Garam Masala : Kegunaan Rempah dan Cara Buat Sendiri

Pernahkah anda dengar tentang rempah garam masala? 

Sesetengah masyarakat seperti orang Melayu mungkin jarang menggunakan rempah ini. 

Walau bagaimanapun, ia merupakan rempah wajib bagi masyarakat India termasuk di Malaysia.

Sumber : glebekitchen.com

Apa Itu Garam Masala?

Nama Garam Masala diambil dari terma bahasa Hindi yang bermaksud ‘warm spices’ atau rempah yang hangat. 

Ia sebenarnya merupakan gabungan kepada beberapa jenis rempah seperti cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis, bunga lawang, lada hitam, buah pala,  jintan dan biji ketumbar. 

Apabila semua bahan ini dikisar, maka akan terhasillah serbuk berwarna keperangan yang beraroma.

Penggunaan campuran garam masala dikatakan boleh membangkitkan rasa pedas dan sedikit manis dalam sebuah hidangan. 

Campuran rempah ini biasanya digunakan dalam hidangan lauk pauk. Namun, terdapat juga beberapa resepi manisan yang turut menggunakan rempah ini. 

Selain membeli pek rempah yang sedia untuk diguna, terdapat juga sesetengah orang yang membuat campuran garam masala sendiri di rumah.

Maklumlah, cita rasa orang sudah tentu berbeza dalam bab penggunaan rempah dalam masakan. 

Cara Penggunaan

Antara cara penggunaannya adalah : 

  • Sebagai perapan sayur panggang seperti keledek, ubi kentang dan lobak merah. 
  •  Gabungkan dengan yogurt untuk perapan ayam.
  • Masukkan sedikit ke dalam sup. 
  • Taburkan rempah ini ke dalam hidangan seperti kari, briyani dan ayam tandoori. 
garam masala

Cara Buat Garam Masala Sendiri

Bagi yang sukakan hidangan yang berempah dan beraroma, anda juga boleh cuba buat garam masala sendiri di rumah.

Bila anda buat sendiri, rempahnya pasti dijamin lebih segar dan semerbak harumnya. 

Ayuh kita semak bahan dan cara-caranya :

Bahan-bahan :

  • ½ cawan jintan putih 
  • ½ cawan biji ketumbar
  • ½ cawan jintan manis
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 10 kuntum bunga lawang
  • 20 biji cengkih 
  • 20 biji buah pelaga
  • 5 biji kulit kayu manis
  • 5 biji cili kering (optional)
  • 10 helai daun salam kering (bay leaf)

Cara-cara :

  • Sangai dahulu semua bahan tanpa minyak.
  • Gunakan api yang kecil dan kacaukan sedkit untuk mengelakkan rempah hangus.
  • Selepas siap disangai, masukkan rempah ke dalam pengisar kering dan kisar sehingga halus.
  • Biarkan rempah sejuk. Kemudian, masukkan ke dalam bekas kedap udara. 
  • Rempah garam masala siap untuk digunakan dan boleh bertahan selama lebih dari 6 bulan jika disimpan dalam peti sejuk. 

Anda juga boleh kurangkan atau tambahkan rempah ratus di atas mengikut cita rasa masing-masing.

garam masala
Sumber : silkroadrecipes.com

Kini anda sudah tahu apa itu garam masala serta rempah ratus yang terkandung ke dalamnya. 

Memang wajib ada bagi yang sukakan masakan berempah dan hangat. 

Tidak hairanlah mengapa ia menjadi pilihan bagi kaum India dalam menyediakan masakan harian. 

Sumber : thekitchn.com, Facebook Resepi Masakan

Baca Juga : Rempah Sekawan: Ciri, Kandungan Nutrisi & Khasiat Kesihatan

Bantu kami share artikel ini: