Bunga Tanjung : Nama Saintifik dan Kegunaan Dalam Rawatan Tradisional

Bunga tanjung merupakan antara bunga klasik yang cukup sebati dalam kalangan masyarakat Melayu.

Ia bukan sahaja dikagumi kerana aromanya yang harum, malah ia sering dijumpai dalam pelbagai karya seni tradisional seperti batik, songket dan ukiran kayu.

Di samping itu, ia turut diabadikan dalam seni tempatan termasuk sastera, filem dan lagu sebagai salah satu simbolik warisan adat pusaka Melayu.

Bagi yang belum tahu, bunga ini juga pernah disenarai pendek untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Malaysia pada akhir tahun 1958.

Meskipun tidak terpilih, namun bunga yang berwarna putih kekuningan ini kekal sebagai bunga rasmi bagi negeri Selangor sejak zaman awal Kesultanan Selangor.

Sumber : Media Selangor

Nama Saintifik Bunga Tanjung

Nama saintifik bagi bunga tanjung adalah Mimusops elengi. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali dengan nama seperti Spanish Cherry dan Red Coondoo.

Pada kebanyakan masa, pokok bunga tanjung sering ditanam untuk meredupkan sesebuah kawasan kerana pohonnya yang berdaun rendang. Ia juga boleh mencapai ketinggian sehingga 15 meter.

Oleh sebab itulah ia sering dijumpai sebagai tanaman tepi jalan dan perkarangan laman.

Pada masa yang sama, ia juga boleh dijumpai tumbuh secara liar di hutan, kawasan berbatu dan tepi pantai.

Sumber : JPPH Universiti Malaysia Pahang

Di samping itu, kuntuman bunganya yang bersaiz kecil akan mengembang pada waktu senja turut mengeluarkan bau yang harum khususnya pada waktu malam.

Bunganya juga sering diambil dan direndam dalam minyak kelapa kemudian dilumur ke rambut sekaligus menjadikan rambut lebih segar dan harum.

bunga tanjung
Sumber : Sari Ayu

Kegunaan Bunga Tanjung

Bukan sahaja bunga, malah daun, kulit, dan biji pokok tanjung telah digunakan dalam perubatan tradisional sejak dahulu lagi.

Dalam perubatan tradisional Melayu, kulit pokoknya digunakan untuk merawat beberapa masalah kesihatan seperti demam, cirit-birit dan jerawat.

Daunnya yang licin dan berkilat pula digunakan bagi meredakan sakit kepala.

Masyarakat dari negara jiran iaitu Indonesia pula biasanya akan menghasilkan rokok daripada daun pokok tanjung bagi meredakan asma.

Selain itu, kulit pokoknya pula digunakan bagi merawat kegatalan, rheumatism dan jangkitan kelamin (gonorrhoea).

Ekstrak bunganya digunakan sebagai penawar kepada beberapa penyakit seperti sakit jantung, masalah pundi kecing dan pendarahan haid berlebihan (menorrhagia).

Memetik perkongsian daripada Universiti Malaysia Pahang, bunga ini turut digunakan dalam pelbagai rawatan lain seperti ruam bernanah, sakit gigi, nafas berbau, merawat luka dan melegakan rhinitis.  

Bunga yang harum ini turut dijadikan sebagai ramuan bagi menghasilkan produk penjagaan peribadi serta kecantikan wanita.

bunga tanjung
Sumber : Sari Ayu

Rupanya terdapat pelbagai kisah menarik di sebalik bunga yang terkenal ini. Di samping sering dijadikan bahan inspirasi dalam karya Melayu, ia turut digunakan dalam perubatan tradisional bagi merawat pelbagai penyakit.

Sumber : Majlis Keselamatan Negara, JPPH Universiti Malaysia Pahang, nparks.gov.sg

Baca Juga : Bunga Kenanga : Nama Saintifik dan Kegunaannya Dalam Perubatan Tradisional

Bantu kami share artikel ini: