Akta 342 atau lebih dikenali sebagai Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 telah menjadi topik perbincangan hangat sejak kebelakangan ini.
Pindaan terbaru kepada Akta 342 telah diluluskan oleh Dewan Negara pada awal Disember 2024. Perubahan ini bertujuan untuk memperkukuhkan keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani penyakit berjangkit.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Akta 852 – Perincian Akta Kawalan Produk Merokok 2024
Apa itu Akta 342?
Akta 342 adalah merupakan undang-undang penting di Malaysia yang diwujudkan untuk mencegah, mengawal dan menghapuskan penyakit berjangkit.
Akta ini memberikan kuasa kepada pihak berkuasa kesihatan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dalam menangani penyakit yang boleh mengancam kesihatan awam.
Akta ini merangkumi pelbagai aspek penting seperti pengisytiharan kawasan jangkitan, kewajipan melaporkan kes penyakit berjangkit, kawalan pergerakan orang yang dijangkiti, dan kuasa untuk menjalankan pemeriksaan, kuarantin, serta isolasi
Ketika wabak COVID-19 melanda dunia, Akta 342 menjadi asas utama bagi pelaksanaan langkah-langkah kawalan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pindaan Terbaru Akta 342
Pindaan Akta 342: RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2024
Pindaan terbaru kepada Akta 342 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 14 Oktober 2024 dan Dewan Negara pula sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta 342 ini pada 2 Disember 2024.
Pindaan terbaru Akta 342 ini bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit pada masa hadapan.
Pindaan ini merangkumi beberapa aspek penting seperti notifikasi penyakit berjangkit, pengasingan atau pengawasan orang yang dijangkiti dan disyaki, serta langkah-langkah bagi pengesanan dan pemantauan.
Pindaan ini juga melibatkan peruntukan berkaitan arahan Ketua Pengarah Kesihatan dan kuasa penguatkuasaan. Ini termasuklah menjalankan penyiasatan dan menghendaki maklumat berhubung pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit serta pendakwaan dengan izin Pendakwa Raya.
Pindaan Akta 342 ini dianggap sebagai reformasi penting untuk memastikan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara terjamin ketika berhadapan dengan ancaman penyakit berjangkit.
Pindaan ini juga bertujuan untuk menutup kelompongan dalam kerangka perundangan sedia ada agar selari dengan keperluan semasa.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti beberapa keperluan mendesak sewaktu menangani beberapa wabak utama dalam dekad ini terutamanya pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020.
Bagi menangani cabaran-cabaran yang timbul dengan berkesan, pindaan-pindaan ini dikemukakan untuk mengemas kini dan menutup kelompongan (lacuna) dalam kerangka perundangan negara sedia ada agar selari dengan keperluan semasa.
BACA JUGA: Penyakit Hernia – Punca, Simptom & Rawatan Yang Sesuai
Aspek Terlibat Dalam Pindaan Akta 342
Penguatkuasaan pindaan baharu akta ini akan melibatkan beberapa aspek, antara adalah seperti berikut:
- Peruntukan yang melibatkan notifikasi untuk penyakit berjangkit termasuk kes-kes yang disyaki.
- Peruntukan yang melibatkan pengasingan atau pengawasan orang yang dijangkiti dan orang yang disyaki.
- Peruntukan yang melibatkan langkah-langkah bagi maksud pengesanan dan pemantauan.
- Peruntukan yang melibatkan arahan Ketua Pengarah Kesihatan dan kuasa penguatkuasaan termasuk menjalankan penyiasatan, menghendaki apa-apa maklumat berhubungan dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit, serta pendakwaan dengan izin Pendakwa Raya.
- Peruntukan yang melibatkan kadar Penalti Am dan kadar Kompaun baharu bagi individu dan pertubuhan perbadanan bagi maksud kawalan dan langkah pencegahan kesalahan.
Kepentingan
Berikut ialah tiga kepentingan utama Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dilakukan:
- Kesiapsiagaan negara menghadapi penyakit baharu muncul, muncul semula dan pandemik.
- Pencegahan dan kawalan lebih cekap serta melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
- Memastikan penguatkuasaan berlandaskan amalan terbaik untuk melindungi rakyat.
Salah Faham Pindaan Terbaru Akta 342
Pindaan terbaru Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 telah menimbulkan beberapa salah faham dalam kalangan masyarakat.
Berikut adalah beberapa salah faham utama yang perlu diperbetulkan:
1. Perbandingan dengan SOSMA
Salah satu salah faham utama adalah bahawa pindaan Akta 342 menyerupai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah menafikan dakwaan ini dengan tegas. Beliau menegaskan bahawa Akta 342 hanya boleh digunakan secara khusus untuk tujuan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.
Berbeza dengan SOSMA yang lebih tertumpu kepada isu-isu keselamatan negara.
2. Kuasa Pegawai Diberi Kuasa (PDK)
Terdapat salah tanggapan bahawa PDK Kementerian Kesihatan mempunyai kuasa untuk menangkap orang yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti penyakit berjangkit.
Adalah penting untuk difahami bahawa pindaan Akta 342 ini tidak memberikan kuasa kepada pegawai KKM untuk menangkap atau menahan pesakit secara sewenang-wenangnya.
Sebenarnya, kuasa PDK terhad kepada menyiasat dan mendapatkan maklumat berkaitan individu tersebut sahaja.
Tujuan utamanya adalah untuk melindungi pesakit, menjalankan kuarantin atau isolasi, dan mengenal pasti kontak rapat untuk membatasi perjangkitan.
3. Penggunaan “Kekerasan yang Perlu”
Istilah “kekerasan yang perlu” dalam pindaan Akta 342 telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
Dr Dzulkefly telah menjelaskan bahawa istilah ini merujuk kepada dorongan dalam bentuk kata-kata untuk memastikan arahan dipatuhi, dan bukan bermaksud kekerasan fizikal.
“Kekerasan yang perlu” ini merujuk kepada dorongan dalam bentuk kata-kata bagi memastikan arahannya dipatuhi dan tidak bermaksud memukul, memaksa atau menahan seseorang individu secara fizikal serta tidak bercanggah dengan hak asasi seseorang seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Untuk memastikan ketelusan, PDK akan dibekalkan dengan kamera badan semasa menjalankan tugas.
4. Proses Pembuatan Keputusan
Terdapat tanggapan bahawa pindaan Akta 342 dibuat secara tergesa-gesa. Namun, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa perbincangan mengenai perkara ini telah bermula seawal tahun 2021.
Keputusan berkaitan Akta 342 dibuat melalui perbincangan dengan jawatankuasa yang melibatkan pakar kesihatan awam, pakar penyakit berjangkit dan penasihat undang-undang.
Pindaan Akta 342 ini merupakan langkah strategik untuk memastikan Malaysia lebih bersedia menghadapi cabaran kesihatan awam yang semakin kompleks.
BACA JUGA: Sifilis : Punca, Tanda, Peringkat Jangkitan dan Rawatan
Maklumat Lanjut
Untuk dapatkan maklumat lanjut dan info terkini mengenai AKTA 342, anda boleh rujuk laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Instagram @kementeriankesihatanmalaysia
- Facebook Rasmi KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA