Bunga Melati : Manfaat, Fakta Menarik dan Simboliknya

Bunga melati yang sinonim dengan warna putih merupakan antara bunga yang popular di negara kita.

Selain dijadikan tanaman hiasan, perhiasan rambut dan kalung, bunga yang berbau harum ini sering digunakan dalam perubatan tradisional.

Nama saintifik bagi bunga melati adalah Jasminum sambac. Ia juga dikenali dengan nama lain seperti bunga melur.

Dalam bahasa Inggeris, ia sering disebut sebagai Jasmine.

Bunga melati dipercayai berasal dari negara India. Sejak berlakunya perdagangan dan penjajahan, tanaman ini kian tersebar di beberapa negara sekitar Asia sehingga menjadi salah satu bunga yang cukup popular di benua ini.

Di sebalik keindahan serta aroma bunga ini, ternyata ia mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan.

bunga melati
Sumber : goldenfarm99.com

Manfaat Bunga Melati

Selain harumannya yang sering dijadikan minyak wangi dan minyak pati, bunga melati terkandung pelbagai potensi untuk kesihatan antaranya :

Baik Untuk Kesihatan Jantung

Bunga melati memiliki kandungan antikoagulan yang memainkan peranan untuk mengurangkan paras kolesterol jahat dalam tubuh.

Di samping itu, teh melati mengandungi antioksidan polifenol seperti teh hijau dan teh hijau. Pengambilannya sebanyak 1-3 cawan sehari didapati berpotensi untuk mencegah masalah sakit jantung.

Berpotensi Untuk Mencegah Diabetes

Teh bunga melati didapati mampu mencegah risiko diabetes. Beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan teh melati tanpa gula dapat menurunkan paras gula dalam darah.

Melancarkan Sistem Penghadaman

Khasiat antioksidan yang terkandung dalam bunga ini didapati mampu meningkatkan fungsi pencernaan dan menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam usus.

Oleh itu, pengambilan teh melati mungkin membantu dalam mengatasi masalah penghadaman seperti cirit-birit, sakit perut dan kembung perut.

Membantu Menurunkan Berat Badan

Daun melati dilihat berpotensi dalam meningkatkan metabolisma dan sekaligus mencegah peningkatkan berat badan.

Daunnya juga turut mengandungi sifat detoks yang membantu tubuh menyingkirkan toksin dan lemak dalam badan.

Fakta Menarik

Bunga melati merupakan bunga kebangsaan bagi negara Indonesia.

Selain Indonesia, ia juga merupakan bunga yang sering mengiringi pelbagai upacara tradisional di beberapa negara Asia seperti perkahwinan, pengebumian dan sebagainya.

Ia juga merupakan bunga yang sering dijadikan ramuan dalam perubatan tradisional bagi kaum India, Melayu dan Indonesia.

Disebabkan bunga ini mengeluarkan bau yang kuat pada waktu malam, ia sering dikaitkan dengan unsur mistik. tambahan pula, ia sering ditemui di kawasan perkuburan.

Walau bagaimanapun, bunga ini tidak mempunyai hubungan dengan unsur mistik seperti yang ramai perkatakan.

Bau harumnya yang semerbak pada waktu malam sebenarnya terjadi kerana suhu udara yang menurun setelah matahari terbenam.

Inilah yang mendorong bunga berwarna putih ini untuk berbunga dan mengeluarkan aroma wangi di malam hari.

bunga melati
Sumber : kompas.com

Maksud dan Simbolik Bunga Melati

Bunga yang turut disebut sebagai Jasmine dalam bahasa Inggeris ini berasal dari nama latinnya iaitu Jaminum.

Pada masa yang sama, perkataan Jasmine juga dipercayai berasal dari Bahasa Parsi yang membawa maksud “hadiah dari Tuhan”.

Oleh itu, bunga ini boleh memberi maksud positif sebagai bunga kurniaan dari Tuhan.

Di Indonesia, melati dianggap sebagai simbol kesucian, ketulusan dan keanggunan yang sederhana.

Ini disebabkan oleh saiz bunga jasmin yang kecil dan berwarna putih, tidak seperti kebanyakan bunga lain yang berwarna-warni.

Oleh sebab itulah bunga ini sering dikaitkan dengan kesederhanaan dan kerendahan hati.

Bunga ini juga mempunyai makna yang berbeza di pelbagai negara. Di Thailand, bunga ini diertikan sebagai simbol kasih sayang yang suci dari seorang ibu.  

Di Amerika Syarikat, bunga ini menjadi lambang kepada cinta, asmara dan kecantikan.

Tidak hanya berbau harum dan cantik, malah bunga yang putih suci ini mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan.

Maka, tidak hairanlah mengapa ia sering dijadikan sebahagian daripada bahan perubatan tradisional sejak dahulu lagi.

Sumber : rimbakita.com

Bantu kami share artikel ini: