Bunga Manggar : Asal Usul dan Simboliknya

Bunga manggar merupakan salah satu hiasan yang cukup sinonim dalam majlis keramaian khususnya majlis perkahwinan bagi masyarakat Melayu.

Diperbuat daripada kertas kilat berwarna-warni, bunga manggar dikatakan mampu menambahkan seri dan kemeriahan sesuatu majlis yang bakal atau sedang berlangsung.

Bahagian pelepahnya diperbuat daripada lidi yang dililit dengan kertas berkilat atau kertas warna. Bergantung kepada kreativiti, terdapat juga versi bunga manggar yang diperbuat daripada gula-gula.

Lidi yang sudah dihias ini kemudiannya ditusukkan pada batang pisang, gabus atau styrofoam yang sudah dipotong sesuai dengan ukuran yang diinginkan.

bunga manggar
Sumber : Perpustakaan Desa Kampung Parit Rabu, Tangkak, Johor

Batang pisang atau styrofoam yang sudah siap dicucuk ini akhirnya akan dicucukkan pada batang kayu panjang yang biasanya sudah ditajamkan sedikit hujungnya.

Selain dijadikan hiasan di lokasi majlis perkahwinan, ia juga ada kalanya dipacakkan di sekitar rumah pengantin seperti simpang jalan sebagai penanda arah atau petunjuk kepada tempat berlangsungnya majlis.

Di samping majlis perkahwinan, hiasan tradisi Melayu ini juga boleh didapati di pelbagai acara seperti majlis berkhatan, perarakan Maulud Nabi dan sebagainya.

Selain di Malaysia, adat ini juga bukanlah satu adat sampingan yang asing di Singapura, Brunei dan Indonesia.

Ia turut dikenali sebagai Kembang Kelapa dalam kalangan masyarakat Indonesia serta cukup popular dalam kalangan masyarakat Betawi.

Sumber : Start Travel

Asal Usul dan Simbolik Bunga Manggar

Pokok kelapa sememangnya cukup sinonim dengan masyarakat di sekitar nusantara.

Setiap bahagian pokok kelapa dari akar sehingga ke lidi mempunyai manfaat serta kegunaannya.

Namun, tahukah anda yang bunga menggar diinspirasikan daripada manggar atau bunga kelapa itu sendiri?

Jika anda perhatikan, bunga kelapa tersusun rapat pada mayang kelapa dan sukar untuk dipisahkan.

Hiasan perkahwinan yang tak lapuk dek zaman ini dikatakan membawa maksud kesuburan dan keteguhan hati.

Dalam konteks kesuburan, masyarakat Melayu zaman dahulu melihat sifat mayang kelapa yang mengandungi banyak bunga di dalamnya.

Oleh itu, apabila pengantin diiringi oleh bunga manggar, ia dilihat tanda harapan semoga pasangan mempelai dikurniakan dengan kesuburan.

Keteguhan hati yang dimaksudkan pula adalah kekuatan jiwa bagi menghadapi kehidupan rumah tangga.

Kedudukannya teguh sehinggalah ia berkembang menjadi putik dan akhirnya menjadi buah kelapa.

Justeru, masyarakat Melayu telah mengambil iktibar daripada sifat bunga kelapa dan akhirnya diterjemahkan dalam bentuk hiasan bunga manggar yang kita kenali sejak dahulu.

Di negara jiran kita iaitu Indonesia, bunga manggar juga membawa maksud yang hampir sama.

Memetik portal Warisan Budaya Takbenda Indonesia, Kembang Kelapa melambangkan kemakmuran dan memegang filosofi bahawa manusia juga perlulah menjadi seorang yang berguna seperti pokok kelapa.

bunga manggar
Sumber : Miniature Stories

Kini anda sudah tahu yang bunga manggar bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan pada majlis perkahwinan semata-mata.

Malah, ia mempunyai simbolik yang cukup mendalam dan wajar untuk direnungkan maknanya serta dilestarikan sebagai tradisi warisan agar tidak ditelan arus zaman.

Sumber : Facebook Perpustakaan Desa Kampung Parit Rabu, Tangkak, Johor, researchgate.net, warisanbudaya.kemdikbud.go.id

Baca Juga : Bunga Pahar dan Simboliknya Dalam Adat Melayu

Bantu kami share artikel ini: