Potensi Ikan Haruan Untuk Kesihatan Tubuh

Ikan haruan adalah antara ikan air tawar yang cukup terkenal di Malaysia. Ia juga terkenal secara turun temurun kerana khasiatnya yang dikatakan boleh menyembuhkan luka dan membekalkan tenaga kepada ibu bersalin.

Selain di Malaysia, ikan dengan nama saintifik Channa striatus ini turut dijadikan penawar tradisional bagi masyarakat di sekitar Asia Tenggara khususnya Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Ia dipercayai berkesan dalam merawat luka dan meredakan sakit serta sering disyorkan kepada ibu yang sedang berpantang.

Pada masa yang sama, ia juga dikenali sebagai pemulih tenaga untuk orang sakit dan warga emas.

Selain disediakan dalam pelbagai jenis juadah, ikan haruan juga sering diolah menjadi air rebusan atau pati herba.

Ayuh kita kenali lagi potensi kesihatan yang terkandung dalam ikan ini.

ikan haruan
Sumber : umpan.com

Khasiat Ikan Haruan Untuk Kesihatan

Sumber Asid Lemak Yang Baik

Ikan ini juga didapati padat dengan dua jenis asid lemak tidak tepu iaitu EPA dan DHA. Kedua-dua kompaun ini dilihat mungkin memainkan peranan dalam membantu penyembuhan luka.

Meskipun begitu, kandungan asid lemak omega-3 di dalam ikan ini didapati agak rendah berbanding ikan air tawar lain.

Meningkatkan Kesihatan Kulit

Selain asid lemak DHA, kandungan vitamin A yang dijumpai dalam ikan ini berpotensi bagi mengatasi masalah kulit seperti keradangan, mencegah penuaan serta mengurangkan sensitiviti kulit terhadap cahaya UV.

Vitamin A juga berupaya untuk mempercepat pemulihan luka, mencegah jerawat serta melembapkan dan menguatkan sistem imun kulit wajah.

Sumber : Dr Rashmi Shetty

Tinggi Kandungan Asid Amino

Seperti yang kita tahu, semua jenis ikan termasuk ikan haruan merupakan sumber protein yang baik untuk pengambilan diet harian.

Ikan istimewa ini mampu membekalkan kira-kira 60 hingga 70 peratus keperluan protein harian bagi manusia!

Yang membuatkan ikan ini lebih menarik adalah ia mengandungi khasiat asid amino yang tinggi. Berbanding protein, asid amino adalah elemen protein yang wujud dalam bentuk molekul kecil.

Disebabkan itu, sel-sel dalam tubuh akan lebih mudah untuk menggunakan zat ini untuk pelbagai kegunaan termasuk bagi pemulihan luka serta pembentukan sel baru.

Antara khasiat amino asid penting yang ditemui dalam ikan ini adalah glysine dan lysine.

Selain itu, beberapa jenis non-essential amino acid turut dikenalpasti dalam ekstrak ikan haruan iaitu glutamic acid, arginine dan aspartic acid.

Ketiga-tiga asid amino ini pula sering dikaitkan dengan penyembuhan luka dan rasa sakit.

Padat Dengan Antioksida

Selain buah-buahan, ikan juga merupakan salah satu sumber antioksida yang ramai terlepas pandang.

Dalam kebanyakan ikan air tawar, ikan haruan dilihat mempunyai kandungan antioksida yang agak tinggi.

Seperti yang kita tahu, antioksida memainkan peranan penting untuk melindungi sistem pertahanan tubuh serta melawan penyakit serta jangkitan.

Betulkan Ikan Haruan Baik Untuk Ibu Bersalin?

Walaupun ikan ini sinonim sebagai hidangan ibu berpantang, namun tidak banyak kajian yang membuktikan keberkesanannya secara saintifik.

Portal MyHealth (KKM) turut menyebut perkara ini sebagai satu mitos kerana ikan haruan adalah sumber protein yang sama dengan ikan-ikan yang lain.

Seperti yang kita tahu, protein adalah khasiat yang sangat penting untuk penyembuhan luka.

Oleh itu, ibu bersalin dinasihatkan untuk makan semua jenis sumber protein yang mencukupi setiap hari termasuk ikan, ayam, daging dan kekacang dan jangan hadkan pada ikan haruan sahaja.

Bagi para ibu yang mengamalkan diet vegetarian, pastikan makan cukup sumber makanan jenis kekacang seperti tempe, tauhu dan susu setiap hari.

ikan haruan

Jelaslah di sini bahawa ikan haruan mempunyai banyak manfaatnya pada kesihatan tubuh.

Namun, ia tidak hanya dikhususkan bagi penyembuhan luka bersalin atau pembedahan seperti yang ramai orang anggap.

Sebaliknya, pengambilan protein yang mencukupi daripada pelbagai sumber adalah penting bagi mempercepat pemulihan luka.

Anda juga tidak boleh bergantung semata-mata pada pati ikan haruan untuk memulihkan kesihatan atau memberikan tenaga.

Hakikatnya, anda perlu amalkan pengambilan diet seimbang, patuhi arahan pengambilan ubat seperti yang disarankan doktor dan aktif dalam kegiatan harian.

Sumber :

Baca Juga : Khasiat dan Potensi Ikan Toman Untuk Kesihatan

Bantu kami share artikel ini: