Salah satu peribahasa yang sering digunakan oleh masyarakat terutamanya orang Melayu adalah “bapa borek anak rintik.”
Peribahasa ini digunakan untuk merujuk kelakuan atau karakter seseorang dengan bapanya.
Maksud Peribahasa
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yg tetap dan mengandungi pengertian yg tertentu.
Peribahasa Melayu mempunyai kaitan yang rapat dengan kehidupan dan pemikiran bangsa Melayu.
Ianya lahir daripada pengalaman dan pengamatan alam sekeliling yang diteliti oleh masyarakat Melayu lama.
Maksud Bapa Borek Anak Rintik
Maksud peribahasa ini merujuk kepada anak menurut baka bapanya; sesuatu itu menurut asalnya.
Dalam erti kata yang lain, anak menurut baka bapanya atau sesuatu itu menurut asalnya.
Contoh Peribahasa
Contoh peribahasa ini boleh dilihat seperti di bawah:
Contoh 1
Sikap panas baran Daud sama saja seperti bapanya, kata orang bapa borek anaknya rintik.
Contoh 2
Zukifli suka bermain bola kerana bapanya merupakan pemain bola peringkat negeri, umpama bapa borek, anak rintik.
Contoh 3
Yusof memang warak macam ayahnya seperti pepatah bapa borek anak rintik.
Peribahasa Sinonim
Terdapat beberapa peribahasa yang mempunyai maksud yang hampir sama dengan peribahasa ini:
Peribahasa | Maksud |
Air cucuran atap, jatuhnya kepelimbahan | Anak itu menurut sifat dan teladan orang tuanya |
Bagaimana acuan begitulah kuihnya | Seseorang anak itu akan mengikut perangai bapa atau ibunya |
Bagaimana contoh begitulah gubahannya | Anak menurut baka bapanya |
Bagaimana rupa begitulah bayangnya | Sesuatu itu menurut asalnya |
Ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi | Baik buruk ibu bapa sedikit sebanyak turun kepada anaknya |
Info Lanjut
Info lanjut mengenai peribahasa ini, sila layari https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=peribahasa.
Baca juga: Senarai Peribahasa Bahasa Inggeris Beserta Maksud