Cendawan Enoki : Kandungan Nutrisi dan Khasiat

Cendawan enoki merupakan salah satu jenis cendawan yang sangat popular dan diminati ramai.

Rupanya yang unik serta rasanya yang enak membuatkan ia sesuai untuk dijadikan ramuan dalam pelbagai hidangan seperti sup, digoreng bersalut tepung dan ditumis ringkas.

Mudah dikenali dengan bentuk yang kecil dan memanjang serta tumbuh dalam satu kumpulan, cendawan ini turut dikenali dengan nama lain seperti enokitake, Winter Mushroom atau Golden Needle Mushroom.

Ia bukan sahaja enak, malah cendawan enoki turut mengandungi pelbagai khasiat penting untuk tubuh. Ayuh kita semak kelebihan cendawan ini untuk kesihatan.

cendawan enoki

Kandungan Nutrisi

100 gram cendawan enoki mampu membekalkan nutrisi seperti berikut :

NutrisiJumlah
Kalori37 cal
Protein2.66 g
Karbohidrat7.8 g
Serat2.7 g
Zat besi1.15 mg
Magnesium16 mg
Fosforus105 mg
Kalium359 mg
Zink0.65 mg
Selenium2.2 mg

Selain itu, cendawan ini turut mengandungi vitamin serta mineral seperti niacin, riboflavin, vitamin B6, vitamin D, vitamin E dan vitamin K.

Amino asid yang terkandung dalam cendawan enoki turut memberikan rasanya yang enak.

Khasiat Cendawan Enoki Pada Kesihatan

1. Baik Untuk Kesihatan Otak

Dalam satu kajian terhadap tikus makmal, cendawan ini didapati berpotensi dalam mencegah kerosakan oksidatif dan meningkatkan memori.

Ia juga dilihat berpotensi dalam mengawal aktiviti neurotramsitter seperti serotonin, dopamine dan norepiphrine yang berfungsi untuk meningkatkan daya ingatan dan pembelajaran.

Sumber : Celarity

2. Tinggi Kandungan Antioksida

Radikal bebas boleh merosakkan sel dalam tubuh dan mendedahkan tubuh kepada penyakit kronik seperti kanser dan diabetes.

Khasiat yang terkandung dalam cendawan enoki seperti vitamin C, vitamin E dan selenium mempunyai fungsi antioksida untuk melindungi sel dan tisu dalam tubuh daripada penyakit dan penuaan.

3. Berpotensi Melambatkan Pertumbuhan Kanser

Sebuah kajian mendapati beberapa kompaun bioaktif di dalam cendawan ini iaitu sesquiterpenes dan nonsesquiterpenes berpotensi dalam melawan kanser.

Ekstrak cendawan enoki juga didapati mengandungi beberapa komponen phenol yang membantu dalam melambatkan pertumbuhan sel kanser.

4. Meningkatkan Sistem Imuniti Tubuh

Selain memiliki potensi antikanser, antibakteria, antiradang dan antivirus, cendawan ini juga didapati mengandungi beberapa komponen protein penting yang mampu menyokong sistem pertahanan tubuh.

Sumber : The Independent

5. Melindungi Kesihatan Jantung

Khasiat phenol dan polyphenol dalam cendawan ini didapati memiliki sifat antioksida, anti radang dan mampu mencegah oksidasi kolesterol jahat daripada menempel di dinding salur darah.

Pada masa yang sama, cendawan enoki juga kaya dengan manfaat lain seperti serat dan lemak sihat bagi membantu mengawal paras kolesterol dan darah tinggi.

cendawan enoki

Kesan Sampingan

Memetik WebMD, cendawan enoki secara umumnya selamat untuk dimakan. Bagi yang mempunyai alahan terhadap cendawan, pastikan anda mengelaknya bagi mengelakkan sebarang gejala.

Di samping itu, cendawan ini juga telah dikaitkan dengan listeriosis iaitu jangkitan bakteria daripada Listeria monocytogenes.

Oleh itu, adalah penting untuk anda makan cendawan yang dicuci sebaiknya dan dimasak sempurna.  

Sumber : WebMD

Baca Juga : Cendawan Beracun : Ciri-Ciri dan Gejala Keracunan

Bantu kami share artikel ini: