Panggilan Hormat: Perbezaan YABhg., YBhg., YABrs., YBrs.

Sekiranya anda pernah menjadi seorang emcee, anda pastinya keliru akan perbezaan antara panggilan hormat YABhg. (Yang Amat Berbahagia), YBhg. (Yang Berbahagia), YABrs. (Yang Amat Berusaha) dan YBrs. (Yang Berusaha).

Apakah perbezaan antara kesemua rujukan kehormat ini dan bagaimanakah cara untuk menulis singkatan yang betul untuk ksemua rujuka kehormat ini?

Kerajaan juga telah mengeluarkan surat pekeliling “SURAT PEKELILING AM BILANGAN 4 TAHUN 2014” sebagai panduan panggilan hormat dan kaedah penggunaannya yang boleh diakses melalui pautan https://www.jpm.gov.my/images/surat_pekeliling/SP_Am_Bil_4_Tahun_2014-_Panggilan_Hormat_dan_Kaedah_Pengggunaannya.pdf

Apakah itu panggilan hormat?

Rujukan kehormat atau panggilan hormat ialah frasa yang digunakan untuk merujuk kepada orang-orang kehormat seperti Raja-raja, bangsawan dan orang-orang kenamaan.

Ia digunakan secara meluas di Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Selatan Filipina. Malaysia, Brunei, Singapura dan beberapa Provinsi di Indonesia sering menjalankan istiadat pengurniaan darjah kebesaran yang membawa kepada gelaran kehormat kepada para penerima.

Berikut merupakan beberapa gelaran kehormat yang biasa digunakan:

  • TYT : Tuan Yang Terutama
  • YAB : Yang Amat Berhormat
  • YB : Yang Berhormat
  • YAA : Yang Amat Arif
  • YA : Yang Arif
  • YABhg. : Yang Amat Berbahagia
  • YBhg. : Yang Berbahagia
  • YBrs. : Yang Berusaha

Cara penulisan panggilan hormat

Antara Ybhg, YBhg atau Y. Bhg, mana satukah yang betul?

Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telahpun mengeluarkan garis panduan bagi penggunaan singkatan ini. Beberapa cara penulisan singkatan dikenalpasti iaitu:

  1. Singkatan nama negara, ibu negara, negeri, ibu negeri, jabatan, institusi, organisasi, tahun dan nama-nama khas ditulis tanpa titik (.). Selain itu, huruf yang digunakan ialah huruf besar yang merupakan huruf pertama bagi setiap perkataan seperti AS (Amerika Syarikat), KL (Kuala Lumpur), PP (Pulau Pinang), KK (Kota Kinabalu), DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), TM (Tahun Masihi), SM (Sebelum Masihi) dan lain-lain lagi.
  2. Singkatan sapaan atau rujukan hormat, jawatan, dan pingat yang lebih daripada satu perkataan juga tidak menggunakan titik dan ditulis dengan huruf besar semuanya, contohnya YAB (Yang Amat Berhormat), YB (Yang Berhormat), YAM (Yang Amat Mulia), KSN (Ketua Setiausaha Negara), AMN (Ahli Mangku Negara) dan lain-lain lagi. Persoalan yang saya timbulkan di atas telah terjawab dengan panduan ini.
  3. Singkatan gelaran, jawatan, pangkat, dan sapaan yang terdiri daripada satu perkataan pula ditulis menggunakan titik di hujungnya, contohnya Dr. (Doktor), Prof. (Profesor), Kol. (Kolonel), En. (Encik), Tg. (Tengku) dan Tn. (Tuan).
  4. Singkatan gelaran, jawatan, pangkat dan sapaan yang terdiri lebih daripada satu perkataan dengan gabungan huruf besar dan huruf kecil perlu diletakkan titik di hujung singkatan, contohnya YABhg. (Yang Amat Berbahagia), YBhg. (Yang Berbahagia), YABrs. (Yang Amat Berusaha) dan YBrs. (Yang Berusaha).

Kategori panggilan hormat

Menurut Surat Pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan, gelaran hormat boleh dikategorikan seperti yang berikut:

  • Panggilan Hormat Diraja;
  • Panggilan Hormat untuk jawatan;
  • Panggilan Hormat untuk para penerima Darjah Kebesaran
  • Persekutuan;
  • Panggilan Hormat untuk keturunan;
  • Panggilan Hormat untuk ahli agama; dan
  • Kaedah Penggunaan Panggilan Hormat untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ahli Akademik dan Pasukan/Badan-badan Beruniform

Artikel berkaitan: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN): Peranan dan Fungsi

Contoh penggunaan

Berikut merupakan contoh penggunaan gelaran kehormat berdasarkan jawatan:

penggunaan-panggilan-hormat
contoh-panggilan-hormat
Bantu kami share artikel ini: