Bunga Kertas : Nama Saintifik dan Manfaatnya Untuk Kesihatan

Bunga kertas merupakan tanaman landskap yang tidak asing lagi di Malaysia.

Ia berwarna warni, mudah untuk dijaga dan boleh menghasilkan rimbunan yang sangat indah. Ia juga boleh membesar sehingga 7 meter dan hidup melebihi 20 tahun.

Bunga ini boleh dikenali dengan mudah dengan kelopak yang nipis seakan kertas.

Boleh ditemui dalam pelbagai warna yang seperti merah, ungu, putih dan jingga, terdapat sesetengah penggemar tanaman turut ‘mengahwinkan’ dua atau lebih jenis bunga ini menerusi teknik cantuman sisi untuk menghasilkan pokok Bougainvillea dengan warna campuran yang unik.

Sumber : Plant Studio
Sumber : Backbone Valley Nursery

Nama Saintifik Bunga Kertas

Bunga kertas yang sering dijadikan tanaman landskap adalah daripada variasi Bougainvillea glabra.

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai spesis bunga kertas boleh ditemui di bawah genus Bougainvillea bergantung kepada warna dan jenis kelopak bunga yang dihasilkan.

Nama Bougainvillea dipercayai berasal daripada nama seorang pelayar berbangsa Perancis iaitu Louis Antoine de Bougainville.

Dalam pengembaraannya pada abad ke-18, beliau dikatakan telah menemui bunga ini di Brazil.

bunga kertas
Sumber : Robinson Gardens

Keindahan bunga kertas begitu cepat tersebar dari Amerika Selatan sehinggalah ke beberapa negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, India dan Taiwan.

Selain dikenali sebagai Bougainvillea atau paper flower dalam bahasa Inggeris, bunga ini turut digelar dengan nama lain seperti Buganvil, Kembang Kertas dan Ye Zi Hua.

Manfaat Bunga Kertas

Bukan sekadar menjadi penyeri landskap dan perkarangan rumah, rupanya bunga ini mempunyai khasiat tersendiri yang mungkin ramai tak tahu.

Tumbuhan ini telah lama digunakan dalam rawatan tradisional Mexico bagi merawat pelbagai penyakit seperti penyakit kulit, keradangan dan masalah pencernaan.

Kajian daripada Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) pula mendapati Bougainvillea spp berpotensi untuk dijadikan minuman herba bagi menyejukkan badan pada musim panas.

Kelopak bunganya bukan sahaja boleh direbus dan dijadikan teh, malah daunnya boleh dilumatkan dan ditampal bagi merawat dan mengeringkan luka.

Daunnya didapati mempunyai komponen steroid dengan sifat anti diarea, antiradang, antimikrobial dan anti ulser.

Beberapa negara seperti Brazil dan Thailand turut menjadikan bunga ini sebagai ramuan dalam masakan.

Sementara itu, pengkaji daripada Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia berjaya mengenalpasti komponen antioksidan dalam Bougainvillea glabra.

Ia dilihat mempunyai potensi besar untuk melambatkan penuaan di samping meremajakan kulit wajah.

bunga kertas
Sumber : The Nunhead Gardener

Di sebalik keindahan bunga yang popular ini, rupanya terdapat pelbagai manfaat menarik yang tersembunyi.

Tidak hanya mengandungi komponen antioksidan, malah ia juga memiliki sifat antiradang, antimikrob dan berpotensi merawat pelbagai penyakit.

Sumber : nparks.gov.sg (1), (2), upm.edu.my

Baca Juga : Bunga Kemboja : Nama Saintifik dan Fakta Menarik

Bantu kami share artikel ini: