Cuti Peristiwa Johor 25 Ogos Sempena Piala FA 2024

cuti johor piala fa
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Kerajaan Negeri Johor mengumumkan cuti peristiwa negeri itu pada 25 Ogos (Ahad) susulan kejayaan mara ke final Piala FA.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam muat naik di Facebook memaklumkan cuti tersebut sebagai tanda penghargaan kepada para penyokong Harimau Selatan.

Jelas Onn, pengisytiharan cuti berkenaan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Onn turut mengharapkan sokongan padu penyokong JDT pada aksi final itu nanti.

JDT mara ke Final selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC pada aksi separuh akhir.

Cuti Peristiwa Johor 25 Ogos Sempena Piala FA 2024

Berikut dikongsikan kenyataan rasmi oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkenaan cuti peristiwa di Johor pada 25 Ogos sempena Piala FA 2024 :

  1. Nama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya tidak asing lagi bukan sahaja di negara ini, bahkan turut menjadi buah mulut dan juga perhatian di peringkat Asia serta juga dunia.
  2. Namun, ibarat kata pepatah “Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari” amat bertepatan sekali dengan perjalanan bola sepak Johor yang telah melalui beberapa era jatuh bangun yang amat pahit.
  3. Sehinggalah pada 16 Februari 2012 apabila DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dilantik sebagai Presiden Johor FA (PBNJ) yang baharu dan menyaksikan pelbagai rombakan strategik yang berani telah dimulakan.
  4. Tahun 2013 adalah tahun pertama JDT atau Harimau Selatan membuat penampilan sulungnya di bawah inisiatif transformasi baharu dan pada tahun berikutnya, kejayaan demi kejayaan mula ditempa bermula dengan menjuarai Liga Super dan mengekalkan rekod kejuaraan selama satu dekad (10 tahun berturut-turut) pada tahun lalu.
  5. JDT tidak menunggu lama apabila pada tahun 2015 menyaksikan Harimau Selatan mencatat sejarah dengan menjadi satu-satunya pasukan Asia Timur yang menjuarai Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan sehingga hari ini, JDT menunjukkan peningkatan dengan penampilan konsisten di Liga Juara-Juara AFC apabila JDT mencatat satu lagi sejarah selepas mampu layak ke pusingan kalah mati (16 pasukan terbaik).
  6. Rekod ini amat membanggakan apabila JDT, sebuah kelab dari negeri ini mampu bersaing dengan kelab-kelab terbaik di Asia. Baru-baru ini, JDT juga telah berada di ranking No.9 di Asia berdasarkan statistik. JDT bukan sahaja meletakkan nama Harimau Selatan di pentas tertinggi, malah turut mempromosikan Johor kepada dunia melalui kolaborasi-kolaborasi dengan kelab-kelab dan jenama-jenama terkemuka.
  7. Dengan prestasi membanggakan dan kesungguhan yang ditunjukkan pasukan JDT, saya menyeru seluruh Bangsa Johor untuk datang beramai-ramai pada Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi sama-sama memberi sorakan dan semangat sebagai ‘Pemain ke-12” JDT. Kita penuhkan lautan Merah Biru di Stadium Nasional Bukit Jalil.
  8. JDT telah memenangi Piala FA sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2016 dan dua kali berturut-turut pada tahun 2022 dan 2023. Insya-Allah Bangsa Johor, ayuh kita pastikan tahun ini JDT mempertahankan kejuaraan untuk mencipta rekod hatrik kemenangan Piala FA!
  9. Dengan perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 25 Ogos 2024, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor sebagai tanda penghargaan buat ‘Pemain ke-12’ pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Piala FA 2024.
  10. Marilah kita ramai-ramai turun bersama membanjiri stadium Bukit Jalil hari Sabtu ini dan memberikan sokongan padu kepada pasukan JDT yang kita sayangi dalam mempertahankan kemenangan Piala FA 2024 ini. Sama-samalah kita doakan!

Ayuh Johor! Luaskan Kuasamu Johor!

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor

Sumber: Onn Hafiz Ghazi

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut