Garam Himalaya : Kegunaan, Mitos dan Kesan Sampingan

Pernahkah anda mendengar tentang garam Himalaya?

Secara zatnya, garam yang turut dikenali sebagai garam bukit ini mempunyai komponen yang hampir sama dengan garam biasa iaitu kira-kira 98% natrium klorida (sodium chloride).

Selebihnya, ia mengandungi sedikit mineral seperti kalsium, magnesium dan kalium. Inilah yang memberikan garam bukit warna merah jambu semulajadi.

garam himalaya

Kegunaan Garam Himalaya / Garam Bukit

Selain mempunyai warna yang menarik, garam ini juga mendapat perhatian ramai kerana didakwa mempunyai mineral dan khasiat yang berlebihan berbanding garam biasa.

Ada juga orang yang menggunakan garam ini sebagai pengganti kepada garam laut atau garam putih dalam masakan.

Di samping itu, garam bukit juga boleh digunakan dengan pelbagai cara antaranya :

Sebagai Garam Mandian

Sekiranya anda mempunyai masalah ekzema, anda boleh cuba amalkan mandian garam dengan sukatan secawan garam bagi setiap gelen air. Ia mungkin boleh membantu dalam mengurangkan simptom masalah kulit yang dialami.

garam himalaya

Untuk Kesihatan Gigi

Garam telah terbukti untuk mencegah keradangan dan bakteria di dalam mulut. Ia turut dipercayai dapat menguatkan enamel, memutihkan gigi, mengurangkan plak dan mencegah masalah gusi.

Sebagai Ubat Kumur

Gunakan suku atau setengah sudu garam Himalaya atau garam putih dan masukkan ke dalam secawan air. Kemudian gunakannya untuk berkumur bagi mencegah sakit tekak dan mengekalkan kesihatan mulut.

Kelebihan dan Mitos Garam Himalaya

Namun, benarkah dakwaan ini? Ayuh kita kupas bersama-sama.

Tinggi Kandungan Mineral

Sesetengah mengatakan garam bukit adalah baik untuk kesihatan kerana ia mengandungi sehingga 84 jenis mineral.

Walau bagaimanapun, terdapat hanya 2% mineral dan selebihnya adalah natrium klorida. Dengan jumlah mineral yang terhad ini, kemungkinan besar ia tidak memberikan manfaat yang signifikan pada kesihatan.

Rendah Kandungan Natrium

Sesetengah orang turut mempercayai garam Himalaya mempunyai kandungan garam yang lebih rendah.

Seperti yang dinyatakan, garam ini mempunyai kandungan natrium klorida yang hampir sama seperti garam biasa yang sering kita digunakan di dapur.

Memandangkan garam bukit mempunyai saiz kristal yang lebih besar daripada garam biasa, secara teknikalnya ia mungkin mengandungi kandungan natrium yang lebih rendah dalam setiap sudu.

Ia juga mempunyai rasa yang lebih masin berbanding garam biasa. Ini bermakna, anda boleh gula garam ini dalam kandungan yang lebih sedikit untuk mencapai rasa yang diinginkan dalam hidangan.

Walau bagaimapun, garam bukit juga tersedia dalam saiz kristal yang mirip dengan garam biasa. Jadi, anda perlulah berhati-hati ketika menggunakannya di dapur.

garam himalaya

Pilihan Garam Yang Lebih Asli

Garam Himalaya juga menjadi pilihan bagi sesetengah orang kerana ia dikatakan lebih asli berbanding garam biasa.

Dari sudut tertentu, kenyataan ini ada kebenarannya. Garam putih biasanya melalui proses penghalusan dan dicampurkan dengan beberapa bahan seperti sodium aluminosilicate atau magnesium carbonate untuk mengelakkan daripada bergumpal.

Oleh sebab itulah garam bukit dilihat lebih asli dan tidak mempunyai bahan tambahan.

Membantu Hidratkan Tubuh

Sesetengah orang turut menggunakan garam berwarna merah jambu ini dalam makanan dan minuman kerana ia dikatakan dapat membantu mengimbangi cecair dalam tubuh dan mencegah dehidrasi.

Walau bagaimanapun, seseorang juga boleh mendapatkan manfaat ini melalui garam biasa.

Kesan Sampingan

Garam Himalaya mempunyai kesan sampingan yang sama seperti garam biasa. Pengambilan garam yang berlebihan termasuk garam bukit boleh mendorong kepada masalah kesihatan berkaitan jantung.

Dalam jangka masa panjang, ia boleh mengakibatkan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan strok.

Secara umumnya, seseorang disarankan untuk mengambil 500mg atau ¼ sudu garam sahaja dalam sehari.

 Pada masa yang sama, pengambilan garam yang berlebihan boleh mengakibatkan kalsium dalam tubuh tersingkir melalui air kencing.

Disebabkan itu, pesakit osteoporosis perlulah mengamalkan diet rendah garam bagi mencegah pengurangan kalsium dalam tubuh.

Secara kesimpulannya, garam Himalaya mempunyai manfaat yang hampir sama dengan garam biasa.

Selain dalam masakan, ia juga boleh digunakan bagi menjaga kesihatan mulut, kulit dan sebagainya.

Yang penting, anda haruslah ingat supaya tidak menggunakan garam berlebihan terutamanya dalam makanan dan minuman kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan khususnya berkaitan jantung.

Anda juga boleh dapatkan nasihat daripada doktor untuk saranan penggunaan garam yang optimum mengikut keperluan tubuh anda.

Sumber : Medical News Today, WebMD

Bantu kami share artikel ini: