktu pagi, langit biasanya cerah dan ini telah membantu pembentukan ribut petir pada sebelah petang, terutamanya di negeri-negeri pantai Barat.

fasa peralihan monsun

Corak Cuaca

Berikut merupakan perubahan cuaca atau boleh dikatakan ciri-ciri berlakunya fasa peralihan monsun ini:

  • Perubahan Angin
    • Angin yang bertiup cenderung lebih lemah dan berubah-ubah arah berbanding dengan musim monsun utama.
  • Hujan Ribut Petir
    • Pada fasa peralihan ini, sering berlaku hujan lebat dan ribut petir terutamanya pada waktu petang dan awal malam. Hujan biasanya bersifat setempat dan berlaku dalam jangka masa yang singkat.
  • Suhu dan Kelembapan
    • Suhu biasanya lebih panas dan kelembapan udara lebih tinggi.
  • Cuaca Tidak Stabil
    • Cuaca cenderung tidak menentu dengan perubahan yang cepat daripada cerah kepada mendung dan sebaliknya.

Kesan Peralihan Fasa

Berikut adalah beberapa kesan yang sering berlaku sewaktu fasa peralihan monsun ini berlaku di negara kita:

  1. Cuaca Tidak Menentu
    • Cuaca boleh menjadi tidak menentu dan sukar diramal. Hujan lebat yang tiba-tiba dan ribut petir kerap berlaku pada sebelah petang dan malam.
  2. Kelembapan Tinggi
    • Kelembapan udara yang tinggi sering dirasai semasa fasa peralihan monsun, menyebabkan suasana menjadi lebih lembap dan kurang selesa.
  3. Peningkatan Risiko Banjir Kilat
    • Hujan lebat yang kerap dan intensif boleh menyebabkan banjir kilat, terutamanya di kawasan bandar yang mempunyai sistem saliran yang tidak mencukupi.
  4. Peningkatan Bencana Alam
    • Hujan lebat dan cuaca yang tidak menentu boleh menyebabkan berlakunya bencana lain seperti tanah runtuh, pokok tumbang dan sebagainya.
  5. Kesan kepada Kesihatan
    • Perubahan cuaca yang drastik boleh memberi kesan kepada kesihatan, seperti demam panas, penyakit bawaan air dan jangkitan pernafasan.

Kesan-kesan lain yang boleh disebabkan oleh fasa peralihan ini boleh anda lihat dalam infografik di bawah:

Persediaan Menghadapi Fasa Peralihan Monsun

Oleh itu sangat penting untuk kita, terutama bagi penduduk di kawasan Pantai Barat untuk sentiasa melakukan pemantauan dan persediaan yang rapi bagi mengurangkan kesan negatif fasa peralihan monsun ini.

Antara cara untuk memantau keadaan cuaca dengan mudah adalah dengan menggunakan aplikasi myCuaca. Anda boleh memuat turun aplikasi ini mengikut kesesuaian telefon pintar anda:

fasa peralihan monsun

Sumber: METMalaysia

Baca juga: Doa Ketika Cuaca Panas – JAKIM

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut