Akta 852: Perincian Akta Kawalan Produk Merokok 2024

Mulai 1 Oktober 2024, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah mula dikuatkuasakan.

Menerusi akta ini, terdapat beberapa peruntukan berkaitan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja yang bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.

Selain itu, akta ini juga melibatkan peruntukan yang melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok, serta berkaitan tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.

Apakah Maksud Perincian Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852)

Akta ini merujuk kepada peruntukan bagi perkara yang melibatkan dengan kawalan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau dan peranti merokok, demi kesihatan awam untuk melahirkan suatu generasi baharu yang bebas daripada pengaruh apa-apa produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau dan peranti merokok, dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.

“Bahan merokok” merujuk kepada apa-apa bahan atau secara gabungan bahan yang mengandungi propylene glycol, glycerol atau triethylene glycol bagi maksud merokok.

Penggubalan akta ini dibuat kerana kawalan produk merokok hanyalah sebagai sebuah peraturan-peraturan yang berada di bawah Akta Makanan 1983.

Tarikh Akta 852 Berkuatkuasa

AKTA 852 dikuatkuasakan mulai 1 Oktober 2024.

INFOGRAFIK BERKENAAN AKTA KAWALAN PRODUK DEMI KESIHATAN AWAM 2024 (AKTA 852)

INFOGRAFIK – AKTA KAWALAN PRODUK MEROKOK DEMI KESIHATAN AWAM 2024 (AKTA 852)

Sumber: Pejabat Kesihatan Daerah Setiu

akta 852 merokok
akta 852

Larangan Pengiklanan Produk Tembakau

Perkara penting di dalam Akta 852 adalah berkaitan larangan pengiklanan produk tembakau.

Di dalam Fasa 7 akta ini, menyatakan tiada seorang pun boleh menerbitkan atau memudahkan mana-mana orang untuk menerbitkan apa-apa iklan suatu produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau yang:

  • mengandungi apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.
  • mengandungi apa-apa jenama atau cap dagang yang berhubungan dengan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.
  • mengandungi apa-apa tawaran atau pelawaan untuk membeli apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau;
  • dimaksudkan atau berkemungkinan untuk menggalakkan mana-mana orang untuk merokok; atau
  • mempromosikan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau itu sebagai suatu produk berhenti merokok.

Selain itu, tiada seorang pun boleh menerbitkan atau memudahkan mana-mana orang untuk menerbitkan apa-apa iklan peranti merokok yang:

  • mengandungi apa-apa tawaran atau pelawaan untuk membeli apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau;
  • dimaksudkan atau berkemungkinan untuk menggalakkan mana-mana orang untuk merokok; atau
  • mempromosikan peranti merokok itu sebagai suatu produk berhenti merokok.

Jika adanya disabitkan kesalahan, orang tersebut (bukan suatu pertubuhan perbadanan) akan dikenakan:

  • Bagi kesalahan pertama, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya; dan
  • Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Namun, sekiranya orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan:

  • Bagi kesalahan pertama, didenda tidak kurang daripada dua puluh ribu ringgit dan tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya; dan
  • Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak kurang daripada lima puluh ribu ringgit dan tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Larangan Penjualan Produk Tembakau

Selain itu, antara perkara penting lain di dalam Akta 852 ialah larangan penjualan produk tembakau.

Menurut Fasal 10 akta ini, tiada seorang pun boleh menjual atau mempamer bagi penjualan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau melainkan jika jualan atau pameran bagi penjualan itu mematuhi kehendak sebagaimana yang ditetapkan.

Sekiranya orang itu (bukan suatu pertubuhan perbadanan):

  • Bagi kesalahan pertama, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya; dan
  • Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sekiranya orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan:

  • Bagi kesalahan pertama, didenda tidak kurang daripada dua puluh ribu ringgit dan tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya; dan
  • Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak kurang daripada lima puluh ribu ringgit dan tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Larangan Merokok Orang Yang Lahir 1 Januari 2007 dan Seterusnya

Satu lagi perkara penting di dalam akta ini ialah larangan merokok produk pengganti tembakau, dan sebagainya, bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Fasal 18 menyatakan tiada seorang pun yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya:

  • Boleh merokok apa-apa produk pengganti tembakau; atau
  • Boleh menggunakan apa-apa peranti merokok dengan apa-apa bahan merokok.

Mana-mana orang yang melanggar kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi lima ratus ringgit (RM500) atau diperintahkan untuk melaksanakan suatuperintah khidmat masyarakat menurut Kanun Tatacara Jenayah atau Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: https://www.moh.gov.my

Kajian GATS Malaysia 2023

Kajian oleh Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 menunjukkan peningkatan peratus pengguna rokok elektronik atau vape yang amat ketara terutama dalam kalangan orang dewasa yang berusia kurang 50 tahun, sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan yang tuntas.

Kajian tersebut yang diterbitkan Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mendapati prevalens pengguna rokok elektronik semasa meningkat secara drastik daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2023.

Malah, prevalens pengguna rokok elektronik dalam kalangan perokok berusia 15 hingga 24 tahun meningkat kepada 8.6 peratus pada 2023 berbanding 1.1 peratus pada 2011, menurut GATS 2023.

Selain itu, kajian tersebut turut mendedahkan prevalens dwipengguna iaitu tembakau dan rokok elektronik meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 3.9 peratus pada 2023.

Ini telah menunjukkan pengguna tembakau dan rokok elektronik meningkat di dalam negara.

Baca juga: 13 Kesan & Bahaya Merokok Pada Tubuh Badan – KKM

Bantu kami share artikel ini: