Bunga Melur : Nama Saintifik dan Kegunaan Dalam Perubatan Tradisional

Bunga melur merupakan tanaman hiasan yang tidak asing lagi di Malaysia. Baunya yang harum semerbak serta mudah untuk dijaga menjadikan ia sering menjadi pilihan para penggemar tanaman untuk menyerikan halaman rumah.

Bunga ini juga ditanam secara meluas dan mempunyai lebih daripada 200 jenis. Di negara kita, jenis bunga melur yang paling biasa dijumpai adalah Duke of Tuscany, Maid of Orleans dan Star Jasmine.

Maid of Orleans dan Duke of Tuscany lebih dikenali sebagai melur susun atau melur ros di negara kita.

Di samping itu, melur selapis juga tidak kurang popular dalam kalangan penggemar tanaman.

bunga melur

Bunga melur juga dikenali sebagai bunga kubur kerana ia banyak ditanam di tanah perkuburan.

Bunga berwarna putih ini juga sering dikaitkan dengan unsur mistik kerana ia berbunga pada waktu malam dan mengeluarkan haruman yang manis memikat.

Aromanya yang wangi membuatkan bunga ini menjadi salah satu bahan popular dalam penghasilan minyak wangi dan mempunyai nilai yang tinggi.  

Selain itu, ia juga sering dijadikan ramuan dalam mandian bunga, perhiasan rambut serta dijadikan kalung.

bunga melur
Sumber : OhBulan!

Nama Saintifik Bunga Melur

Nama saintifik bagi bunga melur adalah Jasminum sambac. Ia juga dikenali dengan nama lain seperti bunga melati dan bunga jasmin.

Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali dengan nama Jasmine.

Sesetengah orang turut memanggil bunga ini sebagai Jasmine Arab kerana ia diperkenalkan ke Eropah dari Arab pada abad ke-18.

Khasiat dan Kegunaan Tradisional Bunga Melur

Di sebalik aromanya yang harum, bunga berwarna putih ini sering dijadikan sebagai ramuan untuk rawatan tradisional untuk kesihatan tubuh.

Ia juga merupakan antara ramuan yang popular dalam rawatan Ayurveda dan perubatan tradisional Melayu.

bunga melur

Antara khasiatnya ialah untuk :

  • Melegakan gejala demam
  • Meningkatkan kesihatan imun tubuh
  • Melegakan tekanan dan stres
  • Merawat luka pada kulit
  • Membanyakkan susu badan dan mencegah kanser payudara.
  • Mengubat bengkak dari gigitan lebah.

Di samping itu, ia juga dikatakan mempunyai manfaat lain seperti  bersifat antioksida, antivirus, serta mampu mencegah kolesterol dan tekanan darah tinggi.

Seperti chamomile atau kekwa, bunga melur juga boleh dijadikan teh bagi mendapatkan khasiatnya. Caranya ialah dengan merendam atau rebus bersama teh hijau lalu dicampurkan dengan madu.

Daunnya pula boleh ditumbuk halus untuk meredakan masalah sakit mata.

Bunga yang cantik dan berbau wangi ini rupanya mempunyai banyak kegunaan. Maka, tidak hairanlah ia sentiasa menjadi pilihan dalam rawatan tradisional sejak dahulu lagi.

Sumber : melur.com, Berita Harian, amdi.usm.my

Bantu kami share artikel ini: