MyAirline : Notis Terkini, Saluran Aduan Pengguna & Sejarah

TERKINI : MYAirline Umum Penggantungan Operasi

MyAirline gantung operasi mereka bermula hari ini, 12 Oktober 2023.

Perkara itu dimaklumkan melalui media sosial MYAirline pada awal pagi tadi. Pelanggan yang mempunyai tiket penerbangan dinasihat tidak ke lapangan terbang dan atur perjalanan alternatif.

Sementara itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sedang menyiasat syarikat penerbangan berkenaan, di mana berdasarkan ulasan dalaman dan aduan yang diterima antaranya mengenai pembayaran berkanun syarikat penerbangan itu yang belum dibayar kepada pekerjanya.

Pada masa sama, MAVCOM turut mengarahkan MY Airline untuk segera menguruskan pengguna yang terjejas termasuk memaklumkan tentang penggantungan selain menerbitkan pemberitahuan menerusi saluran komunikasi syarikat tersebut.

Cara Salurkan Aduan Pengguna MYAirline Yang Terjejas – Kenyataan Media MAVCOM

MAVCOM menggesa para pengguna yang terjejas untuk menghubungi MY Airline atau Suruhanjaya dengan kadar segera

KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2023 – Berikutan pengumuman MYAirline mengenai operasinya yang terpaksa digantung berkuat kuasa 12 Oktober 2023 sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM” atau “Suruhanjaya”) telah menyediakan talian dan saluran khusus untuk membantu para pengguna yang terjejas akibat penggantungan mengejut ini.

MAVCOM menggesa para pengguna terjejas yang telah membeli tiket penerbangan MYAirline bagi tarikh penerbangan dari 12 Oktober 2023 dan selanjutnya, untuk menghubungi saluran aduan khas syarikat penerbangan tersebut iaitu [email protected] bagi sebarang pertanyaan dan bantuan berhubung tempahan mereka.

Saluran-saluran aduan khusus MAVCOM juga tersedia untuk membantu para pengguna yang terjejas :

  1. Hotline pengguna: +1800-18-6966 (dalam Malaysia) atau +603-7651 2777 (luar negara)
  2. E-mel : [email protected]
  3. Borang aduan FlySmart: https://flysmart.my/buat-aduan/
  4. Aplikasi mudah alih FlySmart boleh dimuat turun daripada Google Play store dan Apple App store bagi pengguna Android and iOS.

Serba Sedikit Info & Latarbelakang

SEJARAH AWAL PENUBUHAN

MYAirline ditubuhkan pada Januari 2021 dengan modal berbayar RM2 juta.

Pada 22 Disember 2021, MAVCOM meluluskan pengeluaran Kelulusan Bersyarat (CA) bagi ASL kepada Z9 Elite Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai MYAirline, untuk tempoh setahun sehingga 31 Disember 2022.

Syarikat penerbangan itu kemudiannya menerima Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan permit sah mulai 1 Oktober 2022 hingga 30 September 2023.

PEMEGANG SAHAM

Pemegang saham MYAirline termasuk Zillion Wealth Bhd yang memegang 88% kepentingan ekuiti, Trillion Cove Holdings Bhd (10%) dan Kheng Hock (2%).

MODEL PERNIAGAAN

Ia akan melaksanakan model perniagaannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) berdasarkan permohonannya kepada MAVCOM pada Februari 2021.

Pada 17 November 2022, media melaporkan syarikat penerbangan tambang rendah terkini Malaysia, MYAirline Sdn Bhd, telah mendapat lesen perkhidmatan udara (ASL) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), yang membolehkan syarikat itu beroperasi sebagai syarikat penerbangan penuh di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo Kheng Hock, berkata MYAirline gembira mendapat kelulusan daripada MAVCOM berhubung pengeluaran ASL dan berterima kasih kepada Kementerian Pengangkutan, MAVCOM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atas sokongan mereka.

Setakat 7 November 2022, media melaporkan armada MYAirline terdiri daripada empat Airbus A320 yang dipajak daripada beberapa pemajak.

Ketika itu, difahamkan MYAirline menyasarkan untuk memajak lebih 50 pesawat dalam tempoh lima tahun akan datang. Buat masa ini, ia tidak bercadang untuk memajak Boeing B737 MAX atau Airbus A330. Syarikat penerbangan baharu itu mahu menggunakan hanya satu jenis pesawat (Airbus A320) dan satu konfigurasi (180 kerusi).

Baca juga :

Maklumat Lanjut

Untuk ketahui perkembangan terkini serta maklumat lanjut mengenai MyAirline, sila layari pautan https://www.myairline.my/ dan ikuti laman media sosial MyAirline di pautan berikut :

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!